Monday, January 5, 2009

Cerita Seram Dari Kuala Terengganu : Spisis Zombie Ditemui Berkeliaran dan Jumlahnya Dijangka Bertambah!!

Ketika Kuala Terengganu sedang dihangatkan oleh permulaan kempen perang pilihanraya kecil (PRK) yang dijangka di antara calon BN, PR dan bebas, tiba-tiba parlimen itu digemparkan dengan kehadiran lembaga-lembaga aneh menyeramkan dipercayai zombie.

Anda percaya kewujudan zombie? Banyak siri filem zombie berasal dari Barat yang ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia sejak beberapa lama dahulu. Di Malaysia juga seorang pengarah muda bernama Mamat Khalid pernah menayangkan filem Zombie Kg Pisang yang agak popular sekitar tahun 2007 dahulu.

Zombie sebenarnya adalah sejenis spisis manusia yang berohkan syaitan. Makhluk ini dikatakan memang wujud di Haiti dan pulau Carribean sekitarnya. Ia berasal dari manusia yang telah meninggal dunia tetapi jasadnya dicuri dari kubur dan kemudiannya dipuja oleh dukun vodoo untuk dijadikan makhlik baru berjasad manusia tetapi berohkan syaitan. Mengikut ceritanya ramai zombie yang dijadikan hamba di ladang-ladang tebu di Haiti kerana mereka tidak perlu dibayar upah. Zombie-zombie ini dikatakan berjalan seperti robot yang kaku, sangat kuat tetapi tidak pernah bersuara dan hanya mengikut setiap arahan pemiliknya. Kabarnya di Haiti mayat saudara mara yang meninggal dunia lazimnya diawasi oleh waris mereka sehingga 7 hari bagi memastikan jasadnya tidak dicuri dan akhirnya dihidupkan sebagai syaitan bergelar zombie yang bersalut jasad manusia itu.

Dan beberapa hari lepas dikabarkan beberapa spisis zombie ini ditemui di Kuala Terengganu! Tetapi zombie-zombie yang ditemui ini tidak berkulit gelap seperti yang lazimnya ditemui di Haiti. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang dan ada antaranya berkulit agak cerah. Selain dari kulit, yang membedakan mereka dengan zombie dari Haiti ialah mereka ini boleh bercakap, tidak berjalan seperti robot dan bekerja dengan upah. Walau bagaimanapun memandangkan mereka ini adalah dari spisis zombie, mereka tetap berkongsi beberapa sifat universal zombie seperti sangat taat dengan arahan tuannya dan mereka juga kelihatan kuat, sekurang-kurangnya berupaya menggenggam sebatang pensil.

Kehadiran gerombolan zombie di Kuala Terengganu ini tidak pasti sama ada ia mengejutkan Menteri Besarnya atau tidak. Beberapa hari lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said menyelar PR yang selalu memainkan isu kewujudan pengundi hantu yang katanya tidak pernah wujud. Namun kini yang menjelma di Terengganu bukannya syaitan dari spisis hantu, tetapi ialah syaitan spisis zombie. Yang membedakan hantu dan zombie ialah hantu mengikut orang-orang tua kita boleh ghaib menghilangkan diri kerana ia hanya mempunyai roh tetapi tidak mempunyai jasad. Sedang zombie di Haiti dan yang kini sedang berada di Kuala Terengganu mempunyai jasad yang lengkap menyerupai manusia dan tidak boleh ghaib serta merta.

Kenyataan Ahmad Said itu telah mengundang reaksi daripada kepimpinan PR termasuk Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang membidas kenyataan Ahmad dan menyatakan PAS telah menemui data pengundi yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang berbeda selain alamat yang meragukan daripada senarai daftar semak pemilih yang digazetkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR). Tegasnya, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri mengakui bahawa senarai semak daftar pemilih yang digunakan sekarang masih belum dibersihkan dan dengan ini memberi ruang bagi kewujudan pengundi hantu. Bekas pengerusi SPR itu sendiri mengakui ada pengundi yang meninggal dunia yang masih belum dibersihkan daripada senarai semak daftar pemilih itu dan dengan itu kewujudan pengundi hantu adalah tidak boleh dinafikan.

Bagi kebanyakan penyokong PR termasuk Haji Hadi istilah pengundi hantu memang telah sinonim bagi merujuk mereka yang tidak berdaftar dengn SPR tetapi mengundi dengan menggunakan nama orang lain yang telah berdaftar. Namun bagi saya istilah 'hantu' kurang tepat kerana selain dari hantu yang dikatakan tidak mempunyai jasad, ada juga spisis hantu yang tidak bekerja dengan manusia misalnya hantu pokok, hantu air, jembalang bukit, jembalang hutan, pontianak, jin tanah dan lain-lain. Mereka adalah hantu merdeka yang tidak ikut arahan manusia. Hanya segelintir spisis hantu seperti hantu raya, pelesit dan toyol sahaja yang menjadi hantu peliharaan manusia. Ia berbeda dengan zombie di Haiti dan kini ditemui di Kuala Terengganu yang memang berjasadkan manusia tetapi berohkan syaitan, dijadikan hamba oleh manusia (walaupun di Kuala Terengganu hamba ketika mengundi sahaja) dan amat taat kepada arahan tuannya.

Arahan tuan kepada zombie-zombie di Kuala Terngganu ini sangat mudah: hadir pada hari mengundi, pegang pensil, pangkah BN dan lepas itu bayaran akan dijelaskan. Sejurus lepas bayaran dijelaskan, kembali semula dengan segera ke tempat asal kamu di mana-mana negeri di Malaysia (dan bukannya Haiti!).

Setakat ini 110 zombie telah ditemui di Kuala Terengganu, seperti berikut:

i) Mengikut MalaysiaToday kelmarin, 90 pengundi (baca: zombie) ditemui tinggal dan berkongsi alamat yang sama di sebuah rumah di nombor 1089-A, Kg Kuala Iboi, Kuala Terengganu. Walaupun rumah itu dikatakan agak besar, tetapi kewujudan 90 zombie di dalamnya pasti mengundang seribu persoalan dan teka-teki.

ii) Di DUN Bandar pula, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar Mat Akin memaklumkan pihaknya menemui 20 pengundi zombie yang tinggal dengan menggunakan alamat yang sama di sebuah rumah.

Jadi setakat ini 110 pengundi zombie telah ditemui di Kuala Terengganu. PRK Kuala Terengganu mempunyai 2 minggu lagi sebelum hari pengundian. Berapa bilangan zombie yang akan muncul menjelang PRK Kuala Terengganu kira-kira 2 minggu lagi itu? Mungkin 100, mungkin 1,000, atau mungkin 5,000? Segalanya mungkin dalam praktis demokrasi ala-Machievelli ini. Kata Machiavelli tujuan menghalalkan cara. Yang penting kuasa mesti diteruskan. Yang penting maruah mesti dipertahankan. Yang penting menang dalam setiap pilihanraya. Sama ada guna manusia, guna hantu atau ternak zombie adalah persoalan nombor sepuluh yang tidak penting bagi mereka yang percaya dengan teori Machiavelli ini.


Oleh : pendikar gunung kriang