Thursday, January 29, 2009

Perlis.....Oh Perlis, Negeri Kecil Comel Tapi Tak Habis-Habis Bergomol!!


Negeri Perlis itu kecil saja. Sebab itu di Perlis tidak ada daerah, dan tidak ada Pegawai Daerah; sebab negerinya kecil sangat. Kebanyakan daerah-daerah di Pahang, Kedah dan Perak adalah lebih besar dari negeri Perlis yang keluasannya cuma 795 kilometer persegi itu. Penduduknya pula cuma 218,000 orang - lebih kecil dari penduduk beberapa bandar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Ipoh.


Jumlah penduduk Perlis yang tidak sampai 1% dari penduduk Malaysia itu walau bagaimana pun tidak menggambarkan sebuah Perlis yang damai. Walaupun kecil, tapi politiknya besar. Sejak dahulu tidak habis-habis kisah orang UMNO bergaduh sesama sendiri. Kemuncak pergaduhan itu ialah apabila Shahidan Kassim yang hebat itu akhirnya digantikan oleh Dr Mat Isa Sabu selepas PRU ke-12 dulu.

Dan kelmarin nampaknya peperangan baru tercetus lagi antara puak Shahidan yang diwakili oleh Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh dengan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Hashim menuduh Radzi sedang menjalankan gerakan mencantas pengaruh mantan Menteri Besar itu dengan menyekat jawatan para penyokongnya, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan menghalang pemberian kontrak kerajaan negeri. Hashim juga mendakwa, Menteri Besar Perlis sekarang, Datuk Seri Mohd Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."

Sambil menempelak Hashim Suboh yang melemparkan dakwaan sedemikian semalam, Radzi yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO itu dilaporkan berkata oleh Malaysiakini:

"Cermin muka dahulu. Apa yang anda buat selama ini di Kangar dan Perlis? Jangan sembang kosong, tidak baik. Jangan buat tuduhan. Sembang kosong, tapi apa pun tak buat. Tunjukkan bukti dahulu!"

Radzi juga mencabar Hashim menunjukkan bukti bahawa beliau terlibat mencampuri urusan pentadbiran Menteri Besar itu. Radzi turut mendakwa Hashim tidak turun membantu jentera kempen BN dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu untuk memastikan kemenangan calon-calon parti itu di Kangar.

"Awak (Hashim) Ketua Penerangan? Siapa yang lantik awak? Saya Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat," katanya, sambil menasihatkan kepada Hashim agar menjalankan kerja dengan baik dan menunjukkan kejayaan kepada masyarakat.

Bagi mereka yang tinggal di Perlis atau pernah bertugas di Perlis, pasti kenal dengan watak-watak penting dalam UMNO Perlis ini. Kisah percakaran dalam UMNO bukan cerita baru bagi penduduk Perlis yang tidak ramai itu. Percakaran dalam keluarga yang sama juga bukan cerita baru di Perlis . Malah semua orang Perlis tahu Hashim dan abangnya yang bernama Azmi itu pun tidak sebulu juga, kerana Hashim dari kem Shahidan manakala Azmi dari kem Radzi.

Nampaknya salah satu sebab percakaran antara tokoh-tokoh besar Perlis ini seperti kata Hashim ialah kerana Kerajaan Negeri sekarang 'menghalang pemberian kontrak' kepada puak Shahidan. Jadi di situlah kuncinya: mereka sedang berebut "kek kecil", seperti lagak dua ekor kucing berebut kepala ikan temenung di Kuala Perlis. Peruntukan projek pembangunan di Perlis sangat kecil, tapi setiap kem mahu bahagiannya dalam kek yang kecil itu. Jadi berebut-rebutlah mereka tidak habis-habis untuk membaham kek kecil itu sebanyak mungkin.

Kesian betul pemimpin-pemimpin UMNO Perlis ini. Sudahlah negeri kecil, penduduk tidak ramai, hasil negeri pun tidak seberapa, peruntukan pembangunan tidak banyak, kek yang kecil itu pun hendak direbut-rebut sampai tuduh menuduh mengalahkan polemik politik di negeri-negeri lain yang saiznya berkali ganda besar.

Perlis...oh Perlis, negeri kecil comel tapi tak habis-habis bergomol!!


Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.