Monday, December 22, 2008

ANTARA ' DEMOCRAZE' DAN 'DEMOKRA'

Dari semasa ke semasa ada antara pemimpin-pemimpin kita cuba memperkenalkan perkataan-perkataan tertentu. Sesetengah perkataan ini memang telah lama wujud, tetapi jarang digunakan. Kadang-kadang perkataan tersebut baru diwujudkan bagi merujuk kepada sesuatu konsep baru. Sama ada sesuatu perkataan yang cuba diperkenalkan itu akan popular banyak bergantung kepada siapa yang memperkenalkannya. Apabila media kita kerap mengulang tayang perkataan-perkataan itu, maka popularlah ia. Jika tidak, ia akan popular sekejap sahaja.

Apabila dahulu Datuk Najib memperkenalkan perkataan 'glokal', ramai yang menggunakannya. Ia seperti menjadi satu konsep yang popular seketika. Tapi kini jarang sangat kita dengar perkataan itu. Suatu perkataan yang pada mulanya dianggap baru tetapi masih digunakan hingga kini ialah 'modal insan' yang diperkenalkan oleh Pak Lah. Sama ada ia hanya popular di zaman Pak Lah menjadi PM atau akan pupus selepas beliau meletak jawatan pada awal tahun hadapan, hanya masa yang akan menentukannya.

Kelmarin, saya mendengar Ketua Polis Negara bercakap mengenai democraze. Democraze sebenarnya bukanlah perkataan baru. Ia gabungan perkataan demo yang merujuk kepada demontrasi dan crazy yang merujuk kepada gila. Jadi democraze bererti gila berdemonstasi. Democraze bukan budaya baru di mana-mana bahagian dunia ini. Di negara-negara Barat, Asia Barat, Asia Timur, Asia Tenggara, Amerika Utara, Amerika Latin, Afrika dan di mana-mana sahaja pelusuk dunia ada warga sensitif yang suka berdemonstrasi, kadang-kadang atas isu yang sangat kecil dan tidak masuk akal.

Di negara kita sebelum Perang Dunia Kedua pun sudah ada masyarakat yang democraze iaitu dari kalangan mereka yang anti-British misalnya menerusi Parti Komunis Malaya dan Kesatuan Melayu Muda. Tetapi pelakuan democraze yang paling diingati sejarah Malaysia dan selalu dipaparkan dalam buku sejarah ialah democraze yang diperkenalkan UMNO dalam kempen anti-Malayan Union dahulu. Beberapa ketika sebelum tragedi 13 Mei 1969 pula, parti-parti pro-pemerintah dan anti-pemerintah seperti UMNO, Gerakan, PPP dan DAP menjadi hero democraze. Di kalangan parti UMNO, hero democraze ketika itu ialah Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor. Akhirnya akibat democraze ini tercetuslah tragedi berdarah 13 Mei yang memakan begitu banyak korban.

Pada tahun 1987, 2 parti yang menjadi tunjang BN iaitu UMNO dan MCA membakar semangat perkauman Melayu dan Cina dengan beberapa demonstrasi. Tokoh-tokoh democraze ketika itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Najib dan Presiden MCA, Datuk Lee Kim Sai. Akhirnya Operasi Lalang dilancarkan di mana ramai tokoh pembangkang ditahan di bawah ISA. Paling ironis, wira democraze iaitu Datuk Najib dan Lee Kim Sai tidak pula masuk di dalam senarai ISA. Mungkin Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu takut menyentuh mereka, maklumlah wira democraze, pasti ada lesen 'craze'!

Lepas PRU ke-12 baru-baru ini, pelakuan democraze ini bercambah semula. UMNO dan NGO-NGO pro-UMNO menunjangi beberapa insiden democraze di Perlis, Terengganu dan negeri-negeri yang dikuasai oleh PR seperti Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Penyokong PR pula tidak begitu galak lagi berdemonstrasi, jika ada pun hanya secara kecil-kecilan. Democraze yang terakhir dan terbesar yang pernah dianjurkan pembangkang ialah perhimpunan anjuran BERSIH sebelum PRU ke-12 dahulu yang dikatakan berjaya menghimpunkan 70,000 penyokong.

Apabila JERIT mengadakan ekspedisi berbasikal baru-baru ini, ia tidak nampak seperti democraze yang betul-betul craze seperti yang dianjurkan oleh penyokong UMNO, PKR dan PAS. Pesertanya pun tidaklah ramai benar, tetapi publisiti media kita mempopularkan mereka. Jika hendak lihat acara berbasikal yang paling craze dan ramai disertai oleh kanak-kanak ialah ketika malam di ambang kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun. Tetapi kegilaan berbasikal, bermotorsikal dan berkereta yang membingitkan telinga di malam merdeka itu ia tidak pula dianggap sebagai craze dan mengeksploit kanak-kanak - mungkin kerana ia juga disertai oleh anak-anak orang UMNO! Sesuatu itu mungkin hanya boleh dipanggil craze jika ia disertai oleh pihak bukan BN secara total. Jika ia disertai oleh oleh orang UMNO dan BN seperti dalam demonstrasi-demonstrasi anti-Malayan Union, demonstrasi sebelum tragedi 13 Mei 1969, demonstrasi pada tahun 1987 dan demonstrasi sejurus selepas PRU ke-12 baru-baru ini ia bukanlah democraze. Mungkin jika ada orang UMNO dan BN sekali lagi terbabit di dalam demonstrasi selepas ini, Tan Sri Musa perlu memperkenalkan nama baru pula. Asalkan namanya bukan 'demokra' sudahlah, kerana ia bererti demonstrasi yang disertai oleh kera-kera!!

Oleh: pendikar gunung kriang

http://pendikargunung.blogspot.com/

1 comment:

pembunuhiblis said...

Kalu nk tengok brapa ramainya kera berdemo tengok saja di hri penamaan calon kelak. Jgn lupa ambil gambar eksploitasi kanak-kanak sama ada dlm kem BN atau PR, kemudian tanya pndpt Musa Hasan.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.