Saturday, January 10, 2009

Gila...Seunit Tandas Menyamai Harga 10 Unit Rumah Kos Rendah!!

Gila, tidak masuk akal, itulah kata rakan saya selepas membaca berita dalam akhbar Metro yang menyatakan kos pembinaan tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) ialah RM250,000 seunit. Satu unit tandas RM250,000? Satu unit tandas RM250,000? Gila!!

Berita yang tersiar dalam Metro dan dibacakan rakan itu membuatkan saya terdiam. Mulanya saya sangka rakan itu cuma bergurau. Selepas membacanya sendiri baru saya sedar, ia bukan gurauan. Ia benar-benar tersiar dalam akhbar itu.

Menurut berita itu, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Teknikal Malaysian Airport Holdings Bhd, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali memaklumkan pihaknya membelanjakan sebanyak RM1 juta untuk membina 4 unit tandas sebagai tambahan kepada kemudahan sedia ada di LTABL. Katanya empat unit tandas yang setiap satu berharga RM250,000 itu telah siap dan digunakan sejak 3 minggu lalu.

Mengapa seunit tandas berharga hingga RM250,000? Sungguh tinggi kosnya jika menjangkau hingga RM250,000 seunit! Seunit rumah kos rendah yang mempunyai 3 bilik tidur, ruang tamu, dapur dan satu bilik air baru berharga antara RM25,000 hingga RM42,000 sahaja mengikut lokasi dan jenis rumah. Jika diandaikan harga seunit rumah kos rendah ialah RM25,000 seunit bermakna peruntukan RM250,000 itu boleh digunakan untuk membina 10 unit rumah kos rendah. Jika diandaikan harga rumah itu ialah RM42,000 seunit pula, bermakna peruntukan RM250,000 itu berupaya membina hampir 6 unit rumah kos rendah.

Mengapa kos tandas di LTABY itu tinggi sangat? Mungkinkah kemasannya begitu hebat hingga menyebabkan harga setinggi itu? Mungkinkah lantai tandas itu diperbuat dari jubin bersalut perak yang diimpot dari Amerika, dindingnya bersalut emas tulin yang diimpot dari Afrika Selatan, cermin mukanya diperbuat dari kaca yang dijamin tidak retak dan pudar selama 1,000 tahun, manakala mangkuk tandasnya diperbuat dari emas putih bersalut berlian?

Dalam hati saya tertanya-tanya selepas membaca berita itu - siapa arkitek yang mereka cipta tandas semewah itu, ia dibuat atas arahan siapa, siapa yang meluluskannya dan siapa jurutera yang membuat perkiraan kos tandas yang setinggi itu? Mungkinkah sang jurutera yang membuat perkiraan telah tersilap mengiranya, manakala pihak yang meluluskan pembinan tandas itu menanda tanganinya ketika sedang bermimpi?

Sambil menggeleng-gelengkan kepala saya berkata kepada rakan di sebelah, "Rupanya ketika masih ada rakyat yang tidak mampu memiliki sebuah rumah sekalipun,namun di negara kita ada agensinya yang sanggup membina seunit tandas yang harganya menyamai harga 10 unit rumah kos rendah. Itulah agaknya makna semangat 'Malaysia Boleh', boleh buat apa saja, buat benda-benda gila dan tidak masuk akal sekalipun!

Membaca berita yang tersiar di akhbar itu membuat hati saya meronta-ronta untuk ke LTABY bagi menyaksikan sendiri tandas yang serba mewah itu. Cuma saya takut apabila memasuki tandas itu hasrat untuk membuang air tidak kesampaian kerana tidak tergamak mencemarkan tandas yang hanya layak digunakan oleh Raja-Raja atau dewa-dewi dari kayangan sahaja itu!

Oleh: pendikar gunung kriang

2 comments:

Ali Abdullah said...

Betul ke satu tandas itu berharga sampai suku juta? Atau cerita ini sebenarnya dimanipulasi untuk mengaitkannya dengan pentadbiran kerajaan pusat?

Walaubagaimanapun, itu terpulanglah kepada kita untuk menilaikan kesahihan cerita ini.. Mana ada logik tandas berharga semacam ini. Kontraktor yang paling penipu sekalipun takkan berani letak harga setinggi ini. Mungkin ia ada melibatkan pengubahsuaian bangunan atau renovation dalaman bangunan tersebut. Kita tidak tahu, takkanlah pihak pengurusan LTABL sebegitu bodoh nak luluskan projek mahal sedemikian rupa..

pendikar gunung kriang said...

apai,

Harga RM250,000 seunit itu adalah berdasarkan maklumat daripada Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Teknikal Malaysian Airport Holdings Bhd, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali. Saya juga seperti tidak percaya harga tandas boleh semahal itu. Tetapi selagi belum ada kenyataan yang menafikannya sama ada dari Malaysian Airport Bhd atau Kementerian Pengangkutan, maka kita boleh andaikan ia adalah berita yang benar. Memang benarlah di Malaysia ini banyak cerita pelik!

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.