Saturday, January 31, 2009

Azalina: PM, TPM dan Pemimpin-Pemimpin UMNO Pengecut!!


Terkejut beruk saya membaca kenyataan anggota MT UMNO, Datuk Seri Azalina Othman seperti yang tersiar dalam star online hari ini. Beliau menyifatkan mereka yang cuba mengelak daripada saingan dalam pemilihan jawatan tertinggi UMNO sebagai "pengecut" dan oleh itu sistem kuota pemilihan parti itu perlu dihapuskan secepat mungkin.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan berkata, MT Umno seharusnya mengambil keputusan segera berhubung penggunaan sistem kuota tanpa menunggu sehingga selepas perhimpunan agung tahunan dan pemilihan pusat Mac ini.

"Hanya pengecut memilih untuk bertanding di bawah sistem kuota. Parti-parti lain seperti DAP, PKR dan PAS, mereka tiada sistem kuota.

"Saya sedih dengan sistem ini yang tidak menggalakkan demokrasi dalam pertandingan parti," kata beliau pada sidang media selepas melancarkan "Zoom! Homestay Pulau Pinang di Pulau Betong di sini hari ini. Beliau menegaskan, sekiranya sistem itu dibubarkan maka ia akan menjadikan pemimpin yang bertanding untuk sesuatu jawatan itu lebih bertanggungjawab.

Siapa si-pengecut yang Azalina maksudkan itu? Jika diteliti senarai si-pengecut dalam UMNO tentu panjang berdasarkan definasi Azalina itu. Ini kerana semua yang menganggotai MT, dari ahli MT, NaibPresiden, Timbalan Presiden dan Presiden yang berada di jawatannya kini adalah hasil sistem kuota itu. Jadi semua yang kini dan sebelum ini memenangi jawatan mereka hasil dari sistem kuota itu adalah pengecut. Pak Lah pengecut, Najib pengecut, Muhyidin pengecut dan semua menteri-menteri lain adalah pengecut belaka!

Benarkah semua pemimpin UMNO pengecut seperti yang Azalina katakan? Mengapa Azalina nampak marah sangat hingga semua boss dan rakan-rakannya diborong habis sebagai pengecut? Tepuk dada, tanya siapa lagi nak lompat!

Oleh: pendikar gunung kriang

Ke Mana Dua EXCO Perak Menghilang?

Kabarnya sudah empat hari dua Adun PKR yang juga exco kerajaan negeri Perak menghilangkan diri tanpa dapat dikesan oleh parti yang dianggotainya dan juga kaum keluarganya. Ke mana kedua-duanya menghilangkan diri? Itulah misteri yang belum dapat dirungkai hingga kini.





Bagi PKR, mereka mensyaki kehilangan kedua-dua exco tersebut, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu ada kaitan dengan cubaan BN memujuk mereka dengan imbuhan termasuk tawaran wang ringgit. Andaiaan itu diperkuatkan dengan kes mahkamah yang sedang mereka hadapi kini. Kononnya mereka diberi tawaran untuk dilepaskan dari pertuduhan jika sanggup melompat parti ke BN. Sama ada andaian tersebut benar atau tidak hanya masa yang akan menentukannya.

Bolehkah kita percaya andaian kedua-dua Exco tersebut sedang dipujuk untuk lompat parti? Berdasarkan serangan bertubi-tubi daripada beberapa pemimpin UMNO terhadap Datuk Nasarudin yang lompat parti baru-baru ini, maka TAK MUNGKIN UMNO yang melakukan kerja itu. Tak kan pula UMNO melakukan sesuatu yang ia sendiri tidak suka? (dulu memang UMNO suka lompat-lompatan, itu pengecualian). Yang sanggup melakukan sesuatu yang ia sendiri tidak suka hanyalah orang gila. Dan UMNO bukan parti orang-orang gila walaupun komen-komen tidak menentu beberapa pemimpin mereka akhir-akhir ini boleh membuatkan kita pening kepala.

Oleh: pendikar gunung kriang

Ramlang Porigi: Masih Ada Esok Untukmu


Saya sangat simpati dengan nasib mantan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang dipecat baru-baru ini daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Permatang Pauh tahun lepas.
Lembaga Tatatertib Jakim yang dipengerusikan oleh Wan Mohamad difahamkan mengambil keputusan itu dalam mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Yang sangat malang dalam kes Ramlang ini ialah apabila beliau mendakwa penyingkirannya tidak melalui prosedur dan amalan biasa. "Saya dibuang tanpa amaran, tanpa notis," katanya kepada Malaysiakini.

Jika apa yang dikatakan Ramlang itu benar - beliau dibuang kerja tanpa amaran, tanpa notis - maka peluang untuk beliau untuk mendapatkan kembali jawatannya sangat-sangat cerah. Buang kerja dalam perkhidmatan awam bukanlah suatu prosedur mudah. Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, banyak proses yang terpaksa dilalui sebelum seseorang anggota perkhidmatan awam itu boleh dibuang kerja. Anggota yang hendak dibuang kerja perlu diberi notis pemberitahuan, peluang membela diri dalam tempoh 21 hari kepada majikannya, hak diberitahu keputusan dan jika perlu hak menggunakan khidmat peguam. Malah selepas majikannya membuang kerja pun, beliau masih berpeluang membawa kesnya ke Lembaga Rayuan Tatatertib di Jabatan Perkhidmtan Awam. Prinsip penting dalam peraturan yang terpakai sebelum dibuang kerja ialah seperti yang dinyatakan di dalam Perkara 135 (2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang menyatakan:

"Tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat dengan tidak diberi peluang yang munasabah untuk (kesnya) didengar"

Dengan kata-kata lain, sebelum mengambil tindakan buang kerja, JAKIM perlu mengeluarkan surat pertuduhan dan memberi peluang mencukupi dalam tempoh 21 hari kepada Ramlang untuk mempertahankan dirinya. Surat pertuduhan pula perlu dikemukan mengikut peraturan dengan ada akuan terima dari pihak yang dituduh. Selepas anggota dijatuhkan hukuman, mereka yang dibuang kerja boleh mengemukakan rayuan ke Lembaga Rayuan Tatatertib di Jabatan Perkhidmatan Awam dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan oleh jabatannya.

Banyak kes-kes buang kerja oleh beberapa jabatan sebelum ini berakhir dengan anggota perkhidmtan awam berkenaan mendapatkan semula jawatan asalnya dahulu. Malah ada kes-kes di mana anggota yang telah ponteng kerja selama bertahun-tahun dan kemudian dibuang kerja oleh majikannya mendapatkan semula kerjanya semata-mata kerana pertuduhan yang dibuat tidak mengikut peraturan, contohnya tiada surat pertuduhan, surat pertuduhan tidak jelas, tiada bukti anggota yang dituduh telah menerima surat pertuduhan dan sebagainya.

Dalam kes Ramlang, beliau menyatakan tidak menerima surat pertuduhan dan tidak diberi peluang membela diri. Ini menunjukkan tindakan buang kerja terhadap Ramlang adalah tidak mengikut peraturan. Jika apa yang dikatakan Ramlang itu benar - beliau dibuang kerja tanpa surat pertuduhan dan tanpa berpeluang membela diri - saya sangat yakin dan berani menyatakan jika beliau membuat rayuan ke Lembaga Rayuan Tatatertib, peluangnya untuk mndapatkan kembali jawatannya sangat-sangat cerah.

Apa yang penting kini bagi Ramlang ialah menulis surat membela diri dalam tempoh 14 hari selepas surat buang kerja diterimanya yang difahamkan diterimanya pada minggu lepas. Jika Ramlang tidak begitu mahir menulis surat membela diri, saya percaya ada berjuta rakyat Malaysia yang sedia membantunya.

Oleh: pendikar gunung kriang

Rosmah Vs Erdogan Siapa Hebat?



Isteri saya pernah bertanya: mengapa hari-hari Rosmah muncul di TV bercakap mengenai Gaza dengan suara manja dan sebak yang kelihatan begitu dibuat-buat, mengapa tidak Jeanne Abdullah sebagai Wanita Pertama yang muncul di TV? Jawapan acuh tak acuh saya mudah: Rosmah bakal Wanita Pertama dan dia sudah tidak sabar menunggu 2 bulan lagi untuk memperagakan aksi.


Bila berbicara mengenai Gaza, tiba-tiba malam tadi bulu roma saya meremang melihat keberanian Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menempelak sambil menuding jari tepat ke muka Perdana Menteri Israel dalam Sidang Forum Ekonomi Dunia di Davos. Saya juga melihat di TV rakyat Turki beramai-ramai keluar ke jalan raya memberi sokongan terhadap kejantanan Perdana Menteri mereka itu. Tidak terkecuali rakyat Gaza yang juga keluar ke jalanraya membawa sepanduk dan potret Erdogan yang tiba-tiba muncul sebagai hero baru rakyat Palestin.

Syabas kepada Erdogan, syabas kerana ada juga pemimpin jantan umat Islam di dunia ini. Beliau memberi harapan baru di tengah kelesuan pimpinan Arab dan dunia Islam yang cakap tidak serupa bikin.

Tambah hebat dan terserlah keberanian Erdogan kerana berani meninggalkan Sidang Davos yang berprestij itu! Beliau berani bertarung di tengah gelanggang, tidak seperti pemimpin umat Islam, termasuk Malaysia yang hanya berani menyalak menentang Amerika di kampung halaman tetapi kelu membisu tatkala berada di Amerika dan di luar negara di tengah pemimpin dunia. Negara ini pernah diberi amanah sebagai Pengerusi OIC, tetapi apabila timbul pelbagai masalah umat Islam, termasuk Timur Tengah, Pengerusi OIC dari Malaysia lebih banyak berdiam diri atau bercakap hanya selepas isu hampir selesai. Lihatlah saja apa yang Malaysia buat selaku Pengerusi OIC ketika Lubnan dilanyak Israel dua tahun lalu: Oooh, I seee....tengok dan lihat selama berminggu-minggu sebelum panggil mesyuarat.

Jikalah ketika itu seorang Erdogan dan seorang Ahmadeenejad yang memimpin OIC rasanya sejarah yang tercatat tentu berbeda. Jika Mahathir dan Pak Lah berani mempamerkan kejantanan mereka apabila berpeluang melakukannya dahulu, mungkin rakyat Lubnan dan Palestin akan berarak ke jalan raya membawa potret Perdana Menteri kita itu. Betapa bangganya kita menjadi rakyat Malaysia jika begitulah situasinya ketika itu!!

Apakah Pak Lah dan Najib selaku pemimpin serta Rosmah yang hari-hari bercakap mengenai Gaza itu hanya berani menyalak dalam gelanggang semata-mata untuk menarik simpati dan sintimen rakyat yang rata-ratanya begitu meluat dengan keangkuhan Israel dan Amerikla? Yang lebih malang ialah apabila seorang mantan PM kita yang nampak begitu anti-Amerika dan anti-Yahudi, tetapi sanggup membayar USD 1.2 juta kepada pelobi Yahudi Jack Abramoff semata-mata untuk berkesempatan melutut di hadapan mantan Presiden Bush. Malangnya umat Islam Malaysia!

Oleh: pendikar gunung kriang

Syabas UMNO Jika Berani Buat Ini


Kononnya UMNO yang terlalu ingin untuk berubah tetapi tidak pasti apa yang hendak diubahnya telah membincangkan 2 syor dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi:

- membincangkan kemungkinan lebih tiga juta ahli UMNO mengundi secara langsung untuk memilih barisan kepimpinan parti termasuk peringkat pusat kelak.

- menghapuskan sistem kuota yang diperkenalkan hampir dua dekad lalu.

Ia merupakan antara pelbagai syor dan saranan yang disentuh oleh MT malam kelmarin, hasil sesi retreat tahun lalu - susulan prestasi buruk Umno dan BN pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kepada UMNO, syabas jika anda berani berubah. Jika UMNO berubah, ia akan menjadi satu cabaran kepada PR untuk menarik lebih ramai penyokong khususnya dari kalangan Melayu. Ini kerana rakyat nampak perkembangan mutakhir menunjukkan komponen PR berani berubah demi memperjuangkan suara rakyat, tetapi di ketika yang sama UMNO kelihatan masih di takuk lama. Jika UMNO berani berubah, rakyat khususnya orang Melayu akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam menentukan parti yang akan mereka dokongi, kerana ramai yang nampak kini hanya ada 2 pilihan untuk orang Melayu: PKR atau PAS dan kedua-duanya komponen PR. Jika UMNO berubah, PKR dan PAS juga perlu bekerja lebih kuat untuk memperjuangkan harapan dan aspirasi rakyat. Dan orang Melayu pasti akan lebih tertarik jika UMNO juga berani berubah untuk 'menghukum mati' kronisme, politik wang, rasuah (termasuk rasuah pilihanrya) yang selama ini telah sebati dengan jenama parti itu dan lebih tegas dalam perjuangan Islam termasuk hukum hudud.

Malangnya selepas puas berbincang malam tadi selama 3 jam, MT tidak mengambil sebarang keputusan muktamad mengenai kedua-dua cadangan di atas, sebaliknya perkara tersebut hanya akan diteliti secara mendalam selepas perhimpunan agung dan pemilihan Mac ini.

Nampaknya begitulah, keputusan untuk berubah ditangguhkan sementara oleh MT. Jadi itulah wajah UMNO yang setakat ini rakyat nampak: cakap berdegar-degar macam nak rak, tapi kemudian tak berani buat apa-apa keputusan!

Oleh: pendikar gunung kriang

Friday, January 30, 2009

Berita Panas: Dato Nasarudin Hendak Kembali Kepada UMNO?


Hari Ahad lepas ADUN Bota Dato Nasarudin meninggalkan Umno berhijrah ke PKR. Hari Isnin lepas pula beliau secara rasmi telah menghantar surat keluar UMNO. Hari ini pula mStar melaporkan beliau mahu mengambil sikap "tunggu dan lihat" untuk menilai situasi dalam parti ekoran kepimpinan sementara Badan Perhubungan Negeri Perak yang diambil alih oleh Datuk Seri Najib.

"Tengok dulu, tengok dulu... apa yang akan berlaku... tengok keadaan," kata Datuk Nasarudin Hashim yang ditanya sama ada bersedia untuk mengkaji semula pendiriannya ekoran pelantikan kepimpinan Umno negeri yang barui.

Sambil menegaskan bahawa sehingga pagi ini pendiriannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) - salah satu komponen Pakatan Rakyat, masih kekal, beliau memberitahu, "adalah terlalu awal untuk mengatakan sama ada sedia kembali ke Umno."

Beliau menyifatkan tindakan Najib menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai ketua Umno dan BN adalah langkah baik untuk membawa perubahan.

"Keadaan mungkin berubah tapi kena tunggu dan lihat," kata beliau.

Walaupun telah keluar UMNO dan menganggotai PKR, laporan Mstar menggambarkan pendirian beliau masih berbelah bahagi. Mungkin kekal, mungkin lompat balik. Jika beliau ditakdirkan lompat balik, ia satu kemenangan moral kepada BN yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk itu. Jadi BN dan PR perlu bersedia untuk segala kemungkinan. Bersedia untuk bertambah, bersedia untuk berkurang. Jangan terkejut untuk apa saja kemungkinan dalam tempoh terdekat. Jangan teruja dan jangan terkejut untuk sedikit kemenangan dan sedikit kekalahan, kerana sesungguhnya politik adalah seni kemustahilan (politics is the art of impossible)!

oleh: pendikar gunung kriang

Mengapa Baru Sekarang Baru Nak Bercakap Tentang Undang-Undang Lompat Parti?

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya untuk difikirkan secara serius bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan anti-lompat parti.

"Kita banyak menyaksikan ketidakstabilan politik di masa lalu. Kini masanya untuk mempertimbangkan cadangan ini", kata Pairin.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menyokong pindaan tersebut dibuat dalam perlembagaan persekutuan dan negeri.

Kelmarin, Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta BN Perak supaya mengadakan gerakan besar-besaran bagi mendesak Nasarudin supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat Bota yang dimenanginya atas tiket BN. Pemimpin-pemimpin BN dari UMNO juga banyak yang memberi pandangan yang sama dengan Dato' Rais.

Soalnya kenapa selepas Dato Nasarudin lompat dari UMNO ke PKR, baru semua pemimpin UMNO heboh untuk menghalang lompat parti? Lompat parti bukan senario baru dalam politik Malaysia. Ia berlaku sejak dulu. Cuma bedanya dulu orang PAS dan DAP lompat ke BN. Contohnya Nordin Saleh ADUN PAS Kelantan pernah lompat ke UMNO pada 1990. Pada 1994 pula lompatan besar-besaran ADUN PBS telah menyebabkan kerajaan negeri yang dipimpin PBS tumbang kepada BN. Ada banyak lagi kes ADUN dan Ahli Parlimen lompat parti, semuanya dari parti pembangkang atau Bebas ke BN.

Ketika itu tidak pula terdengar pemimpin BN yang mencadangkan undang-undang anti-lompat parti. Kerana apa tidak terfikir undang-undang semustahak itu di ketika itu? Ya, jawapannya mudah: ketika itu BN sangat kuat. Hanya pembangkang yang akan lompat ke BN, mustahil pula BN melompat ke pembangkang ketika itu.

Semasa Pairin menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu beliau pernah meminta semua ADUN dan Ahli Parlimen Sabah membuat surat aku janji tidak akan melompat parti jika memenangi pilihanraya. Jika lepas menang, mereka melompat ke parti lain, secara otomatis kerusi yang dimenanginya akan dikosongkan. Tetapi terdapat ADUN Sabah yang membawa kes ini ke mahkamah. Mahkamah kemudiannya memutuskan surat aku janji itu tidak sah dan dengan itu ADUN bebas memilih parti yang mereka sukai. Keputusan mahkamah itu sangat menggembirkan BN yang kemudian melobi ADUN-ADUN PBS untuk melompat ke BN. Akibatnya PBS tumbang pada 1994.

Tapi situasi kini berubah: PR nampak stabil walau cuba digoyang dengan pelbagai isu. BN pula nampak goyah, terutama selepas keputusan PRK Kuala Terengganu. Kini segalanya nampak seperti tak menjadi bagi BN. Sebab itu pemimpin-pemimpinnya sibuk bercakap mengenai undang-undang lompat parti, kerana mereka takut akan ada lagi yang melompat.

Sejarah Malaysia telah membuktikan segalanya bisa berubah hanya kerana situasi semasa itu berubah. Jika suatu hari nanti BN kukuh kembali, akankah mereka sudi bercakap mengenai undang-undang lompat parti lagi?

Oleh: pendikar gunung kriang

Pengundi Bota Dipersilakan Dengar Ceramah Dato Nasarudin Malam Ini


ADUN Bota yang berhijrah dari UMNO ke PKR akan hadir dalam Ceramah Khas Mesra Rakyat anjuran PKR di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan malam ini.

Sumber dari mStar melaporkan Nasarudin berkata, beliau akan mengambil bahagian dalam ceramah yang antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar UMNO dan menyertai PKR. Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin.

Kepada pengundi Bota, tidak kiralah sama ada anda penyokong BN, PKR atau PAP (Pengundi Atas Pagar) anda dipersilakan hadir. Tidak rugi mendengar penjelasan dari mulut orang yang terbabit dalam isu yang sedang hangat diperkatakan itu sendiri.

-pendikar gunung kriang

Awat Perut Putera UMNO Boroi Sangat?

SEBAHAGIAN daripada anggota Pemuda dan Putera Umno yang mengadakan demonstrasi membantah peranan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pekarangan Menara Dato Onn kira-kira 8.20 malam tadi. - foto The Star

Dalam blog saya semalam, saya ada membuat komen tentang demonstrasi Pemuda dan Putera UMNO di pekarangan Menara Dato Onn, PWTC yang dibuat kira-kira jam 8.20 malam tadi. Mereka mengadakan demonstrasi membantah tindakan Lembaga Disiplin UMNO dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang.

Kumpulan itu berhimpun di pekarangan Menara Dato Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej antaranya "Lembaga disiplin UMNO sudah nyanyuk", "Jangan ambil hak ahli UMNO" dan "Kami menolak, SPRM boleh blah".

Ketika menulis dalam blog saya mengenai berita itu semalam, saya belum melihat gambar Putra dan Pemuda UMNO yang berdemonstrasi itu. Pagi ini baru saya berpeluang melihat mereka memperagakan aksi 'demonstrasi bukan budaya kita itu' di dalam mStar. Tergelak saya berdekah-dekah melihat wajah-wajah obesiti Putera dan Pemuda yang tersiar dalam mStar itu. Hati saya berkata: Waah...besar dan boroinya perut depa, apa yang depa makan hari-hari, beras cap gajahkah?

Patutlah mereka marah kepada Tengku Ahmad Rithaudeen (TAR) yang syorkan sayap parti itu dibubarkan kerana didakwa turut terlibat dalam politik wang. Patutlah mereka marah kepada SPRM yang menangkap ketua-ketua mereka. Patutlah mereka bawa sepanduk bertulis 'jangan ambil hak ahli UMNO'. 'Hak' apa yang mereka maksudkan dalam sepanduk itu - hak untuk bermain politik wang, 'hak' untuk hulur dan terima duit yang tidak halal, 'hak' untuk berasuah, 'hak' untuk memboncetkan perut dengan wang suapan hingga menyebabkan perut menjadi semakin gendut dan boroi?

Melihat kepada perut gendut dan boroi mereka itu, fahamlah kita mengapa mereka berdemonstrasi, mengapa mereka marah sangat kepada TAR dan SPRM. Rupa-rupanya ia berkaitan dengan wang, rupa-rupanya ia berkaitan dengan makanan, rupa-rupanya ia berkaitan dengan lemak di badan, rupa-rupanya ia berkaitan dengan isi perut....

Oleh: pendikar gunung kriang

Thursday, January 29, 2009

Dulu Depa Kata Demonstrasi Bukan Budaya Kita, Kini Depa Pula....


Semasa BERSIH membuat demonstrasi di tengah pusat bandar Kuala Lumpur dahulu pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sama ada di peringkat pusat, negeri hingga di peringkat Bahagian. Semuanya mengutuk demonstrasi dengan ungkapan sama yang diulang-ulang: "Demonstrasi bukan budaya kita!". Sampai anak kecil yang belum tadika itu pun hafal ayat 'demonstrasi bukan budaya kita'. Hebat, mesej sampai ke khalayak, semua sudah bijak jadi kakak tua ketika itu.


Tapi malam ini di Menara Dato Onn, mStar melaporkan, ketika Majlis Tertinggi (MT) UMNO sedang bermesyuarat tiba-tiba sekumpulan anggota Pemuda dan Putera UMNO mengadakan demonstrasi membantah tindakan Lembaga Disiplin UMNO yang mencadangkan pembubaran sayap parti itu dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoal siasat 39 orang berhubung politik wang di Pahang baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Zuraidi Abdul Rahim iaitu perwakilan dari Baling berkata, tindakan SPRM itu telah mencemarkan imej UMNO.

Kumpulan itu berhimpun di pekarangan Menara Dato Onn di sini dengan membawa sepanduk tertera mesej "Lembaga disiplin UMNO sudah nyanyuk", "Jangan ambil hak ahli UMNO" dan "Kami menolak, SPRM boleh blah".

Wauuu...hebat juga budak-budak UMNO tu yer? Siapa yang ajar budak-budak tu berdemonstrasi? Datuk mereka, nenek mereka, bapa mereka, ibu mereka kata 'demonstrasi bukan budaya kita', habis budaya siapa pula anak cucu UMNO berdemonstrasi ni? Tak kan budaya PR pula? Tak kan budaya Mat Rempit pula? Bila pula PR dan Mat Rempit sempat mengajar budak-budak UMNO tu berdemonstrasi? Pelik, sungguh pelik!!

Atau mereka belajar semasa perhimpunan-perhimpunan anti-kerajaan PR di Pulau Pinang, Perak dan Selangor dahulu? Siapa penganjur demonstrasi-demonstrasi itu yer? Apa, UMNO, UMNO penganjur demonstrasi di Pulau Pinang, Perak dan Selangor itu? Patutlah! Jadi demonstrasi itu bukan budaya kita tapi budaya UMNOlah yer? Jadi ia kesinambungan dari demonstrasi yang dianjurkan UMNO sejak zaman Malayan Union itulah yer?

Yang lebih hebat tentang budak-budak UMNO ni ialah mereka berani memperlekeh veteran UMNO Tengku Ahmad Rithaudeen dalam demonstasi itu sebagai 'nyanyuk' dan SPRM sebagai 'boleh blah'. Hebatnya mereka, siapa yang ajar gamaknya yer? Tak kan ibu bapa pula yang ajar bahasa tak sopan tu kan, kerana bukankah dulu Rais Yatim menteri UMNO tu pernah buat slogan 'budi bahasa budaya kita'? Tak kan pula Tadika KEMAS yang ajar bahasa tak sopan tu kan? Pelik yer, sapa yang ajar?

Lawaknya UMNO!!

Oleh: pendikar gunung kriang

Perlis.....Oh Perlis, Negeri Kecil Comel Tapi Tak Habis-Habis Bergomol!!


Negeri Perlis itu kecil saja. Sebab itu di Perlis tidak ada daerah, dan tidak ada Pegawai Daerah; sebab negerinya kecil sangat. Kebanyakan daerah-daerah di Pahang, Kedah dan Perak adalah lebih besar dari negeri Perlis yang keluasannya cuma 795 kilometer persegi itu. Penduduknya pula cuma 218,000 orang - lebih kecil dari penduduk beberapa bandar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Ipoh.


Jumlah penduduk Perlis yang tidak sampai 1% dari penduduk Malaysia itu walau bagaimana pun tidak menggambarkan sebuah Perlis yang damai. Walaupun kecil, tapi politiknya besar. Sejak dahulu tidak habis-habis kisah orang UMNO bergaduh sesama sendiri. Kemuncak pergaduhan itu ialah apabila Shahidan Kassim yang hebat itu akhirnya digantikan oleh Dr Mat Isa Sabu selepas PRU ke-12 dulu.

Dan kelmarin nampaknya peperangan baru tercetus lagi antara puak Shahidan yang diwakili oleh Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh dengan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Hashim menuduh Radzi sedang menjalankan gerakan mencantas pengaruh mantan Menteri Besar itu dengan menyekat jawatan para penyokongnya, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan menghalang pemberian kontrak kerajaan negeri. Hashim juga mendakwa, Menteri Besar Perlis sekarang, Datuk Seri Mohd Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."

Sambil menempelak Hashim Suboh yang melemparkan dakwaan sedemikian semalam, Radzi yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO itu dilaporkan berkata oleh Malaysiakini:

"Cermin muka dahulu. Apa yang anda buat selama ini di Kangar dan Perlis? Jangan sembang kosong, tidak baik. Jangan buat tuduhan. Sembang kosong, tapi apa pun tak buat. Tunjukkan bukti dahulu!"

Radzi juga mencabar Hashim menunjukkan bukti bahawa beliau terlibat mencampuri urusan pentadbiran Menteri Besar itu. Radzi turut mendakwa Hashim tidak turun membantu jentera kempen BN dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu untuk memastikan kemenangan calon-calon parti itu di Kangar.

"Awak (Hashim) Ketua Penerangan? Siapa yang lantik awak? Saya Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat," katanya, sambil menasihatkan kepada Hashim agar menjalankan kerja dengan baik dan menunjukkan kejayaan kepada masyarakat.

Bagi mereka yang tinggal di Perlis atau pernah bertugas di Perlis, pasti kenal dengan watak-watak penting dalam UMNO Perlis ini. Kisah percakaran dalam UMNO bukan cerita baru bagi penduduk Perlis yang tidak ramai itu. Percakaran dalam keluarga yang sama juga bukan cerita baru di Perlis . Malah semua orang Perlis tahu Hashim dan abangnya yang bernama Azmi itu pun tidak sebulu juga, kerana Hashim dari kem Shahidan manakala Azmi dari kem Radzi.

Nampaknya salah satu sebab percakaran antara tokoh-tokoh besar Perlis ini seperti kata Hashim ialah kerana Kerajaan Negeri sekarang 'menghalang pemberian kontrak' kepada puak Shahidan. Jadi di situlah kuncinya: mereka sedang berebut "kek kecil", seperti lagak dua ekor kucing berebut kepala ikan temenung di Kuala Perlis. Peruntukan projek pembangunan di Perlis sangat kecil, tapi setiap kem mahu bahagiannya dalam kek yang kecil itu. Jadi berebut-rebutlah mereka tidak habis-habis untuk membaham kek kecil itu sebanyak mungkin.

Kesian betul pemimpin-pemimpin UMNO Perlis ini. Sudahlah negeri kecil, penduduk tidak ramai, hasil negeri pun tidak seberapa, peruntukan pembangunan tidak banyak, kek yang kecil itu pun hendak direbut-rebut sampai tuduh menuduh mengalahkan polemik politik di negeri-negeri lain yang saiznya berkali ganda besar.

Perlis...oh Perlis, negeri kecil comel tapi tak habis-habis bergomol!!


Oleh: pendikar gunung kriang

PR Perak - Tak Boleh Bertelur Diam-Diam Ke?


Dua tiga hari lepas bukan main heboh dengan berita ADUN Bota, Datuk Nasarudin yang berhijrah dari UMNO ke PKR. Dan kemudin timbul pula berita dari atas angin @ berita angin tiga lagi ADUN UMNO bergelar Datuk bakal mengikuti langkah Datuk Nasarudin. Berita dari atas angin juga bertiup kencang bahawa penghijrahan itu bakal berlaku dalam tempoh sangat terdekat. Berita dari atas angin itu semakin meyakinkan kerana ia diiyakan oleh Menteri Besar Perak sendiri.


Kini selepas 3 hari berlalu, nampaknya tiada ADUN lain yang melompat menyusuli Datuk Nasarudin. Tidak tahulah sama ada berita tiga ADUN lagi yang bakal berhijrah ke PR itu cuma kabar dari atas angin atau satu gimik dalam permainan politik atau ia memang benar-benar akan berlaku tidak lama lagi. Yang pastinya hingga kini ia belum berlaku tetapi sudah cukup untuk menggoncangkan kedudukan UMNO hingga Tajol Rosli terpaksa letak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.

Ketika Datuk Nasrudin berhijrah ke PKR, ia berlaku secara begitu teratur seperti kata pepatah Melayu, "diam ubi diam berisi". Dalam diam-diam saja, seperti tanpa angin pokok bergoyang, tiba-tiba keluar berita beliau berhijrak ke PKR hingga mengejutkan banyak pihak. Namun dalam kes tiga ADUN yang bakal berhijrah itu pula ia menjadi seperti, "ayam telur sebiji riuh sekampung". Jika bertelur sebiji tidak apa juga, sekurang-kurangnya ada juga sebiji, entah-entah nanti sebiji pun tidak keluar, apa macam?

Kepada PR Perak dan PR negeri-negeri lain, jika hendak bekerja, janganlah bekerja seperti ayam. Bekerja seperti ayam ini dulunya adalah salah satu strategi perang saraf UMNO/BN, tetapi mengapa PR perlu mencontohinya? Jika hendak bekerja, contohilah ubi: diam-diam berisi. Atau boleh juga contohi bagaimana pihak polis mengadakan operasi serbuan, bukan sahaja anggota yang terlibat dilarang membocorkan rahsia kepada rakan rapat, malah ahli keluarga sendiri pun dilarang diberitahu bagi memastikan kejayaan operasi.

Tetapi dalam kes penghijrahan tiga ADUN ini peperangan belum bermula, seentero Malaya sudah tahu. Dalam Perang 6 Hari antara Israel dan pakatan Arab pada 1967 dahulu, Arab sudah menghebohkan mereka akan mengebom Israel. Akibatnya belum lagi jet pejuang dihidupkan, Israel terlebih dahulu mengebom jet-jet tentera udara Mesir hingga tentera Arab yang besar itu tewas sebelum peperangan sebenar bermula. Arab tewas bukan kerana tidak kuat tetapi tidak bijak mengatur strategi.
Oleh itu jika hendak menang, pandai-pandailah mengatur strategi.

Oleh: pendikar gunung kriang

Wednesday, January 28, 2009

Jika Ramlang Porigi DiPecat, Apa Hal Pula Dengan Datuk Mat Razali Kassim?


Bekas Imam Masjid Wilayah Persekutuan yang pernah mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat Saiful Bukhari akhirnya dipecat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mengikut Malaysiakini, Ramlang Porigi, yang ditukar serta merta ke jabatan tersebut September lalu selepas berucap dalam satu kempen ketika pilihanraya kecil (PRK) Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu.


Dalam surat JAKIM kepada beliau bertarikh 20 Januari 2009, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu dipecat kerana "mencemarkan nama Perkhidmatan Awam" selepas terlibat dalam kempen Anwar dalam PRK itu pada 24 Ogos tahun lalu. Difahamkan surat pemecatannya yang ringkas itu antara lain menyebut "keterangan-keterangan sedia ada sudah mencukupi" untuk memecat Ramlang. Surat yang ringkas, padat dan membunuh!!

Yang menjadi persoalannya, apakah kesalahan yang dilakukan Ramlang memang melayakkan beliau dipecat? Walaupun dalam Perintah Am (General Order), anggota Perkhidmatan Awam tidak dibenarkan terlibat dalam politik termasuk berkempen bagi mana-mana parti politik; namun arahan tersebut ada "tetapi"nya. Jika anda pernah berkhidmat dengan jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri, anda akan melihat bukan sedikit pegawai kerajaan yang terlibat berkempen bagi pihak kerajaan BN sama ada dalam Piliharaya Umum mahupun Pilihanraya Kecil. Mereka yang berkempen biasanya dari kalangan yang berjawatan tinggi seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan-Jabatan peringkat negeri, Yang Dipertua Majlis Bandaraya/Bandaran, Pegawai Daerah dan sebagainya dalam majlis-majlis rasmi membabitkan jabatan-jabatan tertentu. Mungkin dalam ucapan mereka tiada ungkapan terus terang seperti, "undilah BN" dan sebagainya, tetapi apabila dalam ucapannya menyebut jasa kerajaan yang memerintah kini dan segala puji-pujian lagi terhadap kebaikan kerajaan di musim pilihanraya, khalayak di depannya akan tahu siapa pihak dan mana parti yang dimaksudkannya itu.

Yang terkini ialah dalam kes PRK Kuala Terengganu baru-baru ini. Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim yang juga merupakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menimbulkan kontroversi ekoran dakwaan beliau telah berkempen dengan meminta kakitangan MBKT mengundi BN. Bagi mengelakkan perkara tersebut terus menjadi kontroversi, beliau akhirmya atas nasihat Suruhanjaya Pilihanraya telah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Pengurus Pilihanraya.

Persoalannya di sini ialah jika "ikan bilis" seperti Ramlang boleh dipecat, bagaimana pula dengan "ikan jerung" seperti Datuk Mat Razali dan ramai lagi pegawai-pegawai atasan yang pernah berkempen untuk BN? Mungkin bedanya di sini ialah si-ikan bilis itu berkempen untuk PR, sedangkan si-ikan jerung pula berkempen untuk BN. Dalam Perintah Am yang disebut ialah tidak boleh berkempen untuk parti politik, tidak kiralah BN atau PR kedua-duanya adalah parti politik. Seperti juga dalam hal ikan tadi, sama ada ikan bilis atau ikan jerung ianya tetap ikan. Sepatutnya layanan adalah sama. Jika seekor ikan bilis boleh dipecat, di luar sana ada seratus lagi ikan jerung yang layak dipecat kerana kesalahan yang sama. Tetapi mengapa hingga ke hari ini belum ada kes pegawai tinggi kerajaan dipecat kerana berkempen untuk BN?

Kepada Ramlang, mengikut Perintah Am anda memang boleh disabit kesalahan kerana berkempen untuk PKR kerana PKR adalah parti pembangkang. Namun nasib anda tentu akan jadi lain jika anda berkempen untuk BN di Permatang Pauh dahulu kerana BN adalah parti pemerintah. Silap hari bulan dan bernasib baik mungkin anda naik pangkat kerana berkempen untuk BN dan BN pula menang dalam PRK Permatang Pauh!

Apa nak buat Ramlang, begitulah nasib kita di bumi bertuah ini: ada dua set hukuman untuk satu kesalahan yang sama. Bilis hukumannya lain, jerung hukumannya lain. Ketika si-bilis dipecat kerana berkempen untuk PKR, si-jerung pula mungkin naik pangkat kerana berkempen untuk BN. Semuanya jadi berbeda kerana perbedaan darjat dan perbedaan idealogi. Malaysia Boleh!!!

Oleh: pendikar gunung kriang

Ayuh PKR, PAS, DAP....Jom Cetak Borang Keahlian Banyak-Banyak!!

Jika saranan Tengku Ahmad Rithaudeen diterima oleh UMNO, maka tidak lama lagi sayap parti Putra dan Putrinya bakal dibubarkan. Kepada mereka yang berusia belasan tahun atau awal dua puluhan, meminati politik dan kini menjadi ahli Putra dan Putri UMNO, bersiap sedialah mulai sekarang. Bersiap sedialah sebelum Putra dan Putri dibubarkan. Jangan kecewa, kerana masih ada parti di luar sana yang mendambakan khidmat anda. Anda boleh masuk menjadi ahli PAS, PKR atau DAP. Kemasukan anda pasti dialu-alukan. Cuma bila masuk PAS, PKR atau DAP perlulah sesuaikan sikit perangai dengan budaya parti yang bakal anda masuki. Perangai gedik yang selama ini menjadi identiti Putri misalnya perlu ditinggalkan dalam Bilik Gerakan UMNO. Begitu juga perangai samseng ala-Mat Rempit Putra juga perlu disangkut atas tembok rumah besar Ketua Bahagian UMNO. Janganlah bawa perangai tu bersama. Berdirilah sebagai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, kehadiran anda dalam PAS, PKR dan DAP pasti dialu-alukan.

Kepada PAS, PKR dan DAP, cetaklah borang banyak-banyak untuk adik-adik kita yang hendak masuk parti anda. Jika borang dah habis, fotostat pun boleh. Yang penting jangan kecewakan harapan adik-adik kita tuuu. Dengan berlapang dada, terimalah mereka.

Oleh pendikar gunung kriang.

Ku Din Kata Bubarkan Putra dan Putri, UMNO Sendiri Pula Bila Nak Bubar?


Tengahari tadi menerusi berita TV saya terlihat wajah Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail (Ku Din) yang mencadangkan sayap parti, Putra dan Putri UMNO dibubarkan bagi mengelak gejala politik wang. Beliau berkata, kewujudan Putra dan Putri melemahkan UMNO kerana semakin banyak pemilihan, lebih banyak gejala terutama politik wang melanda parti termasuk Putra dan Putri UMNO. Beliau juga berkata ahli kedua-dua pergerakan itu seharusnya memberi tumpuan kepada pelajaran berbanding politik kerana masih muda dan belum sesuai untuk berpolitik.

Yang menghairankan saya mengapa selepas kira-kira 10 tahun kedua-dua sayap parti itu ditubuhkan baru kini Ku Din sedar anak muda sepatutnya belajar dan bukan berpolitik? Dan yang kedua, mengapa beliau nampak terkejut anak-anak UMNO di bawah sayap Putra dan Putri itu kemaruk wang? Jika bapa mereka, ibu mereka, datuk mereka dan nenek mereka sudah menjadikan wang sebagai budaya untuk memanjat ke atas, mengapa pula terkejut apabila anak dan cucu mereka mengikut perangai yang sama? Ibu, bapa, datuk dan nenek adalah cermin anak muda kita, apa pelakuan anda itulah yang mereka akan ikuti. Justru bila datuk dan nenek kencing berdiri, bapa dan ibu pula kencing berlari mengapa pula Ku Din pura-pura terkejut bila pria dan gadis UMNO kencing sambil menari-nari di tengah jalan?

Pepatah Cina berkata ikan busuk berpunca dari kepalanya. Bila kepala busuk, keseluruhan ikan akan busuk. Hari ini Ku Din cadangkan Putra dan Putri dibubarkan, bila gerangan agaknya nak cadangkan UMNO itu sendiri dibubarkan keseluruhannya?

Oleh: pendikar gunung kriang

Ada Pengumuman Penting Dari Pejabat MB Perak Pagi Ini?


Kabarnya ADUN Bota, Dato Nasarudin Hashim yang baru sahaja berhijrah ke PKR akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perak di pejabat beliau pada jam 8.45 pagi ini. Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar, kedua-dua pihak akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam sidang akhbar bersama sesudah pertemuan itu.


Dan kabarnya lagi.....ini yang lebih menarik...satu kenyataan rasmi yang sangat penting akan diumumkan dalam sidang akhbar bersama itu. Apa kenyataan rasmi yang sangat penting itu, perlu tunggu berita susulan selepasnya. Adakah berita mengenai tiga ADUN dari UMNO bergelar Dato yang dikatakan sedang bersiap sedia untuk meninggalkan parti tua yang sudah uzur itu? Atau seperti kata sesetengah peramal politik tepi jalan pengumuman mengenai kedudukan Dato' Seri Nizar Jamaludin sendiri selaku MB yang bakal digantikan oleh seseorang lain?

Apa pun, kita tunggu sahaja pengumuman sebentar sahaja lagi, jika ada. Jika tiada pengumuman penting, maka anggap sahaja berita dari atas angin ini kurang tepat.....

Oleh: pendikar gunung kriang


Tuesday, January 27, 2009

40 Ahli PAS Musai, Melaka Masuk UMNO: Lompat Katak Atau Lompat Hantu?


Ketika seentero Malaya heboh dengan cerita ADUN UMNO keluar parti masuk PR, tiba-tiba BERNAMA kelmarin melaporkan Ketua Pas Cawangan Musai, Bukit Baru, Melaka; Ismail Tumpang bersama-sama 40 ahli cawangannya menyerahkan borang keanggotaan menyertai UMNO.


Bagaimanapun Ketua Penerangan PAS Melaka, Sdr. Mohd Sofi Abdul Wahab ketika dihubungi menjelaskan bahawa Ismail Tumpang adalah seorang bekas ahli UMNO yang pernah masuk PAS suatu masa dulu dan dia adalah dalam kategori ahli yang bermasalah serta sudah lama tidak membayar yuran keahlian. Beliau juga pernah menunjukkan minat menyertai DAP dan PKR tetapi balik semula kepada UMNO.

Mengenai 40 ahli cawangan Musai bersamanya yang didakwa masuk UMNO, Sofi menafikan ianya wujud. Ini kerana di situ tidak adapun cawangan PAS yang aktif seperti yang didakwa Ismail. Ismail juga bukannya Ketua Cawangan seperti yang didakwanya.





Oleh: pendikar gunung kriang

Monday, January 26, 2009

Betulkah Berita Yang Didengari Tentang 3 ADUN Perak Bergelar Datuk Nie?


Seharian ini saya tertunggu-tunggu siapa gerangan 3 ADUN yang dikatakan bakal menyertai PR. Ini kerana berdasarkan khabar angin mereka akan mengisytiharkan diri masuk PR pada lewat hari ini. Ketika saya menulis ini hanya ada kira-kira sejam setengah sebelum Isnin digantikan Selasa, tapi masih belum juga didengari berita sahih mengenai penghijrahan yang diwar-warkan itu.


Dan tiba-tiba beberapa minit tadi ada yang memberitahu 3 nama ADUN yang bakal menyertai PKR itu. Ketiga-tiganya bergelar Datuk. Tetapi memandangkan belum ada pengesahan rasmi dari sumber tertinggi PKR, saya enggan mempercayainya.

Mungkin esok ada berita mengenai penghijrahan itu yang telah disahkan kebenarannya. Atau ia cuma kabar-kabar angin dalam sebuah negara yang surat khabarnya tidak boleh dipercayai lagi....

Oleh: pendikar gunung kriang

Teori Domino Politik Perak: Ada Lagi ADUN Yang Nak Hijrah?


Kini kabar angin sedang bertiup kencang di Perak bahawa beberapa orang lagi ADUN UMNO akan menyeberang sempadan untuk menganggotai Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dengan pantas menafikan kabar angin itu. Beliau menyatakan ia cuma sekadar kabar angin yang diwar-warkan sahaja.


Sesuatu yang istimewa tentang politik ialah tiada istilah 'mustahil'. Politik kata orang politik ialah seni kemustahilan (Politics is the art of the impossible). Banyak perkara mustahil yang berlaku dalam dunia politik. Hingga Obama pun setahun yang lalu masih dianggap oleh pengulas politik sebagai mustahil untuk menjadi Presiden Amerika. Jadi jangan hairan jika lepas ini di tengah-tengah pelbagai kritikan UMNO terhadap PR, lebih ramai anggota parti itu yang akan menyertai PR. Jika ini berlaku, bermakna teori domino dalam politik sedang berlaku - apabila sekali jatuh, akan terus jatuh lagi, jatuh, jatuh dan jatuh lagi satu persatu....

Oleh: pendikar gunung kriang

Laporan Bedah Siasat Kedua Kematian A. Kugan: Pakar Perubatan Pun Pandai Main Silap Mata?


mStar melaporkan keluarga mendiang A.Kugan yang meninggal dunia ketika ditahan di lokap Balai Polis di Subang Jaya Selasa lalu, "
gembira" dengan laporan bedah siasat kedua yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dimaklumkan kepada waris si-mati kelmarin. Walaubagaimanapun tidak dijelaskan mengapa mereka gembira dengan laporan bedah siasat kedua, sedangkan dalam laporan bedah siasat pertama dahulu kelihatan mereka sangat marah dan meradang.

"Setakat ini, saya hanya mengatakan yang kami gembira dengan hasil bedah siasat awal ini," kata Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam. Tegasnya, beliau tidak boleh memberikan komen selanjutnya sehingga menunggu tindakan susulan yang akan diumumkan Rabu ini.

Nampaknya ada dua hasil bedah siasat yang dilakukan oleh Pakar Perubatan. Hasil bedah siasat pertama menyatakan kesan-kesan siksaan ditubuh A.Kugan adalah disebabkan paru-paru berair. Hasil bedah siasat kedua pula belum diumumkan tetapi melihat wajah ria waris si-mati pasti kematian tragis itu bukan disebabkan oleh paru-paru berair.

Selama ini kita hanya melihat kisah laporan perubatan yang dipalsukan di dalam cerita filem barat, Cina, Indonesia atau Hindustan. Tidak sangka pula di negara "Malaysia Boleh" ini juga ia boleh belaku, semuanya bisa diatur. Jika terbukti laporan bedah siasat pertama dan kedua mempunyai butiran berbeda bagai langit dengan bumi siapa yang patut dipersalahkan - Pegawai Perubatan, Polis atau siapa? Dan jika ada pihak yang bersalah, apakah tindakan terhadap mereka?

Oleh: pendikar gunung kriang

Penghijrahan ADUN Bota Ke PR....Teori Domino Sedang Bermula?


Ia bermula dengan kemenangan bergaya PR dalam PRU ke-12 pada bulan Mac tahun lepas. Kemudian disusuli dengan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Permatang Pauh pada penghujung bulan Ogos 2008. Pada November tahun yang sama, ADUN Bebas Ngemah di Sarawak, Gabriel Adit menyertai PKR. Pada minggu lepas pula PAS merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu dari BN. Dan kelmarin, satu lagi takdir yang menggembirakan pakatan yang selalu dikatakan BN sedang menghadapi krisis itu telah berlaku - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

Penghijrahan Datuk Nasarudin ke PKR diumumkan oleh Ketua Umum dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti itu pada pukul 2.30 petang kelmarin. Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti selesa 2,068 undi.

Pada pilihan raya umum ke-12, PR yang kini memerintah Perak, menguasai 31 kerusi DUN manakala BN pula 28 kerusi. Dengan penghijrahan Datuk Nasarudin ke dalam PKR bermakna nisbah kerusi di antara PR dan BN berubah kepada 32:27.

Kemasukan Datuk Nasarudin ke PR pasti merupakan satu berita yang mencemaskan BN khususnya UMNO Perak yang telah melakukan sedaya upaya untuk merampas kembali tampuk pemerintahan negeri itu dari tangan PR. Mereka telah melakukan pelbagai perkara - menganjurkan beberapa demonstrasi menentng Kerajaan Negeri yang dituduh gagal mempertahankan maruah orang Melayu, percubaan menarik beberapa ADUN PR menyertai BN, memainkan isu pemberian gran hak milik kekal kepada kampung baru, isu penutupan premis milik KEMAS dan lain-lain lagi perang saraf yang sungguh licik. Malang sungguh, ketika UMNO Perak telah mencuba pelbagai perkara untuk memburukkan imej PR dan berharap PR tumpas sebelum PRU ke-13, kini satu lagi kerusi UMNO menggelungsur memasuki saku PR. Kemasukan Datuk Nasarudin ke dalam PKR pasti suatu kemenangan moral yang amat besar maknanya kepda PR kerana sebelum ini kebanyakan yang berhijrah masuk ke pakatan pembangkang adalah terdiri dari mereka yang telah 'pencen ' sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau tidak pernah memegang salah satu jawatan tersebut.

Mulai PRU ke-12 yang lalu, nampaknya bintang PR sungguh cerah. Mereka menang dengan selesa dalam 2 PRK yang lazimnya sukar mereka menangi apa lagi menangi dengan majoriti yang besar. Kemudian 2 orang ADUN dari bebas dan UMNO menyertai parti itu. Akan adakah lagi siri 'berita-berita baik' yang akan menambah cerahkan lagi bintang PR?

Semasa peperangan Vietnam berlangsung dahulu, Amerika Syarikat sangat takut berlakunya 'teori domino'. Teori domino merujuk kepada kejatuhan satu objek yang kemudian akan menyebabkan objek-objek lain berdekatan turut jatuh. Semasa perang Vietnam, Amerika sangat takut apabila Vietnam Utara dan Vietcong yang komunis itu memenangi perang Vietnam, seluruh Indo-China dan Asia Tenggara satu persatu akan jatuh ke tangan komunis. Dan teori itu benar-benar berlaku kerana selepas Amerika yang bongkak dan mempunyai persenjataan moden itu akhirnya ditewaskan oleh Vietcong yang kekurangan senjata; maka Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos turut jatuh ke tangan komunis tidak lama kemudian.

Beberapa siri kemenagan moral PR sejak bulan Mac tahun lepas seolah-olah menggambarkan kemaran PR tidak dapat dibendung lagi. Apakah satu demi satu kemenangan moral yang sedang diraih oleh PR itu menunjukkan teori domino sedang melanda politik Malaysia yang bakal menyaksikan PR menubuhkan sebuah kerajaan baru sebelum PRU ke-13 kelak?

Hanya masa yang menentukan bila sesuatu itu akan berlaku. Dan hanya Allah jua yang bakal menentukan sesuatu takdir atau mengubah sesuatu yang berlaku kepada hambaNya.

Oleh: pendikar gunung kriang

Syed Hamid: UMNO Mesti Berubah....Berubah Macam ADUN Bota?


BERNAMA melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri yang berkata Umno mesti berubah sebelum rakyat mengeluarkan 'hukuman mati' terhadapnya. Beliau seterusnya menyatakan masanya sudah tiba untuk Umno berubah kerana imejnya kini terjejas teruk ekoran terdapat kes di mana ahlinya ditahan berhubung dakwaan rasuah.

UMNO mesti berubah? UMNO mesti berubah? Semua pemimpin UMNO sekarang bercakap mengenai perubahan, tapi apa yang mereka nak ubah? Dalam mereka sibuk-sibuk bercakap mengenai perubahan, ADUN Bota dari Umno benar-benar berubah dengan berhijrah ke PKR!

Syed Hamid sendiri tahukah apa yang hendak diubahnya? Mengubah Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan membebaskan semua yang berada dalam kem tahanan Kemunting yang mirip kem Guatanamao yang bakal ditutup tidak lama lagi itu? Atau mengubah akta tersebut dengan membicarakan mereka di mahkamah terbuka mengikut prosedur perundangan biasa? Atau mengubah dengan membenarkan rakyat berhimpun secara aman menyuarakan hak demokrasi mereka?

Jika Syed Hamid gagal mengubah apa yang Kementeriannya sendiri boleh lakukan selama ini, janganlah bercakap mengenai perubahan. Anda hanya boleh bercakap tentang perubahan jika anda sendiri yakin boleh melakukan sesuatu yang dalam bidang kuasa anda sendiri. Jika tidak boleh melakukan perubahan dalam Kementerian anda sendiri, eloklah saja berubah seperti ADUN Bota yang berhijrah ke PKR itu. Jika itu pun tak mahu buat, elok jangan cakap fasal perubahan, diam-diam ajelah, timang cucu di rumah lagi baik!!

Oleh: pendikar gunung kriang

Sunday, January 25, 2009

Mahathir: Rakyat Sangat Meluat Dengan UMNO!!








Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad menyifatkan Umno dibawah pemimpin Dato Seri Abdullah sudah menyimpang jauh dari jalan yang lurus, dan perjuangan Umno yang sebenar.

"Umno di bawah pemimpin Dato' Seri Abdullah sudah menyimpang jauh dari jalan yang lurus, dan perjuangan Umno yang sebenar", katanya dalam kenyataan sebagaimana yang tersiar dalam blog beliau.




Malah katanya oleh sebab itu ahli-ahli Umno pun tidak lagi pegang kepada matlamat perjuangan untuk bangsa, agama dan negara termasuk setia dan patuh kepada pemimpin tanpa mengambilkira apa yang dilakukan olehnya.

"Sesungguhnya banyak kesalahan dan dosa yang telah dilakukan oleh pucuk pimpinan UMNO dan konco-konconya.

"Saya boleh senaraikan semua kesalahan yang dilakukan oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Umno dan Perdana Menteri. Tetapi ia terlalu panjang. Memadai jika saya sebut beberapa sahaja yang menyebabkan saya tolak Umno sekarang," kata beliau.

Antara kesalahan yang dilakukan kata Mahathir iaitu memberi kuasa kepada anak dan menantu dalam urusan parti dan kerajaan sehingga calon-calon PRU 12 ditentukan oleh mereka dan hampir semua dari mereka yang dipilih menjadi calon kalah dalam pilihan raya tersebut.

"Penglibatan anak menantu dalam perniagaan yang dikuasai oleh Kerajaan. Bantuan Kerajaan kepada perniagaan mereka. Umpamanya pengambilalihan Avenue Asset oleh ECM Libra.

"Kegiatan beberapa pembantu khas yang ditempatkan di tingkat 4. Mereka lebih berkuasa dari Kabinet," katanya yang mengulangi kritikannya sebelum ini

Katanya Umno di bawah pimpinan Abdullah telah jadi begitu lemah sehingga dikecam sewenang-wenangnya oleh kaum-kaum lain dan parti mereka.

"Biarlah kekalahan Umno di Kuala Terengganu menjadi pengajaran pada Umno. Janji-janji memberi wang untuk pembangunan tidak lagi berkesan kepada pengundi umum.

"Sesungguhnya rakyat termasuk orang Melayu meluat melihat sikap ahli dan pemimpin Umno"

pendikar gunung kriang: Saya tidak berhasrat untuk menambah komen Tun itu. Komen beliau sudah cukup sarat sebagai renungan rakyat dan ahli UMNO. Cuma saya sering tertanya-tanya ketika Tun membedal Pak Lah dan kepimpinan UMNO, mengapa nama 'anak emas'nya Najib jarang sekali disentuh? Sedangkan bagi rakyat biasa mereka lebih banyak menyimpan cerita buruk Najib dari cerita buruk Pak Lah sendiri. Ada sahabat mengandaikan dalam setiap 1 cerita buruk mengenai Pak Lah, Najib menyimpan 10 cerita buruk yang lebih dahsyat dari itu.

Mahathir pasti sangat tahu siapa Najib. Adakah Mahathir sengaja 'reserve' cerita buruk Najib untuk didedahkan apabila Najib mengambil tampuk pemerintahan negara kelak?

Alahai Pak Lah....Sejak Bila Malaysia Jadi Republik Ke-51 Amerika?


Laporan BERNAMA dari Dubai kelmarin menyebut Pak Lah berkata Malaysia akan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk membolehkan pegawai polis negara ini berjumpa dengan dua rakyat Malaysia yang sedang ditahan di penjara tentera Guantanamo yang telah diarahkan tutup oleh Presiden Barack Obama.

"Jika boleh, kita mahu membawa mereka pulang ke tanah air supaya mereka boleh menyambung menjalani hukuman mereka di Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke Emiriyah Arab Bersatu di sini, semalam. Keputusan Presiden Obama itu dialu-alukan dan Malaysia juga gembira kerana beliau telah menunaikan janjinya," katanya.

Di sini ada 2 mesej penting Pak Lah dalam ucapan beliau di Dubai itu:

i) Beliau mahu membawa pulang 2 rakyat Malaysia yang ditahan di Guatanamo atas tuduhan menjadi pengganas oleh Amerika untuk menyambung hukuman yang dijatuhkan Amerika di tahanan Malaysia pula.

ii) Beliau mengalu-alukan penutupan kem tahanan tanpa bicara Amerika di Guatanamo.

Yang menjadi persoalan ialah:

i) Mengapa Malaysia menjadi 'pak sanggup' kepada Amerika untuk menyambung hukuman yang dijatuhkan oleh Amerika terhadap warga kita sendiri? Mereka yang ditahan itu telah dituduh oleh regim Bush sebagai 'musuh Amerika' dan tindakan menyambung hukuman terhadap tahanan ini di Malaysia menunjukkan kita seolah-olah mengiktiraf 'musuh Amerika' ini sebagai 'musuh Malaysia' juga. Lalu dalam hati kita pasti tertanya-tanya: sejak bila pula 'musuh Amerika' itu menjadi 'musuh Malaysia'? Sejak bila pula Malaysia dan Amerika berkongsi kepentingan yang sama sedangkan Malaysia bukan salah satu dari 50 republik di negara itu? Atau adakah kenyataan Pak Lah itu dibuat kerana beliau menganggap Malaysia ini adalah republik ke 51 Amerika? Mengapa kita tidak mengadili kedua-dua 'musuh Amerika' itu mengikut undang-undang kita sendiri dan bukan mengikut telunjuk Amerika?

ii) Pak Lah nampaknya begitu mengalu-alukan penutupan kem Guatanamo yang menghukum tahanan tanpa bicara. Ironinya di Malaysia sendiri kita mempunyai kem yang juga menempatkan tahanan tanpa bicara yang terletak di Kamunting. Di kala Pak Lah mengalu-alukan tindakan Presiden Obama menutup Kem Guatanamo, kita tertanya-tanya bila gerangan agaknya pula Pak Lah akan mengalu-alukan tindakan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar yang menutup Kem Kamunting?

Oleh: pendikar gunung kriang

Saturday, January 24, 2009

Adakah Komposer dan Penulis Lirik Kita Akan Tersentuh Jiwa Kemanusiaan Mereka?


Ketika artis-artis kita sedang berkira-kira untuk memilih pakaian sexy mana untuk mereka pakai dalam konsert separuh telanjang Rihanna Live In Kuala Lumpur pada 13 Februari ini, seorang penyanyi kulit putih Amerika, Michael Heart mengeluarkan album yang antara lain memuatkan lagu ciptaannya sendiri mengenai penderitaan penduduk Gaza. Lagu bertajuk WE WILL NOT GO DOWN (Song for Gaza) itu sungguh menggetarkan jiwa kemanusiaan anda jika anda mendengarnya. Lagu itu menceritakan kekejaman Israel dengan kereta kebal dan kapal terbang menyerang Gaza tanpa belas kasihan dan di ketika yang sama pemimpin dunia seperti tidak mengindahkan penderitaan mereka. Yang paling menusuk kalbu kemanusian saya apabila Michael bermadah dalam lagunya: kamu boleh musnahkan masjid kami, rumah kami dan sekolah kami, tapi semangat kami tidak akan luntur untuk terus berjuang!

Ketika mendengar lagu Michael itu, hati kecil saya tertanya-tanya: adakah komposer kita dan penulis lirik kita mampu menghasilkan lagu kemanusiaan sehebat itu? Bukan tidak ada lagu-lagu berpautkan roh kemanusiaan dan ketuhanan yang tinggi, seperti lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Ramli Sarip, M. Nasir dan Kopratasa. Tapi lazimnya dunia hiburan kita lebih mengkagumi lagu-lagu mengenai cinta murahan remaja - lagu tentang patah hati, kecewa dan kasih sayang yang tidak kesampaian. Komposer dan penulis lirik seperti mengajak pendengar terus berputus asa dalam hidup, merintih dan menangis seolah-olah hidup ini begitu sempit di penjuru sebuah fantasi yang tidak berkesudahan. Masyarakat kita hidup dalam pelbagai isu yang menjadi sebahagian dari kisah suka duka mereka, kebanyakan mereka ada semangat juang yang tinggi untuk mengubah masa hadapan mereka, namun komposer dan penulis hanya tertarik untuk melihat ke suatu sudut yang paling kecil dalam kehidupan: kisah cinta murahan.

Harap suatu masa nanti komposer dan penulis lirik kita lebih sensetif dengan isu-isu masyarakat dan kemanusiaan yang lebih universal sifatnya. Jadilah seperti Michael yang berani mengkritik dasar negaranya demi sebuah getaran rasa kemanusiaannya yang begitu tinggi. Lihat senikata lagu yang dinyanyikan Michael Heart:


WE WILL NOT GO DOWN (Song for Gaza)


A blinding flash of white light
Lit up the sky over Gaza tonight
People running for cover
Not knowing whether they’re dead or alive

They came with their tanks and their planes
With ravaging fiery flames
And nothing remains
Just a voice rising up in the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight

You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die
We will not go down
In Gaza tonight

Women and children alike
Murdered and massacred night after night
While the so-called leaders of countries afar
Debated on who’s wrong or right

But their powerless words were in vain
And the bombs fell down like acid rain
But through the tears and the blood and the pain
You can still hear that voice through the smoky haze

We will not go down
In the night, without a fight
You can burn up our mosques and our homes and our schools
But our spirit will never die

We will not go down
In Gaza tonight

Sesiapa yang ingin mendengar lagu Michael, boleh download di pautan: http://www.michaelheart.com/Song_for_Gaza.html


Oleh: pendikar gununng kriang

Ayuh GERAK, Bila Pula Nak Buat Aduan Kepada SPRM Mengenai Tok Guru?

Saya tertarik kepada tulisan Penarik Beca yang tersiar dalam KedahLanie hari ini mengenai laporan GERAK terhadap MB Selangor. Saya siarkan semula dalam blog ini kerana saya rasakan ia menarik untuk difikir bersama:

Saya mengucapkan tahniah kepada bakal Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang bersungguh-sungguh untuk memastikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disiasat dan didakwa kerana mengarahkan pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu (lihat laporan Malaysiakini "Khir Toyo dakwa ada bukti terhadap MB Selangor").

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) kerana membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid yang disifatkan oleh gerakan itu telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Sehubungan itu saya memohon jasa baik Gerak supaya membuat aduan kepada SPRM terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menggunakan dana kerajaan negeri untuk membantu mangsa kekejaman rejim haram Israel.

Dana kerajaan negeri ternyata akan digunakan kerana Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Haji Husam Musa berkata, jumlah berkenaan akan dikutip melalui agensi-agensi di bawah kerajaan negeri.

Menurut Husam lagi, sumbangan itu bukan sahaja dari perbendaharaan negeri tetapi juga melalui agensi-agensi milik kerajaan negeri (lihat berita Harakah "Kelantan sumbang RM1 juta bantu rakyat Palestin").

Saya juga memohon jasa baik Gerak supaya membuat aduan kepada SPRM terhadap Tok Guru kerana menggunakan dana kerajaan negeri untuk memberikan bantuan sejumlah RM1 juta kepada mangsa banjir di Johor pada Januari 2007 lalu (lihat berita Harakah "Banjir di Johor: Kelantan sumbang RM1 juta").

Tok Guru sendiri mengakui, sumbangan dari kerajaan negeri itu dikeluarkan melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk meringankan beban penderitaan mangsa tersebut.

Sebagai Mursyidul Am PAS, Tok Guru ternyata mempunyai kepentingan peribadi kerana ramai rakyat Johor yang menjadi ahli PAS atau sekurang-kurangnya beragama Islam.

Begitu juga mengenai sumbangan kepada rakyat Palestin. Tok Guru ternyata mempunyai kepentingan peribadi kerana majoriti penduduk wilayah Palestin yang ditakluki adalah saudara-maranya. Allah berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya (hanyalah) orang-orang mu’min itu bersaudara" (Al-Hujuraat :10).

Saya sangat mengharapkan budi baik dan kesungguhan Gerak untuk menyegerakan aduan kepada SPRM terhadap Tok Guru kerana menggunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan yang beliau mempunyai kepentingan dengannya di mana dana kerajaan negeri yang digunakan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Johor itu pasti akan disumbangkan juga kepada ahli-ahli PAS yang turut menjadi mangsa banjir sedangkan Tok Guru sendiri adalah pemimpin PAS.

Lebih dari itu, dalam penggunaan dana kerajaan negeri sama ada kepada mangsa banjir di Johor atau mangsa keganasan Israel di wilayah Palestin yang ditakluki, Tok Guru juga ternyata mempunyai kepentingan peribadi dan kepentingan bercanggah kerana rakyat Johor dan Palestin yang beragama Islam adalah saudara-maranya.

Penggunaan dana kerajaan negeri untuk membantu saudara-mara sendiri juga melibatkan conflict of interests atau kepentingan bercanggah.

Sekali lagi, budi baik dan kesungguhan Gerak dalam menyegerakan aduan kepada SPRM terhadap Tok Guru adalah sangat diharapkan (Permohonan kepada Gerak ini diilhamkan oleh Nur Aflah).

Friday, January 23, 2009

Siapa Bohong - Gani Patail Atau Musa Hassan?


Hari ini ada dua kenyataan yang berbeda mengenai kematian suspek curi kereta A. Kugan ketika dalam tahanan polis yang dipetik oleh BERNAMA.


Di Kuala Lumpur, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menyatakan kematian itu sebagai kes bunuh. Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T. Murugiah dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini. Beliau berkata, Abdul Gani menghubunginya pagi ini bagi memberitahu tentang perkara itu, untuk dimaklumkan kepada anggota keluarga mangsa serta orang awam.

Sebelum itu keluarganya yang tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Sementara itu, di Kuching, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata beliau akan mengarahkan pegawainya untuk menyiasat kes tersebut secara terperinci sebelum sebarang tindakan dan keputusan dilakukan.

"Kita akan siasat, kerana saya difahamkan dia (Kugan) meninggal dunia akibat masalah paru-paru berair," katanya kepada pemberita.

Gani Patail kata Kugan dibunuh. Musa berdasarkan laporan polis kata Kugan sakit paru-paru berair. Mana satu yang betul? Jika hanya salah satu yang betul bermakna satu lagi telah berbohong. Jadi siapa berbohong - Gani atau Musa? Tidak mungkin kedua-duanya berbohong walaupun sebelum ini banyak keyataan-kenyataan mereka menampakkan kedua-duanya pernah berbohong .

Oleh: pendikar gunung kriang

Jika Timbalan Perdana Menteri Pun Pernah Disiksa Polis, Apa Anehnya Kematian A.Kugan?


Sekali lagi kematian tahanan dalam lokap polis menimbulkan kegemparan kepada masyarakat kita. Kematian tahanan dalam lokap polis bukanlah perkara baru dalam sejarah kepolisian kita. Banyak sudah kes seumpama ini sebelumnya. Kematian A. Kugan, 23 semasa masih ditahan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya 2 hari lepas cuma salah satu episod duka mereka yang pernah berhadapan dengan proses soal siasat polis.

Berdasarkan gambar mayat si-mati, banyak kesan siksaan dibelakang tubuh dan kaki mangsa jelas kelihatan. Bahagian belakangnya penuh calar seperti disebat atau ditoreh dengan benda tajam dan bahagian kakinya hingga ke betis berwarna merah seperti telah dipukul dengan benda keras. Walaupun mendiang A.Kuhan disyaki sebagai penjenayah adakah layak dia menerima siksaan sedemikian dalam balai polis tempat anggota keselamatan negara bertugas? Jika A.Kugan mati dalam tahanan gerombolan mafia kita boleh menerima kematian secara sedemikian, kerana mafia itu memang kejam, tetapi bila mati dalam tahanan anggota keselamatan negara seolah-olah menunjukkan pihak keselamatan juga tidak mampu menghidupkan suasana selamat dalam premisnya sendiri. Jika di dalam balai di mana tahanan adalah tetamu polis pun tidak selamat, di mana lagi tempat kita mengharapkan diri selamat di Malaysia ini?

Kita sedar negara ini mempunyai banyak kes jenayah. Rompak, samun, rogol, bunuh menjadi berita basi dalam timbunan berita jenayah yang seperti tidak berpenghujung. Kita akur bahawa polis memang berusaha bersungguh-sungguh untuk membendung jenayah. Tapi polis juga ada prosedur tertentu dalam proses soal-siasat dan prosedur yang ada patut dipatuhi. Memang bagi menghadapi penjenayah yang hati kering, soal siasat perlu dilakukan dengan cara tegas. Tetapi memukul dan menyiksa mereka hingga mati bukan caranya untuk membuktikan ketegasan. Tahanan mati dalam lokap polis seolah-olah orang yang disyaki penjenayah telah dihukum mati sebelum mahkamah memutuskan hukumannya. Dan yang lebih malang, hukuman mati itu dilakukan dalam premis polis - premis yang sepatutntya selamat untuk semua warganegara negara ini.

Memang selama ini proses soal siasat polis banyak menimbulkan keraguan. Berdasarkan rekod polis setakat ini terdapat 150 kematian tahanan dalam lokap polis dengan majoritinya ialah kes 'bunuh diri' (33 kes). Yang menimbulkan keraguan kepada waris mangsa ialah cara kematian dalam laporan polis yang tidak selari dengan sejarah hidup tahanan itu sendiri. Yang tidak pernah ada sejarah sakit jantung, tiba-tiba mengikut laporan polis mati dalam tahanan akibat sakit jantung dalam usia remaja. Yang tidak pernah ada asma seperti A.Kugan tiba-tiba mati mengikut polis kerana asma. Yang lebih menghairankan ialah kematian akibat asma menyebabkan dari badan hingga ke kaki luka teruk seperti dicucuk dan disebat. Kematian mengikut laporan polis disebabkan sakit jantung pula menyebabkan ada kesan tusukan dan sebatan yang dahsyat. Bagi pengamal perubatan tentu punca kematian tahanan mengikut laporan polis dan kesan di badan mayat menimbulkan persoalan kerana ia sama sekali tidak sama dengan apa yang mereka pelajari dan ketahui.

Kita tidak menafikan betapa pentingnya peranan polis dalam membendung jenayah di negara ini. Cuma kita berharap biarlah proses soal siasat dijalankan berdasarkan tatacara yang tidak menampakkan polis itu lebih kejam dari penjenayah itu sendiri. Kita mendambakan kehadiran polis yang baik dan bukannya polis yang lebih ganas dari samseng seperti yang selalu kita lihat dalam filem-filem Barat, Cina dan Hindustan. Dan kita juga berharap tiada sesiapa membandingkan lokap kita dengan kem Guatanamo dan Abu Gharib yang terkenal dengan kekejamannya itu. Dan yang terakhir, jangan ada suara-suara sinis yang berkata, "Jika Dato Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pun pernah disiksa polis hingga luka parah, apa yang anda harapkan dari polis sebagai warganegara biasa yang bukan Timbalan Perdana Menteri dan bukan Menteri?"



Oleh: pendikar gunung kriang.