Friday, January 30, 2009

Berita Panas: Dato Nasarudin Hendak Kembali Kepada UMNO?


Hari Ahad lepas ADUN Bota Dato Nasarudin meninggalkan Umno berhijrah ke PKR. Hari Isnin lepas pula beliau secara rasmi telah menghantar surat keluar UMNO. Hari ini pula mStar melaporkan beliau mahu mengambil sikap "tunggu dan lihat" untuk menilai situasi dalam parti ekoran kepimpinan sementara Badan Perhubungan Negeri Perak yang diambil alih oleh Datuk Seri Najib.

"Tengok dulu, tengok dulu... apa yang akan berlaku... tengok keadaan," kata Datuk Nasarudin Hashim yang ditanya sama ada bersedia untuk mengkaji semula pendiriannya ekoran pelantikan kepimpinan Umno negeri yang barui.

Sambil menegaskan bahawa sehingga pagi ini pendiriannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) - salah satu komponen Pakatan Rakyat, masih kekal, beliau memberitahu, "adalah terlalu awal untuk mengatakan sama ada sedia kembali ke Umno."

Beliau menyifatkan tindakan Najib menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai ketua Umno dan BN adalah langkah baik untuk membawa perubahan.

"Keadaan mungkin berubah tapi kena tunggu dan lihat," kata beliau.

Walaupun telah keluar UMNO dan menganggotai PKR, laporan Mstar menggambarkan pendirian beliau masih berbelah bahagi. Mungkin kekal, mungkin lompat balik. Jika beliau ditakdirkan lompat balik, ia satu kemenangan moral kepada BN yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk itu. Jadi BN dan PR perlu bersedia untuk segala kemungkinan. Bersedia untuk bertambah, bersedia untuk berkurang. Jangan terkejut untuk apa saja kemungkinan dalam tempoh terdekat. Jangan teruja dan jangan terkejut untuk sedikit kemenangan dan sedikit kekalahan, kerana sesungguhnya politik adalah seni kemustahilan (politics is the art of impossible)!

oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.