Tuesday, January 6, 2009

ISA Akan Dimansuhkan Tidak Lama Lagi Selepas 62.1% Rakyat Menolaknya?

Kelmarin akhbar-akhbar membuat petikan daripada Bernama mengenai ucapan Menteri Dalam Neger, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang antara lain menyatakan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih lagi relevan untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat kerana katanya MAJORITI RAKYAT MAHU ISA DIKEKALKAN.

"Kalau itu yang dikehendaki oleh rakyat, suruh kita mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kita akan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi MENGIKUT KITA PUNYA KAJIAN, majoriti rakyat mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri dikekalkan," katanya semasa Majlis Bicara Tokoh: "Masih Relevankah ISA" anjuran Kementerian Dalam Negeri dan badan bukan kerajaan, Shah Alam Free Speech.

Perkara yang menjadi tanda tanya saya mengenai ucapan Syed Hamid itu ialah:

i) Benarkah majoriti rakyat mahu ISA dikekalkan; dan

ii) Benarkah ada kajian mengenai tahap sokongan rakyat kepada ISA?


Benarkah Majoriti Rakyat Mahu ISA Dikekalkan?

Sesuatu itu dikatakan majoriti apabila sekurang-kurangnya 50.1% menyatakan 'ya' dan tidak lebih dari 49.9%' menyatakan 'tidak'. terhadap sesuatu isu. Tapi dari mana Syed Hamid dapat maklumat bahawa sekurang-kurangnya 50.1% daripada rakyat berkata 'ya' terhadap ISA? Memandangkan tidak pernah referendum mengenai isu ISA ini dilakukan kepada rakyat bagi mendapatkan maklum balas mereka, lalu dari mana beliau begitu yakin sekurang-kurangnya 50.1% daripada mereka menyokongnya? Bagi sesetengah orang, mereka mengambil andaian kemenangan majoriti mudah dalam pilihanraya umum ke-12 (PRU-12) baru-baru ini sebagai kayu pengukur sokongan rakyat. Dengan kata-kata lain, apa pun yang kerajaan lakukan adalah menepati kehendak majoriti rakyat kerana BN menang dengan majoriti dalam PRU ke-12. Oleh itu kerajaan boleh buat apa sahaja yang difikirkannya sesuai kerana di belakangnya ada sokongan majoriti rakyat dalam PRU-12 lalu.

Pandangan sedemikian sebenarnya adalah satu rumusan yang bukan sahaja tidak tepat tetapi sangat tidak bijak. Jika hendak mengukur apa kata majoriti rakyat terhadap sesuatu isu temasuk ISA, kita perlu kembali kepada pandangan rakyat terhadap isu itu sendiri. Cara yang paling mudah - adakan pungutan suara (referendum). Jika tidak mahu adakan pungutan suara kerana kosnya dianggap tinggi, boleh juga ambil hasil keputusan PRU ke-12 sebagai kayu ukur. Misalnya kita boleh buat rumusan sokongan terhadap ISA mengikut perkiraan ini:

- undi popular UMNO dalam PRU-12 : 29.6%

- undi popular MCA dalam PRU-12 : 10.2%

- undi popular MIC dalam PRU-12 : 2.2%

- undi popular Gerakan dalam PRU-12 : 2.0%

- undi popular PPP dalam PRU-12 : 0.2%

- undi popular PR (DAP, PAS, PKR) dalam PRU-12 : 49.7%

Memandangkan DAP, PAS dan PKR secara jelas memang menolak ISA, kita boleh andaikan 49.7% daripada rakyat adalah tidak bersetuju dengan ISA. Komponen BN yang terdiri daripada MCA, Gerakan dan PPP juga akhir-akhir ini secara lantang telah menyatakan tidak bersetuju dengan ISA. Maka kita boleh andaikan undi popular kepada 3 parti ini yang membentuk jumlah 12.4% dalam PRU-12 adalah juga menolak ISA. Jika 12.4% undi popular kepada MCA, Gerakan dan PPP ini dicampurkan dengan undi popular yang diperolehi PR berjumlah 49.7%, maka jumlah keseluruhan yang menolak ISA ialah sebanyak 62.1%. Jadi di sini kita boleh andaikan 62.1% daripada rakyat Malaysia menolak ISA!!

Perkiraan yang dibuat di atas itu memang tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana jumlah yang menentang ISA mungkin lebih atau mungkin kurang sedikit daripada 62.1%. Tetapi berdasarkan cakap-cakap umum tentu ramai yang yakin angka 62.1% ini boleh dijadikan panduan dalam mengukur sokongan terhadap ISA. Justru, jika referendum diadakan tidak mustahil mereka yang menolak ISA lebih ramai dari yang menyokongnya.

Syed Hamid telah menyatakan ISA akan dimansuhkan jika majoriti rakyat menolaknya. Selepas Syed Hamid sedar 62.1% rakyat menolak ISA, bilakah lagi ISA akan dimansuhkan? Namun jika Syed Hamid tidak yakin 62.1% rakyat menolak ISA, beliau boleh mengusahakan diadakan referendum bagi mengetahui angka sebenar rakyat yang menyokong dan menentang ISA.


Ada Kajian Mengenai ISA?

Syed Hamid kata ada kajian mengenai ISA yang mendapati majoriti rakyat menyokongnya. Persoalannya ialah pihak mana yang menjalankan kajian, tarikh kajian, kaedah perolehan data, siapa responden dan apa kesimpulan lengkap kajian itu? Beliau sepatutnya memberi butiran terperinci mengenai kajian yang didakwa pernah dilakukan itu. Jika kajian tersebut cuma dijalankan oleh Puteri UMNO berdasarkan temubual dengan kaum keluarg mereka, maka hasil kajian itu tidaklah boleh dikatakan menggambarkan pandangan keseluruhan rakyat. Syed Hamid sepatutnya bercakap berdasarkan fakta yang disokong oleh angka-angka yang boleh dipertanggung jawabkan dan bukannya bercakap secara rambang seperti temberang penjual ubat di kaki lima.

Jika susah sangat hendak fikir secara akademik berdasarkan fakta, lakukan segera referendum. Atau jika masih tidak mahu lakukan referendum, ambil sahaja angka 62.1% sebagai petunjuk sokongan rakyat menolak ISA dan mansuhkan serta merta akta warisan kolonial itu dengan segera!


Oleh : pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.