Friday, December 19, 2008

LAYAKKAH TV3 DINOBATKAN SEBAGAI TV 3 SUKU?

Malam tadi tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara amarah bukan kepalang Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dalam siaran berita jam 8 malam di TV3. Yang menjadi mangsa kemarahannya ialah TV3 yang dituduh beliau sebagai cuba memfitnahnya dalam siaran berita pada malam sebelumnya. Wartawan TV3 dituduh beliau cuba mensensasikan berita mengenai sesuatu yang tidak pernah wujud di Terengganu. Malah kata Datuk Ahmad Said usaha TV3 menjatuhkan imejnya telah dimulakan sejak krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu sejurus selepas PRU ke-12 dulu lagi.

Ini bukanlah kali pertama stesen TV swasta itu mensensasikan berita yang didakwa sesetengah pihak sebagai tidak wujud dan karut. Cuma sebelum ini hanya pihak pemimpin PR sahaja nampaknya yang tidak senang dengan berita yang disiarkan oleh TV3. Sebelum PRU ke-12 dahulu stesen TV itu bersama RTM dan media cetak arus perdana bukan main lagi menyerang pemimpin-pemimpin PAS, PKR dan DAP. Kerajaan Negeri Kelantan pula dilanyak habis-habisan sehingga menimbulkan rasa muak pengundi yang akhirnya diterjemahkan dengan tidak memangkah BN dalam kertas undi.

Selepas pilihanraya, 5 Kerajaan Negeri di bawah PR menjadi sasaran serangan media, termasuk TV3. Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah diasak habis-habisan. Jika RTM yang menyiarkan berita berat sebelah orang boleh memahaminya kerana ia stesen rasmi pemerintah yang ditunjangi BN. Tetapi mengapa stesen TV swasta juga menyiarkan berita tidak seimbang yang sama dengan RTM?

Datuk Ahmad Said bernasib baik kerana beliau diberi slot khas bagi mempertahankan dirinya yang disiarkan oleh TV3. Menteri-menteri Besar Selangor, Perak dan Kedah serta Ketua Menteri Pulau Pinang tidak nampak diberi ruang secukupnya untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di sebalik isu-isu besar yang disensasikan TV3 di negeri masing-masing. Dalam isu penggunaan 'jet eksekutif', penebangan balak dan kelulusan projek ternakan babi di Kedah misalnya tidak kelihatan wajah MB atau EXCO berkaitan bagi mempertahankan diri mereka di TV3 seperti peluang yang diberi kepada MB Terenganu. Selepas terbukti tuduhan yang dilemparkan mereka salah misalnya dalam kes penggunaan 'jet eksekutif' oleh MB Kedah, juga tidak nampak stesen TV swasta itu memohon maaf atas ketelanjurannya mensensasikan berita yang tidak wujud.

Kita tidak tahu apa masalah sebenar TV3 hingga begitu teruja untuk mengeluarkan berita-berita besar yang sensasi tanpa dirujuk kepada pihak berkuasa negeri terlebih dahulu. Ada yang menyatakan TV3 telah menjadi stesen yang tidak waras dan tidak boleh dipercayai dalam penyiaran berita. Jika hendak percayapun TV3 hanya untuk berita mengenai hiburan dan sukan sahaja. Berita politik pula boleh dilihat tetapi jangan percaya. Ada rakan pula yang menyatakan mungkin berita karut TV3 adalah berdasarkan mimpi wartawan mereka sendiri dan tidak berdasarkan situasi di lokasi sebenar. Jika benarlah berita mereka bersandarkan mimpi wartawan atau mimpi pengurusan TV3, eloklah di hujung siarannya dimaklumkan, "Berita yang disiarkan ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati, ia hanya berdasarkan ilusi dan khayalan wartawan kami semata-mata". Jika ada kenyataan sedemikian di hujung siaran berita TV3, tiada ada sesiapa yang berkecil hati dengan berita yang tersalah siar kerana ia cuma khayalan wartawan TV3 semata.

Ada rakan pula yang berkata wartawan TV3 dan pegawai atasan mereka wajar dirujuk tahap kesihatan mental mereka kepada pakar psikiatrik. Rakyat tentu dapat memaafkan mereka jika terbukti mereka memang ada masalah mental. Dengan itu tidak perlulah lagi bloggers pro-PR menggelar dan menobatkan TV3 sebagai TV3 Suku kerana memang ianya benar, tiada yang tidak benar, melainkan benar belaka ketiga sukuannya!!

oleh: pendikar gunung kriang

http://pendikargunung.blogspot.com/







1 comment:

pembunuhiblis said...

Rakyat dh muak dgn fitnah-fitnah melampau media kita. Rasa nk muntah. Tunggulah pmbalasannya nanti dlm PRU-13.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.