Thursday, December 18, 2008

MENGAPA GERANGAN LAGU DR ASRI DIGAM OLEH RTM?

mStar kelmarin (17 Disember 2008) melaporkan lagu puisi hasil nukilan Dr Asri Zainul Abidin yang juga bekas Mufti Perlis bertajuk 'Aku Bukan Musuh Harta' tidak mendapat kelulusan dari pihak RTM untuk siaran. Hal ini telah dimaklumkan oleh pihak pegawai perhubungan awam RTM kepada penerbit albumnya, Xifu Nasir. Xifu berkata, beliau sendiri tidak diberitahu secara khusus dan terperinci kenapa lagu itu tidak diluluskan. Bagaimanapun difahamkan ia digam kerana liriknya tidak sesuai untuk siaran kepada umum. Menurut beliau lagi, hanya stesen RTM saja yang tidak meluluskan lagu ini sedangkan di stesen lain sudahpun mendapat kelulusan sepenuhnya.

Lagu ini merupakan salah satu dari 10 buah lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan di dalam album berjodol 'Yang Benar Tetap Benar' yang dinyanyikan oleh Kumpulan Kopratasa dan Aishah. Selain lagu 'Aku Bukan Musuh Harta', lagu title track 'Yang Benar Tetap Benar' juga masih belum diluluskan sepenuhnya kerana akan disemak semula disebabkan ahli panel tidak berapa arif tentang perkataan 'makar' yang digunakan dalam puisi tersebut.

Ketika dihubungi hari ini, Dr Asri melahirkan rasa kemusykilannya kenapa lirik lagunya digam.

"Saya hairan mengapa lirik saya 'Aku Bukan Musuh Harta' digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam. Dalam negara kita hari ini berbagai parti memiliki kerajaan, lagu tersebut mempunyai pengajaran untuk semua. Jangan anda menghalang sesuatu ungkapan umum atau pengajaran am yang akhirnya orang lain akan menuduh bahawa andalah orang khusus dari yang umum atau am itu. Semua pihak tahu saya bukan orang politik, maka ketika saya menulis saya bebas dari kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian." kata Dr Asri yang kini berada di United Kingdom untuk tempoh setahun bagi cuti sabatikalnya.

Saya sendiri telah meneliti lirik lagu itu. Saya tidak nampak di mana silapnya hingga lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' itu sampai digam oleh RTM. Lagu itu tidak ada unsur lucah, mengajak melakukan keganasan atau unsur-unsur yang menyentuh moral dan norma-norma ketimuran yang dipegang oleh masyarakat kita. Persoalannya mengapa ia digam? Sedangkan di dalam radio kita bercambah dengan lagu-lagu yang bertemakan cinta murahan yang mengajak pendengar menerima 'cinta suci', mengajak berpegangan tangan, mengajak bertemu bagi melepas rindu dan mengajak bermacam-macam lagi dengan pasangan yang bukan muhrimnya tetapi tidak pernah digam oleh RTM. Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' hanya menceritakan kegilaan mengumpul harta sesetengah pihak demi mengkayakan diri sendiri serta keluarga dan membelakangkan rakyat. Ia adalah satu peringatan kepada semua pihak yang berurusan dengan harta awam supaya tidak menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan tetapi lirik sebaik itu digam! Soalnya salahkan mengingatkan sesama insan menjauhi kemungkaran, salahkah? Bukankah dalam Islam sendiri kita dianjurkan untuk menegur kemungkaran yang berlaku di depan mata sama ada dengan perbuatan, kata-kata atau jika tidak berupaya dengan niat?

Jika ditegur Penguasa dengan keras kita boleh disumbat dalam kem Kamunting, tapi dalam kes ini ditegur dengan melodi lembut pula pihak berkuasa masih enggan mendengarnya. Dengan kata-kata lain seolah-olah kita diminta jangan menegur kemungkaran di depan mata. Bak kata lirik lagu Pak Pandir yang pernah popular kira-kira sedekad dulu:

Ada mata lihat
Ada telinga dengar
Ada mulut diam!

Pemimpin-pemimpin kita selalu menyatakan iltizam kerajaan untuk menghapuskan rasuah tetapi jika lirik yang tinggi moralnya itupun tidak disenangi oleh pihak berkuasa, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai cakap tak serupa bikin. Jelaslah rakyat hanya diminta menjadi pak angguk, mengangguk terhadap semua yang pihak penguasa lakukan, tidak kira sama ada ianya baik atau tidak baik.

RTM yang mengikut menterinya tidak lama dahulu pernah berhasrat untuk muncul sebagai stesen TV yang setaraf dengan CNN dan al-Jazeera bolehlah melupakan niatnnya itu. Jika lirik lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' yang nampak biasa itupun tidak dapat diterimanya, betapa pula nak jadi seperti CNN dan al-Jazeera. Jauh panggang dari api!!

OLEH : pendikar gunung kriang

http://pendikargunung.blogspot.com/

Reply

Forward



2 comments:

pembunuhiblis said...

Apa nak heran dgn kerajaan BN kita ni. Memang dah gitu dah. Cakap tak srupa bikin dulu, kini & selamanya. Tunggu ajer lah PRU 13 nanti, bukan lagi 5+1, tapi 13+1 dpt kat PR!!

malaysia baru said...

Pemimpin yg cintakan dunia sedang sibuk kaut khazanah negara dgn cara yg tak sah tentulah tak ngam dengan 'Aku Bukan Musuh Harta'

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.