Thursday, December 25, 2008

PPSMI - Kalau Berani, Jom Kita Lakukan Pungutan Suara!!

Tiba-tiba PPSMI panas kembali. Banyak pihak mula bercakap projek yang telah 6 tahun berjalan itu. GAPENA yang slama 6 tahun seperti dibuai lena, tiba-tiba bingkas mengugut untuk menyaman kerajaan jika PPSMI diteruskan. NGO Melayu lain seperti TERAS juga menyuarakan suara yang sama dengan GAPENA - membantah penerusan PPSMI. Yang paling menarik Datuk Sri Khir Toyo yang selama menjadi Menteri Besar Selangor tidak pernah menyanggah PPSMI tiba-tiba bercakap senada GAPENA, TERAS, PAS dan PKR yang meminta sains dan matematik kembali diajar dalam Bahasa Melayu.

Dan hari ini Pensyarah Pembangunan Sosial UUM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain memberi pandangan yang lebih menarik - adakan pungutan suara atau referendum untuk mengetahui pendapat majoriti rakyat mengenai PPSMI! Kata beliau pungutan suara atau referendum bagi menentukan status pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dipercayai akan membantu meleraikan debat hangat antara ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai mengenai dasar itu sejak enam tahun lalu. Namun beliau berkata, kaedah referendum seperti itu mungkin tidak popular di negara ini.

"Kalau di Barat referendum adalah perkara biasa, tapi kalau di negara kita saya fikir ia tak mungkin jadi kenyataan," kata beliau kepada mStar Online.

Tokoh akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim juga menyifatkan referendum adalah langkah terbaik menentukan masa depan dasar berkenaan. Katanya, perkara ini harus ditentukan melalui keputusan suara majoriti kerana ia melibatkan kepentingan umum. "Lagi baik buat pungutan suara, biar majoriti buat keputusan... lagipun kita amalkan sistem demokrasi," katanya.

Jelasnya, jika setiap keputusan yang dibuat sering mendapat bantahan dari pelbagai pihak, maka jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang melanda ini adalah melalui proses pungutan suara. Jelasnya, soal pendidikan perlu diberi perhatian dan pilihan yang sewajarnya jika negara ingin melihat pelajar-pelajarnya memperoleh tahap pendidikan yang terbaik untuk masa depan mereka dan negara.

Saya secara peribadi menyokong penuh jika referendum diadakan bagi mengetahui pendapat rakyat. Sama ada kerajaan akan tunduk kepada pandangan majoriti rakyat adalah satu hal lain. Selama ini pun kerajaan bukan tunduk sangat kepada pandangan rakyat, misalnya dalam kes kenaikan harga petrol dan barang di negara ini. Jadi apa salahnya buat pungutan suara, lihat pendapat majoriti rakyat. Tapi soalnya adakah kerajaan sanggup mengadakan pungutan suara bagi mengetahui pandangan rakyat? Dan pernahkah kerajaan kita melakukan referendum sebelum ini? Seingat saya tidak! Yang saya tahu kali pertama dan terakhir referendum diadakan ialah semasa pra-pembentukan Malaysia dahulu, itupun hanya membabitkan penduduk Sabah dan Sarawak. Walaupun pendapat popular kini termasuk dari GAPENA, NGO-NGO Melayu, malah tokoh politik BN sendiri seperti Datuk Sri Khir Toyo menyarankan sains dan matematik perlu kembali diajar dalam Bahasa Melayu, tetapi kerajaan sehingga sekarang tidak menunjukkan minat menyetujui pendapat itu.

Justru, saya kurang yakin kerajaan akan melakukan referendum bagi mendapatkan pandangan rakyat mengenai isu penggunaan BI dalam subjek sains dan matematik, kerana:

i) ia pasti melibatkan kos yang tinggi dan membazir wang (alasan biasa kerajaan lah tu... apa lagi di zaman kemelesetan ni)

ii) ia akan membabitkan kempen yang tidak sihat di kalangan pemimpin kita yang masing-masing hendak menunjukkan diri sebagai jaguh rakyat (alasan yang boleh dipertikaikan)

iii) referendum bukan satu amalan dan kebiasaan kita (sama juga dengan demonstrasi anjuran bukan penyokong UMNO yang dikatakan bukan budaya kita)

iv) rakyat telah memberi majoriti selesa kepada BN dalam PRU ke -12 yang menunjukkan mereka menyokong PPSMI (ide orang kurang cerdik) dan

V) ia tidak perlu dilaksanakan buat masa ini (alasan pemimpin yang kering idea).

Jika kerajaan tidak bersetuju dengan ide mengadakan referendum meliputi semua rakyat yang berhak mengundi, saya cadangkan satu ide alternatif - buat permulaan kerajaan boleh membuat referendum yang membabitkan SEMUA pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5 yang berpengalaman mengikuti kelas subjek sains dan matematik dalam BI. Referendum itu perlu melibatkan semua pelajar tingkatan 1 hingga 5 sahaja dan bukannya random survey yang hanya membabitkan sample kecil yang boleh dipertikai ketepatannya. Biarlah pelajar yang benar-benar relevan dalam isu ini memberi pandangan mereka sendiri sama ada setuju atau tidak, itu lebih adil dan realistik. Dan yang lebih penting, kerajaan tidak punya alasan untuk menyatakan referendum sedemikian melibatkan kos yang tinggi, kerana ia tidak membabitkan keseluruhan penduduk dewasa negara ini.

Oleh:

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.