Monday, January 26, 2009

Penghijrahan ADUN Bota Ke PR....Teori Domino Sedang Bermula?


Ia bermula dengan kemenangan bergaya PR dalam PRU ke-12 pada bulan Mac tahun lepas. Kemudian disusuli dengan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Permatang Pauh pada penghujung bulan Ogos 2008. Pada November tahun yang sama, ADUN Bebas Ngemah di Sarawak, Gabriel Adit menyertai PKR. Pada minggu lepas pula PAS merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu dari BN. Dan kelmarin, satu lagi takdir yang menggembirakan pakatan yang selalu dikatakan BN sedang menghadapi krisis itu telah berlaku - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

Penghijrahan Datuk Nasarudin ke PKR diumumkan oleh Ketua Umum dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti itu pada pukul 2.30 petang kelmarin. Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti selesa 2,068 undi.

Pada pilihan raya umum ke-12, PR yang kini memerintah Perak, menguasai 31 kerusi DUN manakala BN pula 28 kerusi. Dengan penghijrahan Datuk Nasarudin ke dalam PKR bermakna nisbah kerusi di antara PR dan BN berubah kepada 32:27.

Kemasukan Datuk Nasarudin ke PR pasti merupakan satu berita yang mencemaskan BN khususnya UMNO Perak yang telah melakukan sedaya upaya untuk merampas kembali tampuk pemerintahan negeri itu dari tangan PR. Mereka telah melakukan pelbagai perkara - menganjurkan beberapa demonstrasi menentng Kerajaan Negeri yang dituduh gagal mempertahankan maruah orang Melayu, percubaan menarik beberapa ADUN PR menyertai BN, memainkan isu pemberian gran hak milik kekal kepada kampung baru, isu penutupan premis milik KEMAS dan lain-lain lagi perang saraf yang sungguh licik. Malang sungguh, ketika UMNO Perak telah mencuba pelbagai perkara untuk memburukkan imej PR dan berharap PR tumpas sebelum PRU ke-13, kini satu lagi kerusi UMNO menggelungsur memasuki saku PR. Kemasukan Datuk Nasarudin ke dalam PKR pasti suatu kemenangan moral yang amat besar maknanya kepda PR kerana sebelum ini kebanyakan yang berhijrah masuk ke pakatan pembangkang adalah terdiri dari mereka yang telah 'pencen ' sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri atau tidak pernah memegang salah satu jawatan tersebut.

Mulai PRU ke-12 yang lalu, nampaknya bintang PR sungguh cerah. Mereka menang dengan selesa dalam 2 PRK yang lazimnya sukar mereka menangi apa lagi menangi dengan majoriti yang besar. Kemudian 2 orang ADUN dari bebas dan UMNO menyertai parti itu. Akan adakah lagi siri 'berita-berita baik' yang akan menambah cerahkan lagi bintang PR?

Semasa peperangan Vietnam berlangsung dahulu, Amerika Syarikat sangat takut berlakunya 'teori domino'. Teori domino merujuk kepada kejatuhan satu objek yang kemudian akan menyebabkan objek-objek lain berdekatan turut jatuh. Semasa perang Vietnam, Amerika sangat takut apabila Vietnam Utara dan Vietcong yang komunis itu memenangi perang Vietnam, seluruh Indo-China dan Asia Tenggara satu persatu akan jatuh ke tangan komunis. Dan teori itu benar-benar berlaku kerana selepas Amerika yang bongkak dan mempunyai persenjataan moden itu akhirnya ditewaskan oleh Vietcong yang kekurangan senjata; maka Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos turut jatuh ke tangan komunis tidak lama kemudian.

Beberapa siri kemenagan moral PR sejak bulan Mac tahun lepas seolah-olah menggambarkan kemaran PR tidak dapat dibendung lagi. Apakah satu demi satu kemenangan moral yang sedang diraih oleh PR itu menunjukkan teori domino sedang melanda politik Malaysia yang bakal menyaksikan PR menubuhkan sebuah kerajaan baru sebelum PRU ke-13 kelak?

Hanya masa yang menentukan bila sesuatu itu akan berlaku. Dan hanya Allah jua yang bakal menentukan sesuatu takdir atau mengubah sesuatu yang berlaku kepada hambaNya.

Oleh: pendikar gunung kriang

2 comments:

perunding said...

bila Allah nak bagi menang..
mudah je..
yang tak disangka boleh datang bergolek.
terus usaha,doa,berharap kepada Allah.

pendikar gunung kriang said...

Apabila Allah ingin menunjukkan kuasaNya, tiada siapa dapat menghalangnya.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.