Monday, January 12, 2009

Hadiah Sejambak Bunga Dari Perdana Menteri Israel Kepada Pak Lah dan Hamid Albar?



Cuba baca dan bandingkan 2 berita ini:


i) Polis menahan 13 lelaki termasuk seorang kanak-kanak berumur 12 tahun dan lapan wanita dalam satu perhimpunan haram di Dataran Merdeka, di sini malam tadi. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Sabtu Osman ketika dihubungi berkata, antara yang ditahan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago serta Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit,) Arutchelvan Subramaniam.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram (anti-Israel dan anti-Sri Lanka) selepas beberapa amaran supaya bersurai tidak dihiraukan dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu berhimpun menyalahi undang-undang," katanya.

Mereka yang dikenali sebagai Gabungan Anti Perang (GAP) anjuran PSM mengadakan perhimpunan nyalaan lilin bagi membantah peperangan yang berlaku di Gaza dan Sri Lanka. (Sumber: mStar)

ii) Pemimpin Agung Hamas, Khaled Meshaal memberitahu setakat ini 850 orang terkorban di Gaza termasuk 270 kanak-kanak sejak serangan Israel pada 27 Disember lalu. (Sumber bHarian Online)

Kedua-dua berita di atas mempunyai sekurang-kurangnya 2 persamaan. Persamaan pertama ialah mengenai isu kanak-kanak: seorang kanak-kanak Malaysia berusia 12 tahun ditahan polis kerana terlibat dalam demonstrasi anti-Israel di Dataran Merdeka manakala di Gaza, 270 kanak-kanak Palestin terkorban dalam serangan Zionis.

Persamaan kedua mengenai pihak yang melakukan penindasan dan kekejaman. Berita pertama ialah mengenai pasukan keselamatan (polis) Malaysia yang bertindak menahan penunjuk-penunjuk perasaan anti-Israel dan berita kedua ialah mengenai pasukan keselamatan Israel yang membunuh kanak-kanak Palestin.

Apabila membaca berita ini kita seperti nampak polis kita ini sama sahaja dengan pasukan keselamatan dan polis Israel yang akan bertindak apa sahaja bagi melindungi dasar pemimpin-pemimpin mereka. Saya sebenarnya amat tidak suka untuk menyatakan polis kita sama dengan polis Israel. Ia bukan kerana saudara mara sendiripun ramai yang menjadi polis, tetapi saya tidak fikir majoriti polis kita mempunyai hati seperti polis Zionis. Saya lebih percaya polis bertindak atas arahan pihak berkuasa yang lebih atas iaitu kepimpinan politik kita.

Yang menjadikan isu tangkapan polis terhadap penunjuk perasaan ini kelihatan menarik ialah ianya dilakukan ketika dunia sedang meningkatkan bantahan terhadap kekejaman zionis dengan menghadiri ratusan tunjuk perasaan di serata dunia pada setiap hari. Di Brussels, Belgium sahaja 30,000 menghadiri tunjuk perasaan pada hujung minggu kelmarin. Di negara-negara lain juga diadakan demonstrasi yang sama hampir setiap jam. Tidak pula terdengar polis menahan penunjuk perasaan anti-Israel di negara-negara lain itu. Tetapi di Malaysia yang majoriti penduduknya Islam ini tunjuk perasaan anti-Israel dihalang oleh polis! Alangkah peliknya!





Kerajaan kita mendakwa ia menyokong perjuangan rakyat Palestin yang kini diganasi oleh Israel, anihnya dalam masa yang sama ia bertindak zalim terhadap rakyat yang berhimpun menyokong mangsa keganasan di Palestin. Tindakan polis itu bukan sahaja kelihatan menentang arus dunia yang menyuarakan bantahan besar-besaran terhadap kekejaman dan keganasan Israel, malah tidak menghormati perasaan dan keprihatinan mereka yang berhimpun menentang kedurjanaan itu. Kerajaan kita bukan sahaja tidak menghormati mereka yang berhimpun itu, malah tidak menghormati rakyat Palestin yang berjuang dan bermandi darah untuk mempertahankan tanah air mereka sendiri. Seolah-olah kerajaan kita hendak mengambil hati bapa angkat Israel iaitu Amerika Syarikat dengan tindakan menzalimi mereka yang berhimpun menentang kedurjanaan zionis itu.

Saya harap berita polis kita menyuraikan tunjuk perasaan anti-Israel ini tidak akan diketahui oleh dunia luar. Jika negara luar yang rakyatnya bukan beragama Islam tahu, tentu mereka hairan mengapa polis Islam Hadhari Malaysia sanggup melakukan perkara sekejam itu kepada rakyatnya sendiri yang menentang Israel. Jika Perdana Menteri Israel, Ehud Olmart pula tahu hal ini beliau mungkin akan mengucapkan ucapan tahniah dan menghadiahkan sejambak bunga sebagai ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Malaysia yang bersimpati dengan keganasan Israel!!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.