Thursday, January 15, 2009

Kisah Sepohon Setar dan Sebutir Bintang Di Alor Setar

Ada orang kata apalah ada pada nama. Tapi orang yang berkata sedemikian jika dipanggil dia dengan nama-nama yang tidak sesuai, misalnya nama binatang, nama pokok atau nama hantu pasti marah. Jadi jangan kata nama itu tidak penting. Nama adalah identiti, nama menunjukkan sesuatu.

Kira-kira 5 tahun dahulu apabila kerajaan negeri ketika itu menukar nama Alor Setar kepada Alor Star ramai yang tidak setuju. Tapi suara tidak setuju itu tenggelam begitu saja kerana itu adalah keputusan kerajaan negeri yang berkuasa ketika itu. Siapa boleh sanggah keputusan pihak yang berkuasa?

Semua tempat lazimnya ada sejarah masing-masing. Kuala Lumpur misalnya berasal dari pekan kecil yang tumbuh berdekatan kuala sungai yang dipenuhi lumpur. Begitu juga Sungai Petani yang dikatakan dahulunya mempunyai penempatan penduduk yang berasal dari Patani yang ramai bilangannya. Nama Alor Setar pula diambil sempena mercu tanda asal bandar itu yang mula berkembang berdekatan dengan sepohon pokok yang bernama setar yang terletak di sisi alur tempat aliran air. Hingga kini tempat asal bermulanya nama Alor Setar itu yang terletak berhampiran Pekan Melayu itu masih terpelihara.

Apabila kerajaan negeri di bawah pimpinan Syed Razak dahulu menukar nama Alor Setar kepada Alor Star, ia seperti menafikan sejarah asal Alor Setar. Apa itu "star"? Selain dari nama sebuah akhbar kepunyaan salah satu komponen parti di dalam BN, "star" bermaksud bintang. Kononnya Syed Razak yang dikatakan rendah kelulusan akademiknya itu teringin benar nama bandar itu dikomersilkan, dibaratkan, diinggeriskan. Lalu Alor Setar digantikan dengan Alor Star. Yang peliknya apabila 2 nama "alor" dan "star" digabungkan, maka ia bererti "alur bintang" yang tiada kena mengena sedikitpun dengan sejarah asal Alor Setar. Yang lebih melucukan dalam nama Alor Star itu ada campuran bahasa rojak: 'alor' dalam bahasa Melayu dan 'star' dalam Bahasa Inggeris. Mungkin bahasa rojak itu sesuai ketika itu dengan identiti Menteri Besar dan barisan EXCOnya yang suka bercakap dalam bahasa rojak!

Kini Alor Setar dikembalikan kepada nama asalnya. Yang berhak diberikan haknya semula. Syabas kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan semua EXCO kerajaan negeri yang membuat keputusan itu. Penukaran nama itu mungkin tidak penting kepada sesetengah orang, tetapi ia sangat bererti kepada generasi akan datang kerana identiti adalah cermin kepada diri kita. Tanpa identiti kita sama seperti hantu yang ada roh tapi tidak ada jasad dan diri.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.