Wednesday, January 7, 2009

Menanti Kemunculan Budak Menggigit Anjing Di Kuala Terengganu

Saya bukanlah seorang wartawan dan sedikitpun tidak ada ilmu kewartawanan. Tetapi entah macam mana pada suatu hari beberapa tahun dahulu saya ditawarkan oleh agensi tempat saya bertugas untuk mengikuti kursus pendek mengenai penulisan yang dianjurkan oleh sebuah agensi latihan. Kebetulan salah seorang penceramah adalah wartawan yang agak tersohor juga di Malaysia ini. Sehingga sekarang apabila mendengar nama wartawan itu saya terbayang objek seekor anjing dan seorang kanak-kanak.

Mengapa saya terbayang anjing dan kanak-kanak apabila mendengar nama wartawan itu? Ini kerana wartawan itu pernah berkata dalam ceramahnya bahawa, "Bila anjing menggigit budak, ia tiada nilai berita. Yang menjadi berita itu bernilai ialah apabila ada budak yang menggigit anjing". Maksudnya bagi media, cerita-cerita biasa seperti budak digigit anjing tidak ada nilai berita untuk disiarkan kerana ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Yang ada nilai berita ialah berita yang jarang-jarang berlaku seperti bila ada budak yang menggigit anjing.

Saya paparkan kisah budak dan anjing ini apabila teringat pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu yang akan berlangsung kurang lebih 9 hari lagi. Dalam tempoh 9 hari ini pasti banyak cerita sensasi terutama yang melibatkan PR akan disiarkaan media. Bagi media kita jika yang buat nakal itu ialah orang BN, ia adalah perkara biasa kerana semua orang kenal siapa mereka dan oleh itu ia tiada nilai berita. Tetapi jika yang membuat nakal itu ialah orang PR, maka siaplah, cerita mengenainya akan keluar berjela-jela tidak cukup 1 jam untuk siaran berita TV3 dan tidak cukup setengah jam untuk siaran berita RTM. Tidak kisahlah sama ada cerita bahawa orang PR buat nakal itu benar atau tidak, sama ada ia terlebih dahulu diprovokasi pihak lain atau tidak, yang penting dan perlu disorot ialah ada orang PR buat nakal. Itu memang ada nilai berita!

Contoh yang paling klasik yng mungkin masih diingati ialah kisah semasa PRK Sanggang, Pahang pada tahun 2000 dahulu. Bila Menteri Besar Pahang, Adnan Yacob, tunjuk isyarat lucah ia tidak ada nilai berita kerana semua orang tahu ia memang sifat semula jadi Adnan begitu. Yang ada nilai berita ialah apabila penyokong PAS menunjukkan rasa geram dengan aksi lucah Adnan itu. Dalam PRK Ijok pada 2007 pula apabila Khairy dan gerombolannya mula membaling botol kepada penyokong PKR dan PAS, ia tidak langsung mempunyai nilai berita kerana semua orang tahu telatah Khairy dan pengikut-pengikutnya memang begitu. Yang ada nilai berita ialah apabila penyokong PKR mengutip botol yang dibaling itu dan membalingnya semula kepada penyokong UMNO. Lalu keluarlah berita penyokong PKR dan PAS ganas kerana membaling botol kepada penyokong BN.

Begitu juga dalam PRK Permatang Pauh pada pertengahan tahun lepas, apabila penyokong-penyokong UMNO tidak kira lelaki dan wanita, muda dan tua menunjukkan isyarat lucah sambil menepuk-nepuk punggung, ia tidak ada nilai berita. Yang ada nilai berita ialah apabila ada kalangan wanita yang menepuk punggung itu mendakwa punggung yang ditepuknya berulang kali itu diraba pula oleh pihak lain. Lalu tercetuslah berita punggung puteri UMNO yang beraksi lucah itu diraba oleh penyokong PR, walaupun hingga sekarang tidak jelas siapa yang merabanya dan sama ada ia memang kisah benar.

Dalam PRK Permatang Pauh juga terdapat insiden yang punya nilai berita mengenai kisah jurugambar dipukul oleh penyokong PR. Lalu berhari-hari TV paparkan gambar jurugambar yang dipukul tetapi tidak ternampakpun kesan pukulan dengan jelas itu. Namun kerana ianya ada nilai berita, lalu ia disiarkan. Ini berbeda dengan beberapa insiden penyokong PKR dipukul hingga berdarah oleh penyokong UMNO dalam PRK Indera Kayangan, pada 2002 tetapi ia tidak disiarkan oleh media arus perdana kita kerana kisah kesamsengan gerombolan UMNO itu tiada nilai berita. Ini kerana bagi media kita, sedikit calar pada jurugambar di Permatang Pauh ada nilai berita, tapi berdarah muka orang PKR akibat dibelasah oleh tentera elit Shahidan tiada nilai berita.

Dan kini menjelang PRK Kuala Terengganu pada 17 Januari ini tentu pihak wartawan kita dari media arus perdana sedang sibuk memburu kisah-kisah sensasi yang membabitkan penyokong PR. Mereka tentu kecewa kerana semasa penamaan calon kelmarin, tidak ada cerita mengenai budak yang menggigit anjing. Yang ada ialah kisah mengenai anjing menggigit budak apabila penyokong-penyokong BN dipetik oleh harakahdaily membaling botol air di hadapan pintu masuk Stadium Negeri kira-kira pukul 9.50 pagi. Ketika jurugambar-jurugambar media arus perdana sibuk menghalakan lensa kamera kepada penyokong PR yang dijangka bertindak balas, mereka kecewa kerana perkara yang ada nilai berita itu tidak berlaku. Rupanya budak yang digigit anjing itu tidak menggigit semula anjing yang menggigitnya. Mungkin budak itu patuh kepada arahan bapanya (Tuan Guru Haji Hadi) agar jangan melayan provokasi lawan. Lalu kecewalah para wartawan itu kelmarin kerana tiada berita sensasi yang boleh disiarkan.

Kempen PRK Kuala Terengganu baru masuk hari kedua pada hari ini. Masih ada 9 hari lagi untuk melihat pelbagai aksi dirakamkan oleh wartawan-wartawan kita. Kepada wartawan arus perdana, mereka tentu tertunggu-tunggu bilakah gerangannya ada cerita mengenai kenakalan penyokong PR kerana ia punya nilai berita. Kisah kenakalan penyokong BN tidak perlu difokuskan kerana ia tiada nilai berita. Seperti kata wartawan tersohor dalam ceramahnya yang saya katakan sebelum ini: anjing menggigit budak tiada nilai beritanya. Yang ada nilai berita ialah apabila budak menggigit anjing. Mungkin wartawan-wartawan ini berdoa setiap saat agar esok, lusa atau tulat akan adalah seorang budak yang terlupa nasihat bapanya lalu budak itu menggigit semula anjing yang menggigitnya. Jika ini terjadi seronoklah media kita kerana sudah ada berita yang boleh disiarkan,boleh disensasikan.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.