Wednesday, December 31, 2008

BERITA BURUK UNTUK BN - PEMIMPIN INDIA PKR AKAN KEKAL DALAM PARTI ITU

Berita yang dipetik dari mStar ini tidak dapat dijadikan sebahagian dari berita yang akan disiarkan oleh TV3 dan RTM malam ini. Ia tidak dapat dijadikan berita kerana ia merupakan berita buruk untuk BN. Pemimpin-pemimpin India yang diharapkan oleh BN akan keluar dari PKR sebaliknya mengambil keputusan untuk kekal dalam parti itu.

Baca petikan berita dari mStar selanjutnya:

Pertemuan kira-kira 50 pemimpin India Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini mengakui banyak masalah dan isu yang menyentuh kepentingan masyarakat India belum diselesaikan oleh parti komponen Pakatan Rakyat itu. Bagaimanapun mereka memutuskan untuk kekal dalam PKR sementara mengambil usaha mencari jalan penyelesaian ke atas isu-isu dan masalah yang wujud.

Perkara itu diputuskan dalam pertemuan anjuran badan informal - Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India PKR - lebih sejam di sini.

Pengerusi jawatankuasa itu, P. Jenapala berkata, pihaknya masih yakin dapat mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang wujud dengan mengatur pertemuan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal bulan depan.

Pertemuan itu memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa diketuai ahli sepanjang hayat PKR, Datuk Ravi Dharan untuk mengatur perbincangan dengan Anwar.

Ravi, ahli perniagaan berkata, beliau telah diminta oleh Anwar untuk menghadiri mesyuarat petang ini.

"Kami berpendapat ada isu-isu yang belum diselesaikan, tetapi kami tidak akan keluar parti (PKR)," kata Jenapala pada sidang media selepas pertemuan itu.

Tanpa menyebut sama ada memberi kata dua kepada pucuk kepimpinan PKR, Jenapala berkata, "kita tunggu (buat sementara) untuk mencari jalan penyelesaian... kita memerlukan perbincangan dan dialog."

"Kita yakin ia boleh dilakukan... kita tunggu dulu," katanya.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira empat jam sebelum mesyuarat bulanan Biro Politik PKR malam ini, yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Dr. Syed Husin Ali.

Sebelum ini, Jenapala berkata, pertemuan terbesar sejak pilihan raya umum Mac lalu diadakan bagi menentukan ala tuju kedudukan dan sokongan mereka dalam ikatan pembangkang itu.

Pertemuan yang dilihat sebagai "amat penting" akan membincangkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan ekoran dakwaan bahawa masyarakat India juga terus 'didiskriminasi dan dipinggirkan' oleh kepimpinan ikatan pembangkang itu.

Forum hari ini yang berpusatkan isu Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, yang sebelum ini berhasrat untuk keluar PKR, diadakan untuk membincangkan beberapa opsyen.

Antara opsyen ialah keluar beramai-ramai daripada Pakatan Rakyat dan menubuhkan parti sendiri yang bagi mewakili kepentingan masyarakat India ataupun kekal dalam Pakatan Rakyat dengan terus mendesak agar tuntutan masyarakat India dibela dengan adil dan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pertemuan itu berlangsung kira-kira sejam selepas Manikavasagam mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor.

Malah Manikavasagam juga hadir dalam pertemuan itu.

Beliau satu-satunya wakil rakyat masyarakat India dalam PKR yang hadir.

Sebahagian besar pemimpin yang hadir hari ini merupakan pemimpin masyarakat India di peringkat negeri.

Selepas mengumumkan keputusannya di sebuah hotel di Petaling Jaya, Manikavasagam menghadiri pertemuan itu yang diadakan di sini.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, beliau telah menjelaskan pendirian dalam isu melepaskan jawatan negeri pada pertemuan itu.

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.