Sunday, January 4, 2009

JIKA DI BANK PUN TAK SELAMAT SIMPAN DUIT, DI MANA LAGI KITA NAK SIMPAN DUIT?

bHarian Online melaporkan Datuk Seri Najib Razak telah meminta Bank Negara menyiasat dakwaan ada bank tempatan bersubahat dengan sindiket membocorkan maklumat peribadi pelanggan mereka sehingga berlaku kes kehilangan wang dalam akaun. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Bank Negara boleh menyiasat perkara berkenaan tetapi mereka yang menjadi mangsa perlu membuat aduan bagi memudahkan siasatan dilakukan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana MenteriSenator T Murugiah kelmarin mengenai lebih 60 kes membabitkan kehilangan wang diterima pihak bank setiap bulan sejak 2006. Bagaimanapun Najib meminta orang ramai jangan membuat spekulasi mengenai kemungkinan kakitangan bank terbabit dengan sesuatu sindiket atau berlaku pencerobohan dalam sistem perbankan internet.

Mendengar kenyataan Najib ini, saya teringat kisah seorang lelaki India yang kehilangan wang simpanan RM6,000 dari akaun banknya seperti yang tersiar dalam salah satu saluran TV kita baru-baru ini. Bagi sesetengah orang terutama yang bergelar VIP, RM6,000 mungkin tidak seberapa. Tetapi bagi rakyat marhaen seperti kebanyakan kita tentu banyak yang boleh dibuat dengan wang RM6,00o itu apa lagi dalam keadaan kemelesetan ekonomi sekarang.

Saya sendiri pernah mengalami peristiwa 'ngeri' kehilangan wang dari akaun bank kira-kira 10 tahun lalu. Walaupun jumlahnya tidak sampai RM1,000, namun ia tetap peristiwa yang tidak saya lupakan. Ia menjadikan saya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan bank, termasuk ketika menggunakan mesin ATM. Dan apa yang lebih penting, sehingga sekarang saya tidak percaya 100% simpanan di bank-bank Malaysia selamat sepenuhnya. Dalam kes saya itu, saya terpaksa mengikut pelbagai prosedur bagi mendapatkan semula simpanan yang hilang termasuk membuat laporan polis dan mengisi borang-borang tertentu. Dan akhirnya selepas lebih sebulan wang itu dikreditkan semula ke dalam akaun saya

Mungkin saya salah seorang rakyat Malaysia yang bernasib baik kerana berjaya mendapatkan semula wang yang 'dihilangkan' seketika itu. Tapi di luar sana belum tentu ramai orang yang nasibnya sebaik saya, termasuklah lelaki India yang beritanya tersiar di TV baru-baru ini.

Apabila Menteri Kewangan sendiri membuat kenyataan mengenai kemungkinan bank tempatan bersubahat dengan sindiket membocorkan maklumat peribadi pelanggan, maka ia menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap bank-bank kita telah berada ditahap yang begitu buruk. Seolah-olah bank-bank tempatan tidak boleh dipercayai sangat! Dulu ramai orang tidak percaya dengan sistem kehakiman kita, kini dengan sitem kewangan pula orang mula tidak percaya.

Jika hendak simpan wang di bank pun takut tidak selamat, di mana lagi kita hendak simpan wang? Orang dulu simpan wang bawah tilam, bawah bantal, tetapi kini bantal dan tilam juga tidak selamat kerana takut dilarikan pepijat bernama pencuri, penyamun dan penagih dadah.

Ada rakan saya secara sinis berkata apa salahnya bank 'mencuri' wang pelanggannya, kerana di negara kita ini orang yang berkuasa pun 'mencuri' juga - menteri sapu projek, peguam pecah amanah, hakim terima duit untuk lepaskan penjenayah, polis sapu duit mat rempit, ahli majlis pun minta duit projek, lalu apa salahnya bank pun 'mencuri' juga? Lagipun wang yang 'dicuri' dari setiap pelanggan bukanlah banyak sangat, tidak sampaipun RM 1 juta!

Oleh : pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.