Friday, January 2, 2009

GUAN ENG KEPADA ANWAR : PASTIKAN PEMIMPIN PKR LEBIH BERDISIPLIN!

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan BERNAMA telah meminta Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat(PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memastikan pemimpin PKR lebih berdisiplin dalam usaha mengekalkan Pakatan Rakyat agar ia terus diterima rakyat.

"Anwar harus memastikan pemimpin-pemimpin PKR lebih berdisiplin," katanya mengulas soalan wartawan mengenai beberapa pemimpin PKR yang tidak sehaluan dengan pemimpin PAS di Perak baru-baru ini berhubung perlantikan ketua-ketua kampung baru.

Gesaan DAP supaya Anwar lebih mengawal anak-anak buahnya perlu diberi perhatian oleh Ketua Umum PKR itu. Pemimpin adalah umpama insan yang berada di rumah kaca di mana segala tindakannya sentiasa diperhati dan dinilai oleh khalayak sekitar. Sedikit sahaja kesilapan yang anda lakukan ia akan dijadikan modal ampuh untuk dipermainkan oleh media kita yang sentiasa kemaruk dengan berita-berita negatif PR. Perbuatan beberapa pemimpin PKR yang tidak mematuhi keputusan kerajaan negeri Perak supaya tidak mengadakan pemilihan ketua kampung menerusi pengundian sangat dikesalkan kerana ia hanya menunjukkan keangkuhan terhadap keputusan kerajaan negeri yang turut dianggotai oleh PKR. Sebagai sebahagian dari jentera PR Perak, mereka sepatutnya berjalan seiringan dengan komponen PR yang lain dan bukannya melawan arus yang boleh melemahkan perjalanan kerajaan yang baru dibentuk belum setahun jagung itu.

Benar kata Lim, Anwar tidak boleh membiarkan mana-mana komponen PR ingkar kepada keputusan pucuk pimpinan kerajaan negeri. PKR adalah parti yang masih terlalu muda dan masih perlu banyak belajar. Justru Anwar perlu campur tangan bagi mengelakkan isu ini terus dipermainkan media.

-pendikar gunung kriang.

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.