Saturday, December 20, 2008

AKIBAT DASAR KERJAAN YANG MENJAHANAMKAN BAHASA MELAYU!!


Perubahan dasar kerajaan yang mengagungkan bahasa asing tidak dinafikan akan memberi impak besar kepada senario budaya dan bahasa Melayu pada 10 hingga 15 tahun akan datang.



Bekas Pensyarah di Jabatan Matematik Pusat Pengajian Kuantitatif UKM, Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, keadaan ini telah mengubah prestasi bahasa itu sendiri apabila penggunaan bahasa Melayu dikurangkan dalam mata pelajaran sekolah.

"Serius saya kata 10 hingga 15 tahun lagi bahasa Melayu berubah, jangan hairanlah nanti akhbar Melayu menjadi sisipan dalam suratkhbar," katanya dalam Seminar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Intelektual dalam Konteks Tamadun Alaf Baru dan Pelancaran Jurnal Peradaban di Universiti Malaya semalam.

Senario ini juga, katanya akan mempengaruhi penulis profesional muda untuk tidak berminat menulis dalam bahasa Melayu.

"Apa lagi pensyarah kini terdiri dari orang muda yang takut untuk menulis dalam bahasa kerana bimbang masa depan mereka gelap," katanya apabila diajukan pertanyaan dari peserta seminar, Mohd Riduan Khairi.

Dalam sesi dialog itu, Riduan menyatakan kebimbangan apabila tidak ramai di kalangan akademik untuk menyumbang penulisan dalam bahasa Melayu sedangkan bahan bacaan bahasa berkenaan mendapat tempat di gedung buku terkenal.

Shaharir juga menggesa orang Melayu terus memperjuangkan pengembalian Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan apa cara sekali pun yang termampu.

"Kita kena wujudkan rasa benci dalam hati kita dengan dasar baru ini," tegas beliau ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk Bahasa Melayu Bahasa Ilmu:Telah, Lani, dan Kelak.

Sementara itu, beliau menegaskan jika masyarakat Melayu tidak dapat mempertahankan kebudayaan mereka sekali gus akan melenyapkan Bahasa Melayu.

Beliau juga melahirkan kerisauan apabila pada hari ini keadaan bertambah rumit untuk mempertahankan bahasa Melayu begitu juga kebudayaan Melayu.

"Banyak nama-nama tempat sudah hendak diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris, misalnya Pantai Mok Nik di Terengganu di terjemahkan menjadi "Monica Bay', bukan ini sahaja malah beberapa novel pun akan mengalami nasib yang sama, inilah kehebatan orang Melayu, " katanya.

Tegasnya, jika tidak ada mana-mana pihak yang sanggup bersuara menentang senario ini tidak mustahil nama-nama Melayu pun turut pupus.

(Sumber: Harakahdaily)