Wednesday, January 28, 2009

Ku Din Kata Bubarkan Putra dan Putri, UMNO Sendiri Pula Bila Nak Bubar?


Tengahari tadi menerusi berita TV saya terlihat wajah Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail (Ku Din) yang mencadangkan sayap parti, Putra dan Putri UMNO dibubarkan bagi mengelak gejala politik wang. Beliau berkata, kewujudan Putra dan Putri melemahkan UMNO kerana semakin banyak pemilihan, lebih banyak gejala terutama politik wang melanda parti termasuk Putra dan Putri UMNO. Beliau juga berkata ahli kedua-dua pergerakan itu seharusnya memberi tumpuan kepada pelajaran berbanding politik kerana masih muda dan belum sesuai untuk berpolitik.

Yang menghairankan saya mengapa selepas kira-kira 10 tahun kedua-dua sayap parti itu ditubuhkan baru kini Ku Din sedar anak muda sepatutnya belajar dan bukan berpolitik? Dan yang kedua, mengapa beliau nampak terkejut anak-anak UMNO di bawah sayap Putra dan Putri itu kemaruk wang? Jika bapa mereka, ibu mereka, datuk mereka dan nenek mereka sudah menjadikan wang sebagai budaya untuk memanjat ke atas, mengapa pula terkejut apabila anak dan cucu mereka mengikut perangai yang sama? Ibu, bapa, datuk dan nenek adalah cermin anak muda kita, apa pelakuan anda itulah yang mereka akan ikuti. Justru bila datuk dan nenek kencing berdiri, bapa dan ibu pula kencing berlari mengapa pula Ku Din pura-pura terkejut bila pria dan gadis UMNO kencing sambil menari-nari di tengah jalan?

Pepatah Cina berkata ikan busuk berpunca dari kepalanya. Bila kepala busuk, keseluruhan ikan akan busuk. Hari ini Ku Din cadangkan Putra dan Putri dibubarkan, bila gerangan agaknya nak cadangkan UMNO itu sendiri dibubarkan keseluruhannya?

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.