Saturday, December 20, 2008

MENGAPA TIADA PEMIMPIN UMNO YANG TERSENTUH DENGAN KENYATAAN MAT TAIB?

Sebenarnya sudah lama saya hendak menyentuh kenyataan pemimpin UMNO yang seorang ini. Tetapi saya hendak tunggu dan lihat dahulu respons terhadap kenyataannya terutama dari pemimpin-pemimpin UMNO lain dan NGO Melayu yang lazimnya sangat pantang jika hal berkaitan ketuanan Melayu diperkotak-katikkan. Namun hingga 4-5 hari berlalu tiada pemimpin UMNO mahupun NGO Melayu yang bercakap mengenai isu ini. Ataukah mereka bercakap tetapi saya terlepas pandang mendengarnya?

Pada 15 Disember lepas The Sun melaporkan petikan berita dari Sin Chew Daily bahawa Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang berkata ketuanan Melayu (Malay supremacy) cuma ungkapan kosong ( catchphrase) dan tidak wujud dalam kehidupan sebenar. Apa yang lebih penting katanya ialah orang Melayu perlu memajukan diri dalam perniagaan, sektor perkhidmatan mahupun bidang-bidang kerja lain. Selanjutnya beliau berkata ketuanan Melayu dijadikan ungkapan oleh sesetengah pihak atas tujuan tertentu yang mereka sendiri sahaja mengetahuinya.

Sebenarnya secara peribadi saya bersetuju dengan apa yang beliau katakan bahawa tindakan memajukan diri dalam setiap bidang adalah lebih penting dari bercakap tentang ketuanan Melayu. Majoriti Melayu juga pada pandangan saya bersetuju dengan kenyataan beliau. Cuma sesekali saya cuba bayangkan jikalah yang berkata itu pemimpin Melayu dari PKR atau PAS, tentulah media cetak dan elektronik telah mensensasikannya. Mereka pasti dituduh dengan pelbagai cemuhan. NGO-NGO Melayu yang tidak pernah didengari nama mereka sebelum ini pula pasti berarak ke jalanraya tanpa permit polis sambil melaungkan perkataan-perkataan seperti 'Pengkhianat Melayu', 'Perosak Bangsa' dan sebagainya. Mungkin pelajar-peljar ITM juga akan diarahkan oleh Naib Chanselor mereka untuk ponteng kelas bagi membantah kenyataan 'Pengkhianat Melayu' itu. Jika yang mengeluarkan kenyataan itu ialah pemimpin-pemimpin bukan-Melayu dari DAP atau PKR kesannya pasti lebih hebat. Mungkin balai polis di setiap negeri berduyun-duyun penuh dengan gerombolan UMNO yang membuat laporan polis sambil menjerit perkataan-perkataan yang seperti telah dihafal skripnya.

Soalnya adakah pemimpin-pemimpin UMNO yang mempopularkan konsep ketuanan Melayu bersama NGO-NGO Melayu yang tidak pernah didengar namanya itu tidak ingin komen kenyataan Muhammad kerana telah jemu dengan isu tersebut? Atau adakah kerana kenyataan mengenai perkara itu hanya keluar dalam akhbar Cina dan the Sun, maka ia tidak dianggap penting? Atau ia didiamkan kerana dibangkitkan oleh Ketua Penerangan UMNO yang secara tradisinya menjadi jurucakap UMNO dan oleh itu perlu dipatuhi?

Dahulu apabila Zaid Ibrahim mengkritik ketuanan Melayu, dia dikecam hebat dan akhirnya dipecat dari UMNO. Muhammad Muhd Taib pula pasti berkampung di Kuala Terengganu untuk kempen Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada bulan hadapan. Sama ada dia berani mengenengahkan perkataan yang sama di hadapan penyokong UMNO tidak tahulah. Yang pasti Muhammad Muhd Taib berani berkata ketuanan Melayu tidak wujud di hadapan akhbar Cina. Di hadapan akhbar Melayu belum tentu keberanian yang sama ada dalam dirinya untuk mengungkapkan perkataan yang sama.

Oleh : pendikar gunung kriang

http://pendikargunung.blogspot.com/

6 comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.