Monday, December 22, 2008

KPN : JANGAN PERALATKAN KANAK-KANAK!!

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Kumpulan yang sering melakukan demonstrasi jalanan termasuk memperalatkan kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bertapak di negara ini kerana mereka akan melahirkan generasi pemberontak yang membahayakan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ditemui pemberita di sini hari ini menegaskan, walaupun bertopengkan perjuangan menuntut hak asasi dan menegakkan demokrasi, kumpulan itu sebenarnya golongan democraze iaitu gila melakukan demonstrasi.

Menurutnya, kumpulan democraze ini sebenarnya bukan pejuang demokrasi sebaliknya terang-terangan mencabar undang-undang demi kepentingan diri atau organisasi masing-masing.

Tambahnya, tindakan kumpulan itu memperalatkan kanak-kanak atau remaja bawah umur menyertai demonstrasi jalanan akan mewujudkan generasi muda yang suka memberontak dan melanggar undang-undang.

“Kumpulan ini bukan pejuang demokrasi tetapi golongan democraze... kalau benar mereka melaung-laungkan demokrasi, mesti bertamadun tinggi, kalau ada masalah boleh berbincang dan perkara ini (demonstrasi mengeksploitasi kanak- kanak) tidak akan dilakukan.

“Tindakan mereka mengeksploitasi kanak-kanak untuk kepentingan sendiri sebenarnya menganiaya dan mendera mental serta fizikal kanak-kanak terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program merakyatkan seni budaya komuniti beruniform anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kuala Lumpur, Noorsiah Sabri.

Musa mengulas tindakan sebuah kumpulan tidak berdaftar yang menggelar diri sebagai Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) menggunakan remaja dan kanak-kanak untuk menyertai kempen berbasikal anjuran mereka bermula 3 Disember lalu.

Kemuncak kempen tersebut ialah menyerahkan memorandum mengandungi enam tuntutan kepada kerajaan dan pembangkang di Parlimen pada 18 Disember lalu.

Selasa lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya menegaskan, polis mungkin bertindak terhadap ibu bapa remaja bawah 18 tahun yang memberi kebenaran anak mereka menyertai kempen berbasikal anjuran Jerit itu.

Dalam pada itu, Musa mendedahkan terdapat individu tertentu daripada pertubuhan haram, Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang menyokong dan mempunyai kaitan dengan kumpulan democraze ini.

“Perkara ini merosakkan negara, apabila sampai kanak-kanak diperalat, saya tidak akan benarkan ini berterusan,” katanya.

Sambil mengingatkan bahawa polis akan menghalang sebarang cubaan merosakkan negara, beliau berkata, polis tidak teragak-agak bertindak mengikut peruntukan undang-undang terhadap kumpulan democraze.

Ditanya tindakan Majlis Peguam mempersoalkan tindakan polis menghalang kempen berbasikal anjuran Jerit baru-baru ini, Musa berkata, majlis itu berat sebelah dalam hal ini dan mentafsirkan undang-undang demi kepentingan mereka.

“Ini tidak betul, jika hendak jadi orang politik, masuk saja bidang politik, kalau tidak janganlah campuri urusan politik.

“Saya rasa jelas Majlis Peguam berpihak kepada siapa,” ujar beliau.

Menjawab soalan, beliau berkata, polis sedang menyiasat kemungkinan kumpulan Jerit mempunyai kaitan dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan pada Oktober lalu.

(Sumber : Utusan Malaysia)

Pendikar: Untuk makluman Tan Sri, golongan democraze yang memperalatkan kanak-kanak seperti yang Tan Sri katakan itu telah lama wujud sebelum ekspedisi basikal oleh JERIT lagi. Semasa kecil dan masih bersekolah dahulu Pengetua Sekolah sering memperalatkan kami untuk meramaikan majlis-majlis yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin besar sama ada pemimpin-pemimpin tempatan mahupun dari ibu kota. Masa itu Pengetua kami tidak namakan kehadiran beramai-ramai itu sebagai demonstrasi atau democraze tetapi dipanggil perhimpunan. Tapi tak kisahlah apa namanya sama ada perhimpunan, democraze atau demonstrasi, yang penting dapat ponteng kelas dan makan yg best-best! Tapi yang paling seronok semasa kecil itu ialah pengalaman berdemocraze dengan menaiki basikal di malam perayaan. Polis hanya menyaksikan saja kanak-kanak berdemocraze dengan menaiki basikal mengelilingi pekan kecil kami yang dipimpin oleh anak kepada tokoh UMNO tempatan. Satu lagi pengalaman menyeronokkan ialah bila kanak-kanak seperti kami diajak oleh abang-abang UMNO hadir pada hari penamaan calon. Seronok berdemocraze sambil membawa bendera BN di belakang basikal dan apabila tiba di tempat penaman calon pula badan kami dibaluti sekali lagi dengan bendera BN dan UMNO. Tapi itu pengalaman semasa kecil dahulu. Ketika itu kami belum pernah mendengar perkataan 'democraze', Tan Sri!