Saturday, January 17, 2009

Peruntukan PRK Ptg Pauh: Najib Pembohong, Shabudin Temberang!!


Lawak sungguh, lawak sungguh!! Tiba-tiba malam tadi menerusi berita TV3 saya terlihat Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya menafikan dakwaan laporan akhbar Suara Keadilan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menunaikan janjinya untuk memberikan peruntukan RM4.18 juta bagi membaik pulih, menaik taraf dan membeli peralatan baru di 28 masjid dan 46 surau di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Shabudin Yahaya berkata, Timbalan Perdana Menteri sebenarnya telah mengotakan janjinya, yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, pada Ogos lepas. Katanya Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang dalam satu surat bertarikh 26 Ogos 2008 mengenai kelulusan peruntukan khas itu. Walau bagaimanapun penyaluran peruntukan berkenaan di peringkat agensi pelaksana mengambil masa panjang kerana ia perlu mematuhi prosedur kewangan yang rumit sebelum boleh diagihkan kepada masjid dan surau terbabit.

Kenyataan Shabudin itu sangat melucukan. Mana pernah terjadi dalam sejarah ICU, JPM, peruntukan yang diluluskannya secara rasmi pada bulan Ogos tetapi hingga akhir tahun pun belum disalurkan kepada agensi pelaksana kerana prosedur kewangan yang rumit? Dan mana ada prosedur kewangan yang rumit? Prosedur kewangan kerajaan menerusi Arahan Perbendaharaan (Treasury Instruction) telah banyak dipermudahkan. Lazimnya jika ada pemberitahuan kelulusan pada lewat bulan Ogos seperti dakwaan Shabudin, paling lewat pada lewat September waran peruntukan sudah tiba di Pejabat Pembangunan Negeri. Pejabat Pembangunan Negeri pula dalam tempoh tidak lebih seminggu akan mengeluarkan sub-waran untuk MAIPP bagi melaksanakan projek-projek yang diluluskan itu. Jadi, selewat-lewatnya pun, pada minggu pertama bulan Oktober 2008 peruntukan sudah diterima MAIPP untuk dilaksanakan.

Isunya jika peruntukan itu benar-benar diluluskan pada bulan Ogos oleh Timbalan Perdana Menteri mengapa hingga sekarang peruntukan itu belum diterima lagi? Alasan prosedur kewangan yang rumit tidak masuk akal. Ada beberapa kemungkinan mengapa peruntukan itu tidak diterima:

i) Kemungkinan Pertama: Peruntukan khas RM4.18 juta itu tidak wujud, ia hanya umpan PRK Permatang Pauh sahaja. Ia cuma cakap kosong seorang Timbalan Perdana Menteri sahaja untuk memenangi hati pengundi.

ii) Kemungkinan Kedua: Peruntukan khas RM4.18 juta itu telah diluluskan tetapi ditarik balik selepas BN tewas dalam PRK Permatang Pauh.

Apa pun, dakwaan Shabudin bahawa peruntukan yang telah diluluskan lebih dari 4 bulan itu belum sampai kepada MAIPP hingga kini jika benar-benar berlaku adalah sangat-sangat luar biasa dan amat aneh. Ia tidak pernah berlaku dan merupakan satu penghinaan terhadap JPM dan Pejabat Pembangunan Negeri yang menteri bertanggung jawabnya ialah Perdana Menteri sendiri.

Nasib baiklah hari ini dan esok cuti hujung minggu. Jika tidak pasti pegawai-pegawai yang bekerja dengan ICU, JPM dan Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang tertawa terbahak-bahak mendengar temberang Shabudin yang tidak masuk akal itu.

-pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.