Wednesday, January 14, 2009

Alangkah Baiknya Jika Syaitan Itu Masih Wujud!


Kini korban kematian serangan Israel di Gaza telah mencapai angka melebihi 1,000 orang. Dunia hanya dapat menjerit dan membuat usul yang tidak dapat mengubah apa-apa. Jika yang diserang ialah negara proksi Amerika tidak perlu menunggu subuh esok untuk melihat tindak balas Washington. Sekarang yang kena ialah Gaza sebuah wilayah miskin di Palestin. Amerika yang gagah itu peduli apa, Eropah yang makmur itu peduli apa, Arab yang kaya itu peduli apa.

Amerika memang kuasa besar yang tiada negara lain mampu menyaingi kekuatan mereka. Dulu semasa era perang dingin ada blok Barat diterajui Amerika dan ada blok Timur diterajui Soviet Union. Amerika ketika itu menghormati Soviet yang mempunyai kelengkapan militer yang hebat, seperti juga Soviet yang menghormati kekuatan Amerika. Apabila terjadi perang Arab-Israel pada 1948, 1956, 1967 dan 1973, Amerika tidak berani membantu Israel secara terang-terangan kerana setiap senjata canggih yang dihantarnya kepada Israel, Soviet akan membalas dengan memberi bantuan yang serupa kepada negara medan hadapan sempadan Israel, iaitu Mesir, Syria dan Jordan.

Walaupun Arab tewas dalam 3 kali peperangan pada 1948,1956 dan 1967 tetapi dalam perang pada 1973 Israel berjaya ditewaskan buat pertama kali. Bantuan persenjataan dan logistik Soviet banyak membantu negara-negara Arab dalam perang 1973 itu yang mengakibatkan 2,688 orang askar Israel terbunuh 10,000 tercedera manakala 295 lagi ditawan oleh tentera negara-negara Arab.

Sepanjang peperangan 1973 berlangsung kapal perang Amerika hanya meninjau dari pesisir Laut Miditreanean sahaja. Mereka tidak berani memberi bantuan secara langsung kepada Israel kerana jika mereka bertindak, kapal perang Soviet yang juga bersedia di lautan yang sama akan bergerak membantu negara-negara Arab. Sebab itu dalam peperangan tahun 1973 Arab berjaya menewaskan keangkuhan Israel.

Ketika era perang dingin itu, kekuatan Amerika dan Soviet hampir seimbang. Kebanyakan negara di dunia berada di bawah pengaruh salah satu kuasa besar itu. Di Timur Tengah kebanyakan negara kecuali Arab Saudi, negara-negara teluk dan Iran adalah berada di bawah pengaruh Soviet.

Antara negara Timur Tengah yang paling membenci Amerika ialah Iran. Ketika zaman Ayatollah Khominie, Amerika sering dirujuknya sebagai "Syaitan Besar" yang sama sekali tidak boleh dibuat sahabat. Soviet pula pernah dirujuk oleh Iran sebagai "Syaitan Kecil", sama seperti Saddam Hussein yang boleh dibuat sahabat dalam strategi menentang Amerika.

Namun kini Soviet Union telah berkubur. Amerika berjaya memecah belah Soviet menjadi republik-republik kecil yang lemah dan bertelagah sesama sendiri. Kuasa militer Soviet yang ditakuti Amerika itu tiada lagi. Russia yang merupakan republik terbesar dalam Kesatuan Soviet dulu pun kini tidak segagah mana. "Syaitan Kecil" sudah mati bersama ideologi komunisme mereka. Kini yang ada cuma "Syaitan Besar" yang menguasai dunia dan bermaharajalela bersama proksi Eropah dan Israelnya.

Bila mengingatkan penyembelihan rakyat Gaza tanpa pembelaan itu, teringat era kegemilangan Soviet, era kegemilangan "Syaitan Kecil". Jika "Syaitan Kecil" itu masih wujud hingga kini barangkali ia tidak akan membiarkan Gaza diperkosa sedemikian rupa. Soviet mungkin akan datang membantu Gaza seperti yang dilakukannya terhadap negara-negara Arab dahulu, bukan kerana "Syaitan Kecil" itu baik sangat, tetapi ia perlu mempamerkan keperkasaanya kepada Syaitan Besar.


Alangkah baiknya jika "Syaitan Kecil" itu masih wujud. Sekurang-kurangnya ada 'check and balance' dalam percaturan kuasa-kuasa besar. Sekurang-kurangnya Israel dan "Syaitan Besar" tidak akan seangkuh kini, sekejam kini, melanyak negara orang sesuka hati. Sekurang-kurangnya "Syaitan Besar" akan lebih berhati-hati sebelum menghalakan senjatanya kepada negara lain kerana "Syaitan Kecil" sentiasa memerhatikannnya. Tapi "Syaitan Kecil" telah tiada lagi di dunia ini dan ramai yang merindui kehadirannya semula bagi menghadapi kebiadapan "Syaitan Besar" dan Israel.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.