Sunday, December 28, 2008

MENGAPA SAMY VELLU MELENTING APABILA DAP MENGENDURKAN ISU HUDUD?

Ketika DAP seperti nampak telah mula mengendurkan isu hukum hudud yang cuba dipanaskan semula, sebalikknya Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mulai kelmarin dan hari ini menyelar PKR dan DAP yang katanya menyokong hudud. Samy Vellu hari ini mendakwa Karpal telah bertukar menjadi "harimau tidak bertaring" apabila menyatakan DAP menyokong PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.

"Harimau (Karpal Singh) kelihatan sudah menyerah kalah kepada PAS," kata Samy Vellu merujuk kepada sokongan Karpal kepada PAS dalam PRK Kuala Terengganu di mana PAS tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum Hudud.

Kelmarin Samy Vellu mencabar Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan secara terbuka pendiriannya mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Katanya, Anwar, yang merupakan penasihat PKR, tidak sepatutnya berdiam diri dengan isu itu kerana kegagalannya menyatakan pendiriannya berhubung pelaksanaan undang-undang itu boleh menimbulkan bantahan daripada masyarakat India di negara ini.


Yang melucukan kita, mengapa Samy Vellu nampak begitu kecewa apabila suara keras DAP mengenai pelaksanaan hukum hudud semakin lunak? Adakah beliau kecewa kerana semakin ramai orang bukan Islam memahami hudud menjadi berita buruk untuk BN yang bakal berdepan PAS dalam PRK Kuala Teengganu nanti? Dua hari lepas Naib Pengerusi DAP, M.Kulasegaran berkata bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam di negara ini. Kenyataaan Naib Presiden DAP itu seolah-olah menunjukkan bahawa parti itu semakin faham dengan hukum hudud. Namun ketika DAP nampak seperti semakin memahami hudud, mengapa Samy Vellu nampaknya masih senada dengan MCA dan Gerakan yang masih menjadikan hudud sebagai isu? Adakah MIC, MCA dan Gerakan masih bercakap tentang hudud dalam pendekatan yang masih keras kerana dihasut oleh abang sulungnya dalam BN yang bergelar UMNO itu? Jika itulah sebabnya, sepatutnya UMNO sebagai parti Melayu yang mengaku memperjuangkan Islam perlu berani mengeluarkan kenyataan yang senada dengan apa yang Kulasegaran katakan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam di negara ini. Cuma masalahnya sanggupkah UMNO berkata senada dengan M.Kulasegaran di tengah kegentaran pandangan sedemikian akan menimbulkan rasa amarah parti-parti komponen BN lain, khususnya MIC, MCA dan Gerakan?

Sepatutnya UMNO perlu berani menjelaskan kepada parti-parti lain di bawah komponen BN bahawa
pelaksanaan hudud hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam dan tidak kena mengena dengan orang bukan Islam.







Masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah yang telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan diwartakan di Terengganu.

Jika semua parti-parti komponen BN mahupun PR memahami kandungan sebenar hukum hudud, mereka pasti tidak akan menentangnya. Samy Vellu juga tidaklah perlu membuang masa lagi mencabar Karpal Singh dan Anwar Ibrahim mengenai hukum hudud ini. Namun memandangkan isu itu telah diperbesar-besarkan dan faktanya telah dikelirukan demi political mileage parti tertentu maka masih ramai yang akan terkeliru dan terus terkeliru. Malah bagi mengekalkan kekeliruan, pihak media arus perdana tidak pernah menyiarkan kenyataan Naib Pengerusi DAP, M.Kulasegaran yang berkata bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam di negara ini. Jika berita itu disiarkan mungkin media arus perdana takut isu tersebut akan reda, dan sebarang keredaan isu berkenaan tidak begitu sihat dalam konteks mencerahkan peluang BN dalam PRK Kuala Teengganu kelak.

Oleh : pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.