Friday, January 30, 2009

Mengapa Baru Sekarang Baru Nak Bercakap Tentang Undang-Undang Lompat Parti?

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya untuk difikirkan secara serius bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan anti-lompat parti.

"Kita banyak menyaksikan ketidakstabilan politik di masa lalu. Kini masanya untuk mempertimbangkan cadangan ini", kata Pairin.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menyokong pindaan tersebut dibuat dalam perlembagaan persekutuan dan negeri.

Kelmarin, Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta BN Perak supaya mengadakan gerakan besar-besaran bagi mendesak Nasarudin supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat Bota yang dimenanginya atas tiket BN. Pemimpin-pemimpin BN dari UMNO juga banyak yang memberi pandangan yang sama dengan Dato' Rais.

Soalnya kenapa selepas Dato Nasarudin lompat dari UMNO ke PKR, baru semua pemimpin UMNO heboh untuk menghalang lompat parti? Lompat parti bukan senario baru dalam politik Malaysia. Ia berlaku sejak dulu. Cuma bedanya dulu orang PAS dan DAP lompat ke BN. Contohnya Nordin Saleh ADUN PAS Kelantan pernah lompat ke UMNO pada 1990. Pada 1994 pula lompatan besar-besaran ADUN PBS telah menyebabkan kerajaan negeri yang dipimpin PBS tumbang kepada BN. Ada banyak lagi kes ADUN dan Ahli Parlimen lompat parti, semuanya dari parti pembangkang atau Bebas ke BN.

Ketika itu tidak pula terdengar pemimpin BN yang mencadangkan undang-undang anti-lompat parti. Kerana apa tidak terfikir undang-undang semustahak itu di ketika itu? Ya, jawapannya mudah: ketika itu BN sangat kuat. Hanya pembangkang yang akan lompat ke BN, mustahil pula BN melompat ke pembangkang ketika itu.

Semasa Pairin menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu beliau pernah meminta semua ADUN dan Ahli Parlimen Sabah membuat surat aku janji tidak akan melompat parti jika memenangi pilihanraya. Jika lepas menang, mereka melompat ke parti lain, secara otomatis kerusi yang dimenanginya akan dikosongkan. Tetapi terdapat ADUN Sabah yang membawa kes ini ke mahkamah. Mahkamah kemudiannya memutuskan surat aku janji itu tidak sah dan dengan itu ADUN bebas memilih parti yang mereka sukai. Keputusan mahkamah itu sangat menggembirkan BN yang kemudian melobi ADUN-ADUN PBS untuk melompat ke BN. Akibatnya PBS tumbang pada 1994.

Tapi situasi kini berubah: PR nampak stabil walau cuba digoyang dengan pelbagai isu. BN pula nampak goyah, terutama selepas keputusan PRK Kuala Terengganu. Kini segalanya nampak seperti tak menjadi bagi BN. Sebab itu pemimpin-pemimpinnya sibuk bercakap mengenai undang-undang lompat parti, kerana mereka takut akan ada lagi yang melompat.

Sejarah Malaysia telah membuktikan segalanya bisa berubah hanya kerana situasi semasa itu berubah. Jika suatu hari nanti BN kukuh kembali, akankah mereka sudi bercakap mengenai undang-undang lompat parti lagi?

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.