Sunday, January 18, 2009

Bila PR Menang Pilihanraya, Isu Pengudi Hantu Tiada Lagi?


Ada pihak berkata selepas menang dalam setiap pilihanraya, parti PAS, PKR mahupun DAP tidak akan bercakap mengenai pengundi hantu lagi. Benarkah begitu? Saya selalu mendengar kenyataan itu oleh pemimpin-pemimpin BN mahu pun pengkagum-pengkagum mereka.
Hari ini ada juga kenyataan sedemikian dalam akhbar, TV dan blog pro-BN.

Tapi apa yang saya nampak isu pengundi hantu ini tidak pernah berhenti dibangkitkan anggota PR walaupun selepas sesuatu pilihanraya selesai. Jika kita rajin membaca akhbar milik komponen PR, isu ini sentiasa dibangkitkan dari semasa ke semasa tidak kira sebelum atau selepas pilihanraya. Ia tidak mati apabila komponen PR menang dalam pilihanraya saja.
Ini kerana hantu itu memang wujud dan tidak pernah tidur dalam kubur selamanya.

Dalam PRK Kuala Terengganu kelmarin PAS menang dengan majoriti 2,631 undi. Saya harap isu pengundi hantu akan terus diperjuangkan bukan sahaja oleh PR tetapi juga oleh BN. Ini bagi memastikan pilihanraya di negara ini akan mengikuti landasan yang betul, tanpa penyelewengan, tanpa penipuan. Jika menang, biarlah kita menang seperti pendekar yang tidak dibantu makhluk asing, hantu raya, pontianak atau jin tanah. Dan jika kalah, biarlah kita kalah secara bermoral, bukan kalah dalam pertarungan berat sebelah.
Bagi saya, saya tidak pernah hilang keyakinan bahawa pengundi hantu memang wujud dalam sistem pilihanraya kita. Ini kerana saya kebetulan ada sedikit pengalaman berhadapan situasi sedemikian. Saya juga percaya sebahagian kita pernah berkongsi pengalaman yang sama berhadapan hantu yang cuma bangun dari tidur pada hari mengundi sahaja itu.

Kepada mereka yang pernah berkhidmat dengan SPR, sama ada sebagai anggota tetap yang dibayar gaji oleh SPR atau anggota sementara yang hanya ditugaskan semasa pilihanraya kecil atau umum, mereka pasti menyedari banyak ruang terbuka yang boleh menyebabkan hantu keluar mengundi bersama pengundi yang sah. Begitu juga jika anda bertugas atau pernah bertugas dengan Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) anda tahu banyak ruang lompong untuk mengizinkan kad pengenalan seseorang digunakan oleh pihak lain bernama pengundi hantu. Asalkan seseorang itu dibekalkan sedikit kuasa dan sebuah nawaitu yang songsang, semuanya tanggung beres!

Bagi yang rajin membaca (malangnya orang Melayu dikatakan malas membaca!) ada bahan bacaan mengenai pengundi hantu ini. Misalnya buku "IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah" oleh Abdul Mutalib Mohd Daud. Buku itu memaparkan agenda tersembunyi dan terancang pihak berkuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang Filipina bagi membolehkan mereka mengundi di Sabah. Abdul Mutalib walaupun seorang ahli UMNO Sabah tetapi beliau rasa terpanggil untuk mendedahkan konspirasi terancang itu kerana menyedari kepalsuan perlu dibongkar dan dihentikan. Buku itu bukan sahaja memaparkan bagaimana hantu-hantu itu dilahirkan hingga boleh mengundi tetapi disokong oleh butiran terperinci pengenalan asal pengundi hantu dan perbandingan dengan kad pengenalan yang dikeluarkan oleh JPN Sabah, surat beranak asal dan surat beranak palsu yang dikeluarkan kemudian dan butiran-butiran lain yang menunjukkan penulis memang melakukan kerja rumah yang begitu teliti sebelum mengeluarkan buku tersebut.

Perkara mengenai pengundi hantu di Sabah ini juga pernah dibangkitkan oleh YB Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani dalam soalan bertulisnya di Dewan Rakyat pada 18 November 2008 yang lalu. Malangnya Menteri Dalam Negeri memberi jawapan yang sungguh tidak bertanggung jawab terhadap soalan Johari mengenai isu pengundi hantu itu apabila berkata, "pihak polis tidak pernah menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan dalam buku berkenaan". Sambil lewa dan sungguh tidak bertanggung jawab! Jawapan sambil lewa Menteri itu sangat mengecewakan, ia memperlihatkan kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan masalah kad pengenalan palsu yang selama ini wujud di Sabah dan di negeri-negeri lain di Malaysia.

Kepada pembaca blog ini terserah kepada anda untuk percaya sama ada pengundi hantu wujud atau tidak. Saya tetap mempercayainya kerana saya sendiri pernah melihat dengan mata sendiri dan saya yakin mata ini tidak pernah menipu penglihatan saya. Bagi anda yang belum berpeluang menyaksikan hantu, anda dikira bertuah jika dapat melihat wajah-wajah hantu yang boleh menghisap rokok, menghirup milo ais dalam bungkus plastik atau menaiki bas dan kenderaan mewah. Berbagai aksi hantu-hantu ini yang sungguh menarik. Walaupun mereka bercakap dalam bahasa kita namun mereka tetap hantu yang hanya bangun dari kubur beberapa lama sekali setiap musim pilihanraya.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.