Monday, December 22, 2008

APABILA PEMIMPIN UMNO PUN TAK YAKIN BOLEH MENANG DALAM PRK KUALA TERENGGANU

Beberapa pemimpin Umno tempatan berbelah bahagi berhubung peluang calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menang dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, bulan depan.

Pemimpin Umno di bahagian Kuala Terengganu berkata, personaliti Wan Ahmad Farid yang dianggap "elit" menyebabkan calon itu sukar mendapat sokongan pengundi kampung.

Katanya, yang enggan dikenali, jika hendak dibandingkan senator itu dengan bekas ahli parlimen Datuk Razali Ismail, "ia ibarat langit dengan bumi".

Bekas pemimpin bahagian itu meletakkan peluang kemenangan Wan Ahmad Farid hanyalah 45 peratus.

"Datuk Wan Farid boleh dianggap daripada golongan elit yang kurang bercampur dengan orang.

"Saya mendapat tahu ramai orang yang berniaga di pasar Kuala Terengganu tidak kenal dengan calon BN itu, sebaliknya lebih kenal Menteri Besar, Datuk Ahmad Said," katanya ketika diminta mengulas peluang timbalan menteri itu menang dalam pilihanraya kecil itu yang bermula 6 Januari ini.

"Bayangkan, Datuk Razali yang disenangi oleh semua orang cuma menang dengan majoriti kecil 628 undi." (lihat carta di bawah)

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN.

Pemimpin tersebut berkata, satu faktor lagi yang menyebabkan BN sukar menang ialah kedudukan hampir 5,000 guru yang turut mengundi.

"Adakah golongan guru ini akan mengundi Datuk Wan Ahmad Farid sebagaimana mereka mengundi Datuk Razali?" katanya.

Golongan pendidik dikatakan ingin bekas ketua penerangan Umno bahagian Mohd Zuber Embong, seorang pegawai kanan pendidikan negeri - namanya antara lima pemimpin yang turut diura-urakan untuk dicalonkan.

Pengerusi peti undi Kuala Ibai, Sulaiman Ali bagaimanapun yakin golongan guru secara umumnya akan tetap bersama BN dalam pilihanraya kali ini.

"Atas semua faktor itu, saya meramalkan peluang Datuk Wan Farid untuk menang ketika ini ialah 55 peratus," katanya.

Pemilihan Wan Ahmad Farid juga telah menyelesaikan banyak masalah di bahagian tersebut, tambahnya, yang juga ahli jawatankuasa bahagian.

Sulaiman berkata, perebutan mereka yang hendak menjadi calon BN telah selesai dan maklum balas yang diperolehi bahawa mereka akan berdiri di belakang bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Di peti undi Kuala Ibai, dari bancian awal yang kita buat, mereka tidak ada masalah dengan Datuk Wan Farid.

"Kita juga yakin boleh menang sekurang-kurangnya 300 undi seperti pilihanraya umum lalu daripada lebih 2,000 pengundi dari empat saluran di sini," katanya.

Sementara bekas naib ketua bahagian Hamzah Mohd Zain ketika dihubungi berkata, BN akan menang "jika tiada pengkhianatan dilakukan oleh ahli parti".

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan punca-punca boleh berlaku pengkhianatan tersebut.

Katanya, semua pihak perlu melupakan pergeseran sewaktu pemilihan Umno bahagian baru-baru ini.

"Jika jentera pilihanraya bersatu dan bergerak, Datuk Wan Farid akan menang," katanya.

Beliau berkata BN harus mempertimbangkan kekuatan PAS di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN): Batu Burok, Ladang dan Wakaf Mempelam.

"Ruang untuk menang ada tetapi kena kerja kuat. Tetapi ketika ini peluang adalah 50-50," katanya.

Hamzah berkata, faktor lain ialah pengundi atas pagar dan pengundi Cina.

"Jika mereka mereka mengundi BN, Datuk Wan Farid akan menang," katanya.

Sumber : Malaysiakini

Pendikar : Ini mungkin kata-kata untuk menyedapkan PAS sahaja. Biasalah strategi pilihanraya. Bila over-confident maka nasi yang hampir masakpun boleh jadi mentah. Oleh itu, PAS kalau nak menang jangan ambil peduli sangat komen-komen seperti ini dan perlu meneruskan kerja keras.

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.