Wednesday, January 7, 2009

Apabila Anwar pun Mula Bercakap Pasal Hudud..

Minggu lepas Samy Vellu mencabar Anwar Ibrahim menyatakan pendapatnya tentang hukum hudud. Ramai juga yang menulis dalam blog mereka yang pendapatnya senada dengan Samy - tokoh yang dilabel telah 'expired' oleh masyarakat India itu - menghentam Anwar kerana sikap diam dirinya itu. Tidak tahulah sama ada cabaran Samy Vellu dan bloggers Melayu Malaysia itu didengari oleh Anwar yang ketika itu sedang berada di India. Kemungkinan besar Anwar mendengarinya tetapi belum berpeluang memberi penjelasan.

Dan malam tadi Anwar punya kesempatan terbaik untuk menjelaskan segala yang menjadi persoalan di atas pentas PR. Malam tadi PR memulakan kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu dengan satu ceramah besar di Kampung Tanjung membabitkan empat tokoh utama PAS, PKR dan DAP. Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang berkempen di depan hampir 10,000 orang malam tadi. Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim turut hadir dan menyampaikan ucapan ringkas.

Anwar yang sebelum ini sering dilebelkan oleh segelintir penyokong UMNO sebagai sekular dan menolak negara Islam telah menyatakan dengan nada yang tegas dan yakin bahawa jika PR memerintah Malaysia hudud tetap akan dilaksanakan di Malaysia tetapi hanya untuk orang orang Islam sahaja. Ketua pembangkang itu juga berkata, tiada mana-mana orang bukan Islam yang berhak untuk mempertikaikan hak orang Islam untuk melaksanakan hukum hudud.

Tidak tahulah apa pula respons Samy Vellu dengan kenyataan Anwar itu. Juga tidak tahulah nanti apa komen pemimpin-pemimpin UMNO yang nada cakapnya sebelum ini hampir seiring dengan Samy Vellu itu. Mungkin mereka kecewa kerana Anwar berkata 'ya' untuk hudud. Sepatutnya Anwar berkata 'tidak' kepada hudud bagi memuaskan hati Samy Vellu dan mereka yang sewaktu dengannya. Atau sekurang-kurangnya dia bercakap dalam bahasa berdolak dalik yang kemudian boleh ditakrifkan sebagai tanda PR sedang berpecah. Tetapi malam tadi Anwar berkata dengan tegas bahawa hudud akan dilaksanakan kepada orang Islam jika PR berkuasa. Dan kenyataannya itu mengecewakan banyak pihak sama ada yang tidak faham hudud seperti Samy Vellu atau yang pura-pura tidak faham demi survival politik masing-masing.

Apa pun, kenyataan Anwar mengenai hudud itu tidak mungkin disiarkan oleh media kita kerana ia tidak ada nilai berita. Kenyataan Anwar hanya ada nilai berita jika beliau berkata 'tidak' kepada hudud atau bercakap secara berdolak-dalik.


Oleh : pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.