Friday, January 9, 2009

Pengundi Hantu - Fantasi Atau Realiti?


Beberapa hari lalu saya ada menulis mengenai pengundi zombie di Kuala Terengganu. Artikel itu telah juga saya hantar ke Tranungkite dan KedahLanie di mana istilah pengundi zombie yang saya gunakan bagi menggantikan pengundi hantu seperti menggeletek sesetengah orang. Sesuatu yang serius bagi saya rupanya lucu bagi sesetengah orang. Zombie sesuatu yang menyeramkan di Haiti tetapi apabila ia dikaitkan dengan Zombie Kg Pisang Malaysia ia telah jadi satu cerita lawak.
Jadi mulai sekarang saya pun perlu gunakan istilah yang telah lama terpakai - pengundi hantu bagi merujuk seseorang yang tidak layak mengundi tetapi mengundi.

Ada orang yang sukar hendak percaya bagaimana pengundi hantu atau pengundi zombie boleh wujud. Ini kerana sebahagian kita percaya sistem pilihanraya kita sudah cukup sempurna. Kita ada suruhanjaya yang menguruskan pilihan raya, ada anggota yang mencukupi dan ada akta yang mendokongnya. Tetapi bagi mereka yang pernah berkhidmt dengan suruhanjaya itu, sama ada sebagai anggota tetap yang dibayar gaji oleh SPR atau anggota sementara yang hanya ditugaskan semasa pilihanraya kecil atau umum, mereka pasti menyedari banyak ruang terbuka yang boleh menyebabkan hantu atau zombie keluar mengundi bersama pengundi yang sah. Begitu juga jika anda bertugas atau pernah bertugas dengan Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) anda tahu banyak ruang lompong untuk mengizinkan kad pengenalan seseorang digunakan oleh pihak lain. Asalkan seseorang itu dibekalkan sedikit kuasa dan sebuah nawaitu yang songsang, semuanya tanggung beres!

Kira-kira sepuluh tahun dahulu saya pernah membaca buku "IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah" oleh Abdul Mutalib Mohd Daud. Buku itu memaparkan agenda tersembunyi dan terancang pihak berkuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang Filipina bagi membolehkan mereka mengundi di Sabah. Abdul Mutalib walaupun seorang ahli UMNO Sabah tetapi beliau rasa terpanggil untuk mendedahkan konspirasi terancang itu kerana menyedari kepalsuan perlu dibongkar dan dihentikan. Buku itu bukan sahaja memaparkan bagaimana hantu-hantu itu dilahirkan hingga boleh mengundi tetapi disokong oleh butiran terperinci pengenalan asal pengundi hantu dan perbandingan dengan kad pengenalan yang dikeluarkan oleh JPN Sabah, surat beranak asal dan surat beranak palsu yang dikeluarkan kemudian dan butiran-butiran lain yang menunjukkan penulis memang melakukan kerja rumah yang begitu teliti sebelum mengeluarkan buku tersebut. Ketika buku itu dikeluarkan 10 tahun dahulu, saya tertanya-tanya mengapa pihak pembangkang tidak pernah mengenengahkan buku yang disokong oleh fakta yang agak sempurna itu untuk tindakan Pihak Berkuasa? Mungkinkah buku yang tidak sampai RM30.00 itu mereka tidak baca dan tidak sedar ia berada di pasaran?

Namun saya merasa sedikit lega apabila perkara itu dibangkitkan oleh Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani dalam soalan bertulisnya di Dewan Rakyat pada 18 November 2008 yang lalu. Yang kemudiannya menjadikan saya tidak lega ialah apabila Menteri Dalam Negeri memberi jawapan yang sungguh tidak bertanggung jawab terhadap soalan Johari itu apabila berkata, "pihak polis tidak pernah menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan dalam buku berkenaan". Sambil lewa dan sungguh tidak bertanggung jawab! Jawapan sambil lewa Menteri itu memperlihatkan kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan masalah kad pengenalan palsu yang selama ini wujud di Sabah dan di negeri-negeri lain di Malaysia.

Sesungguhnya dakwaan yang dibangkitkan dalam buku tersebut amat serius kerana ia melibatkan isu hak dan maruah warganegara negara ini. Kedaulatan negara ini tidak terjamin selagi isu kad pengenalan palsu yang didalangi pihak-pihak berkepentingan ini tidak diatasi. Sepatutnya Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis mengambil sifat proaktif untuk menyiasat dakwaan tersebut. Paling tidak, pihak polis wajar memulakan siasatan awal sebelum menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dan kini isu pengundi hantu ini muncul kembali dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Seperti biasa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan SPR akan menfikannya. Mereka kata ia tidak wujud, ia fantasi pembangkang. Mereka yang berkata begini saya fikir dari jenis orang yang tidak tahu apa yang mereka tidak tahu atau buat-buat tak tahu apa yang mereka tahu. Justru, kadang-kadang saya terfikir elok senaskhah buku Abdul Mutalib itu diserahkan kepada mereka yang tidak percaya atau pura-pura tidak percaya kewujudan pengundi hantu itu. Biar mereka melihat sendiri fakta dan realitinya. Tetapi lepas itu terfikir balik - jika serahkan buku tapi mereka tidak baca buat apa, habis wang dan tenaga saja!

Oleh: pendikar gunung kriang.




No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.