Tuesday, January 6, 2009

Malu....Drama 'Misteri Tadika KEMAS' Arahan Zahid & Mat Taib Gagal Pecah Panggung!

Buang masa sahaja tengok TV, rupanya semuanya lakonan belaka! Itulah bentak hati saya apabila membaca kenyataan Kerajaan Negeri Perak yang menafikan mengeluarkan arahan untuk menutup Tadika KEMAS. Rupanya ia cuma lakonan beberapa pemimpin UMNO untuk memburukkan imej kerajaan PR sahaja. Pintar benar mereka bermain politik ala-Machievelli itu hingga 3-4 hari drama itu diputarkan di skrin TV. Tapi begitulah pelakon yang tidak ada ijazah dari akademi filem ni, seringkali lakonannya tidak sempurna. Akhirnya segalanya terbongkar jua.

Siapa yang menjadi sutradara drama ini tidak pasti. Ada yang kata Zahid Hamidi, sebab dia yang memulakan cerita mengenai penutupan tadika KEMAS hingga heboh tersiar beritanya dalam media. Ada pula yang kata ia arahan Mat Taib kerana dia Menteri Pembangunan Luar Bandar yang menjaga KEMAS dan secara 'tidak kebetulan' pemimpin UMNO itu berada di Perak pada hari insiden berlaku. Mungkin dia berada di Perak untuk melihat hasil drama arahannya? Tapi jika hendak berlaku adil kita boleh anggap kedua-duanya sutradara bersama. Malangnya kedua-duanya sutradara yang tiada ilmu filem dan drama, lalu jadilah ia sebuah drama yang banyak cacat celanya.

Lain kali sebelum berlakon minta dahulu pandangan sutradara-sutradara tersohor kita seperti Mamat Khalid, Afdlin Shauki, Bade Azmi, Shuhaimy Baba, Yasmin Ahmad dan Datuk Yusuf Haslam. Mereka ini pintar dalam ilmu filem dan drama, bila berlakon ia akan nampak benar-benar real dan bukannya seperti drama 'Misteri Tadika KEMAS' ni, baru 4 hari sudah pecah tembelang. Mat Taib dan Zaid mungkin seorang politikus yang hebat, tetapi mereka hampir tidak menguasai ilmu drama secara formal. Sebab itulah agaknya orang gelak besar bila seguni wang yang dibawa Mat Taib ke Brisbane dulu akhirnya dihidu oleh pihak berkuasa Australia. Jadi silap besar lantik kedua-duanya jadi sutradara filem 'Misteri Tadika KEMAS' itu!

Cuba baca coretan Bendahari PAS Perak mengenai kisah benar beliau menangani drama sebabak arahan Zahid dan Mat Taib yang tidak menjadi itu yang dipetik dari harakahdaily:-








Pada petang 4 Januari keluar SMS (khidmat pesanan ringkas) di kalangan pemimpin Umno Perak yang berbunyi: "Jam 9.00 pagi 5/1/09 bawa Tan Sri Muhammad Taib (Menteri Pembangunan Luar Bandar) ke Dewan Tadika Kemas Sri Ampang di mana pelajar tadika Kemas dihalang masuk dewan oleh arahan kerajaan negeri, boleh jadi isu kempen kita di Kuala Terengganu."

Maka pada pagi tersebut tidak kurang daripada 50 orang pemimpin Umno di pelbagai peringkat (dari Ahli cawangan sehinggalah Menteri) berduyun-duyun tiba di premis tersebut.

Seawal 7.40 pagi, wakil-wakil media TV3 dan RTM, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kemas menunggu di situ. Siapa yang menjemput pihak media tersebut?

Mendapat respon daripada SMS tersebut dan arahan tegas YAB Menteri Besar Perak supaya semua dewan yang digunakan oleh Kemas di Negeri Perak bagi kelas tadika tidak dihalang, maka seawal 7.30 pagi pihak JKK Sri Ampang telah membuka kunci pagar dan kunci pintu dewan.

Silapnya rantai pagar yang tidak berkunci tidak dialihkan.

Apabila penulis sampai ada tiga pelajar tadika menunggu di luar pagar bersama ibu bapa dan seorang guru tadika perempuan berumur sekitar 40-an.

Khuatir suasana itu boleh dijadikan modal lakonan di media, penulis mengarahkan pintu pagar dibuka seluas-luasnya dan meminta pelajar masuk ke dalam dewan.

Drama Umno/Kemas tersebut terserlah apabila tiba-tiba guru Kemas cuba menghalang daripada pintu pagar tersebut dibuka dan mengambil rantai pagar untuk dililit kembali supaya lakonan dapat dipanjangkan sementara menunggu para-para tetamu beliau.

Cikgu tersebut sibuk menelefon meminta tetamunya datang segera ke Sri Ampang. Tentulah tetamu VIPnya adalah Menteri yang secara kebetulan berada di Perak!

Guru tersebut berkeras mengapa hanya sekarang (pagi tersebut) dewan dibenarkan dibuka. Mengapa tidak beberapa hari lebih awal. Isunya mudah. Kerajaan negeri tidak pernah menghalang kelas Tadika Kemas beroperasi.

Isu timbul kerana apabila pihak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) mengenakan peraturan penggunaan dewan supaya pihak Kemas meminta kunci secara rasmi bagi kegunaan tadika daripada pihak JKKK.

Guru tersebut dilaporkan berkata kepada Ketua Kampung (yang secara kebetulan seorang ustaz bekas pensyarah Politeknik) bahawa beliau tidak akan mahu berjumpa Ketua Kampung untuk mengambil kunci.

Pihak Umno melalui Ketua Bahagiannya menegaskan Ketua Kampung yang sepatutnya meminta kebenaran daripada Kemas jika menggunakan dewan.

Alasannya Dewan itu hak milik Kemas kerana 'orang-orang Umno' yang bersusah payah mendirikannya 20 tahun dahulu.

Bagi JKKK pula, dewan tersebut milik kerajaan dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk aktiviti masyarakat (selain aktiviti politik) kerana dewan itu didirikan di tanah kerajaan. Namun Kemas tidak pernah dihalang untuk terus beroperasi.

Apa yang sebenarnya diperlukan adalah kajian tentang status dewan-dewan orang ramai di seluruh negeri Perak dan peraturan bertulis tentang penggunaan Dewan supaya tidak ada lagi dewan-dewan orang ramai yang dijadikan bilik gerakan pilihan raya Umno/BN.

Tindakan lebih tegas juga diperlukan bagi menangani media tiga suku yang 'hostile' kepada Kerajaan Perak kini.

Antaranya disarankan supaya tindakan undang-undang diambil ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan dalam ruang Awang Selamat (6 Januari 2009) bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan Selangor adalah sezalim Yahudi Israel kerana menghalang pelajar-pelajar Tadika Kemas dalam keadaan Utusan Malaysia menyedari Kerajaan Perak telah pun mengadakan sidang akhbar pada 5 Januari 2009 menafikan tindakan tersebut.

Buktinya di seluruh negeri Perak beratus-ratus Tadika Kemas masih terus beroperasi seperti biasa di dewan orang ramai milik Kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.