Thursday, January 8, 2009

Berita Baik: Mulai Sekarang Pelajar Dibenarkan Berdemonstrasi

Berita baik untuk mahasiswa - mulai sekarang anda dibenarkan berdemonstrasi!! Malah demonstrasi itu boleh dijalankan tanpa mendapat permit daripada pengurusan universiti. Berita baik ini dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin seperti yang dipetik oleh BERNAMA hari ini. Cuma tidak jelas sama ada kebenaran berdemonstrasi itu khusus untuk isu serangan Israel di Gaza sahaja atau meliputi semua isu termasuk isu-isu sosial setempat. Tetapi saya percaya kebenaran itu adalah secara menyeluruh bagi mengembalikan semula era kegemilangan mahasiswa era 60an dan 70an dahulu. Jika demonstrasi dibenarkan hanya untuk kes Gaza sahaja ia tentu akan menimbulkan seribu persoalan dan lelucuan. Oleh itu kebenaran ini pasti menyeluruh untuk semua isu - malah untuk mengkritik dasar kerajaan sekalipun!

Baca petikan BERNAMA berikut untuk berita selanjutnya:

Pelajar universiti di negara ini dibenar menyertai mana-mana demontrasi membantah tindakan kejam Israel menyerang Palestin manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan demontrasi bantahan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Katanya kementerian tidak mempunyai sebarang halangan kepada pelajar dan universiti untuk membuat bantahan seperti itu berikutan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lepas, yang membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

"Pindaan kepada AUKU membenarkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini rupa, maka tidak ada halangan untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian menyertai usaha yang dilakukan.

"Saya percaya dengan kematangan pelajar dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan sendiri (untuk menentukan pendirian mereka)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Malaysia Future Leadership' anjuran CIMB Group and The Wall Street Journal Asia di Universiti Malaya di sini hari ini. Mohamed Khaled berkata pelajar juga tidak perlu mendapatkan permit daripada universiti tetapi mereka perlu memaklumkan tindakan mereka untuk menyertai demonstrasi agar aspek keselamatan dapat dipantau.

1 comment:

Ali Abdullah said...

Salam,

Kita menggalakkan rakyat menunjukkan rasa prihatin dan rasa turut bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku di negara Palestin, negara yang dianiaya sejak dari penubuhan Israel yang terlaknat.

Bagi kawan, berdemonstrasi untuk menunjukkan dan memberitahu bantahan kita terhadap kekejaman Israel itu tidak ada salahnya. Cuma jika boleh, janganlah sampai menyusahkan sebilangan rakyat dan golongan yang lain seperti pengguna jalanraya, majlis perbandaran, pihak keselamatan dan sebagainya.

Dan yang paling penting sekali, janganlah mengambil kesempatan itu untuk menyelitkan unsur-unsur politik ke dalamnya. Ini adalah bahaya, kerana dalam perarakan demonstrasi kita berkumpul tidak memandang pada perbezaan ideologi politik mahupun keturunan, bangsa dan agama. Kita bersatu untuk mengutuk tindakan regim Zionis yang semakin hari, semakin biadap dan tidak berperikemanusiaan.

Semoga Allah melindungi negara kita daripada menerima nasib yang mirip kepada penderitaan rakyat Palestin. Marilah sama kita berdoa agar pencerobohan ini dapat dihentikan. Mohonlah rahmat daripada Allah agar pemimpin2 negara islam di seluruh dunia dapat membuka mata mereka di atas kejadian ini lalu bersatu untuk menentang mereka. Amin.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.