Sunday, January 18, 2009

Ekonomi Negara Kukuh: 45,000 Pekerja Kilang Akan Diberhentikan Kerja Menjelang Tahun Baru Cina


Ketika pemimpin-pemimpin kita dengan yakin dan bangga melaungkan slogan bahawa ekonomi negara masih kukuh dan tidak akan terkena tempias kemelesetan ekonomi dunia,
BERNAMA melaporkan kira-kira 45,000 pekerja dari pelbagai sektor pengilangan akan kehilangan pekerjaan apabila kebanyakan kilang akan memberhentikan sementara pekerja menjelang perayaan Tahun Baru Cina hujung bulan ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu berlaku kerana pengurusan kilang akan menutup operasi selama dua atau tiga minggu dan pekerja diminta mengambil cuti sama ada diberi cuti bergaji atau tanpa gaji.


Mengapa pekerja kilang yang pendapatan tidak seberapa itu dipaksa berhenti kerja sementara sehingga tiga minggu tanpa gaji? Apa maknanya ini? Tahun Baru Cina disambut oleh rakyat Malaysia tiap-tiap tahun tetapi tidak pernah berlaku situasi sebegini sebelum ini - pekerja dipaksa berehat di rumah tanpa gaji selama tiga minggu! Tiga minggu tanpa gaji bagi pekerja kilang yang rata-ratanya berpendapatan di bawah RM1,000 sebulan (termasuk overtime) bukan cerita main-main. Kebanyakan mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pun tak cukup. Simpanan pula hampir tidak ada langsung. Bayangkan satu keluarga sederhana dengan 3 atau 4 anak, apa hendak makan sepanjang menganggur selama 3 minggu itu?

Yang memusykilkan kita ialah kemungkinan indeks jenayah akan meningkat sepanjang tempoh berehat selama 3 minggu itu. Bukan hendak menuduh dan menghina tetapi ketika anak kelaparan dengan dapur tidak berasap, manusia mudah hilang pertimbangan.


Menteri Sumber Manusia tidak wajar memandang berita itu secara bersahaja sambil tersenyum sahaja. Perlu ada langkah kontigensi bagi menghadapi kemelut tersebut. Tiga minggu tanpa wang bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah. Ia bukan perkara biasa. Ia sesuatu yang sangat serius bagi mencari jalan keluar.

Oleh: pendikar gunung kriang

2 comments:

Ali Abdullah said...

Salam,

Memang susah warga kilang sekarang ini untuk kekal dalam pekerjaannya memandangkan industri pengeluaran ada masanya juga menghadapi turun naik bergantung kepada ekonomi global. Ia adalah sesuatu di luar bidang dan kawalan kerajaan, terutamanya apabila ia melibatkan kepentingan pelabur-pelabur asing.

Di sesetengah negeri, segelintir pekerjanya menubuhkan kesatuan sekerja bagi melindungi diri mereka daripada teraniaya. Sekarang kita lihat begitu ramai majikan yang membuat pelbagai helah untuk mengelak daripada membayar pampasan kepada pekerja yang diberhentikan kerja. Di sinilah peranan kerajaan. MTUC turut membantu golongan yang hilang pekerjaan ini, selain pemantauan yang dibuat jabatan buruh untuk membantu golongan lain yang menerima nasib yang sama. Satu contoh di Sarawak adalah berikut; http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/12/27/nation/20081227152435&sec=nation

Bagi sesetengah syarikat (kilang elektronik)yang beroperasi 24jam, kos yang ditanggung mereka sebenarnya lebih tinggi apabila merehatkan pekerjanya walaupun tanpa gaji. Semua ini sebenarnya untuk mengurangkan lebihan produk yang boleh menjejaskan nilai produk di pasaran kelak. Ia adalah bisnes strategi.

Di Sarawak, kerajaan negeri menjaga kebajikan pekerja kilang (milik pelabur asing) dan menawarkan bantuan kepada pengurus syarikat agar tidak menutup kilang dan menghentikan operasi. Rundingan dan cadangan juga dibuat kepada mereka agar penduduk pribumi akan terus mempunyai pekerjaan. Selain dari itu, tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri kerana urusan syarikat adalah hak pengarahnya.

Kita juga tidak menyukai mana-mana pemimpin yang mengambil mudah masalah rakyat. Hidup di dunia sekarang ini tiada yang mudah, semuanya perlukan duit. Berkaitan Menteri Sumber Manusia, janganlah kita terlalu cepat menghukumnya hanya kerana raut wajahnya. Bagaimanapun, kita perlu tunggu sehingga kita mengetahui semua usahanya bagi membantu pekerja yang hilang pekerjaan ini.
Wassalam

pendikar gunung kriang said...

Terima kasih apai dengan artikel yg agak ilmiah di atas. Saya harap Menteri Sumber Manusia silap ketika memberi angka hingga 45,000 yang terpaksa menganggur. Ia satu jumlah yg besar yg boleh memberi kesan sosial walaupun mereka menganggur hanya utk 3 minggu sahaja.

Jika yg menganggur itu Wan Farid rasanya utk 6 bulan pun beliau boleh tahan, tapi pekerja kilang yg hendak dapat RM1,000 sebulan pun terpaksa membuat overtime yang tidak masuk akal, saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka terutama yg berkeluarga mampu survive lebih dari seminggu..

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.