Sunday, January 4, 2009

MENGAPA ZAHID TAK TANYA PAK LAH SENDIRI BERAPA PROJEK MEMANCING UNDI DI KUALA TERENGGANU?

Tergelak besar saya apabila terbaca kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dipetik oleh Bernama hari ini bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggunakan peruntukan pembangunan bagi tujuan memancing undi pada pilihan raya umum atau kecil. Beliau berkata peruntukan bagi tujuan pembangunan diluluskan secara berterusan dan bukan hanya dilakukan pada musim pilihan raya sahaja. Katanya tuduhan pemimpin pembangkang bahawa BN menggunakan peruntukan pembangunan bagi memancing undi setiap kali pilihan raya hanya bertujuan untuk menimbulkan isu!

Memang betul peruntukan pembangunan diluluskan sepanjang tahun. Itu Zahid tidak payah cakaplah, semua orang tahu. Datuk dan nenek yang usianya hampir satu abad pun tahu projek pembangunan ada sepanjang tahun. Dan mereka lebih tahu, jika tidak ada projek, bagaimana kontraktor besar dan kroni hendak cari makan? Jadi projek akan sentiasa ada pada setiap tahun, Cuma volumenya sahaja berbeda, kadang-kadang banyak projek, kadang-kadang tidak banyak. Tapi ada tetaplah ada.

Cuma yang peliknya ialah bila tiba musim pilihanraya kecil (PRK) tiba-tiba sahaja kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berkenaan diihujani dengan begitu banyak projek. Kita ada 27 Kementerian, bermakna 27 menteri akan turun padang masing-masing membawa projek-projek mereka sendiri. Dan projek-projek ini bukan merupakan projek asal yang telah disenaraikan di dalam bajet tahunan, kerana kebanyakannya adalah merupakan projek tambahan, projek baru. Projek baru yang tiada dalam senarai asal inilah yang digelar 'projek pilihanraya' atau 'projek memancing undi', kerana ia wujud semata-mata selepas pengumuman PRK.

Saya tidak tahu sama ada Zahid benar-benar tidak sedar kewujudan projek pilihanraya atau projek memancing undi ini. Saya lebih cenderung mempercayai bahawa sebagai menteri yang cerdik, dia sedar wujud banyak bukti-bukti projek memancing undi ini. Jika anda pernah bekerja di Pejabat Daerah, Pejabat Pembangunan Negeri dan Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri, anda dapat melihat betapa setiap kali ada PRK tiba-tiba pelbagai projek diluluskan serta merta oleh pelbagai Kementerian dan agensi. Anehnya projek-projek yang suatu masa tidak diluluskan atau ditangguhkan di peringkat pusat, tiba-tiba disalurkan semula peruntukan menjelang PRK. Projek yang baru di peringkat cadangan, tiba-tiba diluluskan serta merta. Malah pernah terjadi di suatu negeri di utara, projek yang tapaknya belum tahu di manapun diluluskan kerana PRK! Dalam istilah pengurusan projek-projek seumpama ini tidak dipanggil projek memancing undi, kerana itu adalah terma ahli politik. Terma rasmi bagi projek-projek untuk muslihat pilihanraya ini ialah projek 'peruntukan khas' atau 'peruntukan segera'. Bagi pegawai-pegawai kerajaan, kadang-kadang mereka memanggilnya sebagai 'projek zarurat', 'projek payung terjun' 'projek dari langit' dan lain-lain gelaran lain bernada sinis.

Projek-projek dari peruntukan khas ini diluluskan dalam pelbagai skala, ada yang berskala kecil seperti menurap jalan tar, membaiki surau dan masjid, membina jambatan dan mengecat bangunan tetapi ada juga yang berskala besar yang nilainya berjuta ringgit. Projek yang nilainya berjuta ringgit ini pasti tidak sempat disiapkan dalam tempoh sebelum PRK berlangsung, justru perasmian tapak projek dilakukan dahulu dengan pengumuman menteri sekian-sekian juta telah diluluskan.

Zahid boleh menafikan projek memancing undi ini tidak wujud, Zahid boleh berpura-pura tidak tahu adanya projek seumpama itu, walaupun sebagai bekas Timbalan Menteri dan Menteri, beliau sendiri secara sedar meluluskannya. Namun jika Zahid masih tidak sedar atau pura-pura tidak sedar kewujudan projek memancing undi ini beliau boleh bertanya sendiri dengan Pak Lah sama ada projek sedemikian adalah realiti atau hanya mimpi pembangkang. Saya yakin Pak Lah pasti akan mengakui projek memancing undi ini memang wujud. Ini kerana Pak Lah sendiri pernah mengakuinya di Dewan Rakyat pada 6 Julai 2007 ketika menjawab soalan dari Sallehuddin Ayub bahawa nilai projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk pilihanraya kecil Ijok ialah sebanyak RM10.8 juta. Itu di Ijok sahaja, bagaimana dengan PRK-PRK lain, misalnya PRK Permatang Pauh?

Jika Pak Lah sendiri pernah mengakui projek memancing undi ini wujud, mengapa Zahid masih tidak mengakuinya? Adakah ianya kerana Zahid masih belum pulih sepenuhnya dari sindrom 'ingat-ingat lupa' selepas terbabit dalam kemalangan jalanraya bersama motorsikal berkuasa besar BMW 1,200 c.c nya di Indonesia pada 2007 dahulu? Jika beliau masih ingat-ingat lupa eloklah rujuk semula dengan Pak Lah. Kalau boleh tanyalah Pak Lah berapa juta yang bakal diperuntukkan untuk projek memancing undi dalam PRK Kuala Terengganu kelak?


Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.