Friday, January 9, 2009

Jom Mahasiswa, Anda boleh Berdemonstrasi Apa-Apa Aje!

Nampaknya kerajaan sudah membenarkan mahasiswa kembali berdemonstrasi. Malah demonstrasi itu boleh dijalankan tanpa mendapat permit daripada pengurusan universiti. Nampaknya pusat-pusat pengajian tinggi kita akan menikmati semula kebebasan bersuara yang pernah menjadi milik mereka lebih 30 tahun lalu. Berita baik ini dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin seperti yang dipetik oleh BERNAMA kelmarin.

Cuma masih kurang jelas sama ada kebenaran berdemonstrasi itu khusus untuk isu serangan Israel di Gaza sahaja atau meliputi semua isu termasuk isu-isu sosial setempat. Tetapi saya percaya kebenaran itu adalah secara menyeluruh dan bukan bersifat ini boleh itu tak boleh, itu boleh ini tak boleh. Jika demonstrasi dibenarkan hanya untuk kes Gaza sahaja ia tentu akan menimbulkan seribu persoalan dan lelucuan. Oleh itu kebenaran ini pasti menyeluruh untuk semua isu - malah untuk mengkritik dasar kerajaan sekalipun! Cuma demonstrasi yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, atau di luar budaya kesopanan masyarakat Timur, ia perlu dihalang.

Dengan kebenaran Menteri Pengajian Tinggi untuk berdemonstrasi itu, organisasi-organisasi mahasiswa mulai sekarang bolehlah menyatakan pandangan mereka terhadap pelbagai isu yang masih melingkari masyarakat. Tidak lama lagi Gapena kabarnya akan mengadakan demonstrasi membantah PPMSI, jadi pelajar-pelajar bolehlah turut serta bersama-sama 100,000 rakyat yang dijangka menyertainya. Begitu juga isu-isu lain - kenaikan harga barang, ISA, kebebasan bersuara, kebebasan media, ketelusan SPR, kealpaan pihak Kerajaan Negeri (BN & PR) serta Pihak Berkuasa Tempatan dalam menangani masalah rakyat semuanya boleh digembeleng sebagai isu untuk disuarakan dalam demonstrasi.

Tahniah kepada kerajaan, tahniah kepada Menteri Pengajian Tinggi. Harap ucapan tahniah ini tidak terlalu awal. Harap tidaklah selepas ini Menteri Pengajian Tinggi berkata kebenaran berdemonstrasi khusus untuk isu serangan Israel ke atas Gaza sahaja. Janganlah pula jika ada orang-orang Malaysia sendiri yang bersifat seperti zionis dan menekan pihak lain, demonstrasi menentang zionis tempatan itu tidak dibenarkan. Janganlah begitu. Janganlah orang kata demokrasi kita demokrasi basi, demokrasi separuh masak: untung boleh, rugi tarak.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.