Thursday, January 29, 2009

PR Perak - Tak Boleh Bertelur Diam-Diam Ke?


Dua tiga hari lepas bukan main heboh dengan berita ADUN Bota, Datuk Nasarudin yang berhijrah dari UMNO ke PKR. Dan kemudin timbul pula berita dari atas angin @ berita angin tiga lagi ADUN UMNO bergelar Datuk bakal mengikuti langkah Datuk Nasarudin. Berita dari atas angin juga bertiup kencang bahawa penghijrahan itu bakal berlaku dalam tempoh sangat terdekat. Berita dari atas angin itu semakin meyakinkan kerana ia diiyakan oleh Menteri Besar Perak sendiri.


Kini selepas 3 hari berlalu, nampaknya tiada ADUN lain yang melompat menyusuli Datuk Nasarudin. Tidak tahulah sama ada berita tiga ADUN lagi yang bakal berhijrah ke PR itu cuma kabar dari atas angin atau satu gimik dalam permainan politik atau ia memang benar-benar akan berlaku tidak lama lagi. Yang pastinya hingga kini ia belum berlaku tetapi sudah cukup untuk menggoncangkan kedudukan UMNO hingga Tajol Rosli terpaksa letak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.

Ketika Datuk Nasrudin berhijrah ke PKR, ia berlaku secara begitu teratur seperti kata pepatah Melayu, "diam ubi diam berisi". Dalam diam-diam saja, seperti tanpa angin pokok bergoyang, tiba-tiba keluar berita beliau berhijrak ke PKR hingga mengejutkan banyak pihak. Namun dalam kes tiga ADUN yang bakal berhijrah itu pula ia menjadi seperti, "ayam telur sebiji riuh sekampung". Jika bertelur sebiji tidak apa juga, sekurang-kurangnya ada juga sebiji, entah-entah nanti sebiji pun tidak keluar, apa macam?

Kepada PR Perak dan PR negeri-negeri lain, jika hendak bekerja, janganlah bekerja seperti ayam. Bekerja seperti ayam ini dulunya adalah salah satu strategi perang saraf UMNO/BN, tetapi mengapa PR perlu mencontohinya? Jika hendak bekerja, contohilah ubi: diam-diam berisi. Atau boleh juga contohi bagaimana pihak polis mengadakan operasi serbuan, bukan sahaja anggota yang terlibat dilarang membocorkan rahsia kepada rakan rapat, malah ahli keluarga sendiri pun dilarang diberitahu bagi memastikan kejayaan operasi.

Tetapi dalam kes penghijrahan tiga ADUN ini peperangan belum bermula, seentero Malaya sudah tahu. Dalam Perang 6 Hari antara Israel dan pakatan Arab pada 1967 dahulu, Arab sudah menghebohkan mereka akan mengebom Israel. Akibatnya belum lagi jet pejuang dihidupkan, Israel terlebih dahulu mengebom jet-jet tentera udara Mesir hingga tentera Arab yang besar itu tewas sebelum peperangan sebenar bermula. Arab tewas bukan kerana tidak kuat tetapi tidak bijak mengatur strategi.
Oleh itu jika hendak menang, pandai-pandailah mengatur strategi.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.