Saturday, January 3, 2009

PR Selangor : Terima Kasih Khir Toyo Kerana Tubuhkan SUARAS

mStar Online melaporkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengalu-alukan penubuhan Suara Rakyat Selangor (SUARAS) oleh Barisan Nasional (BN) negeri itu dalam usaha menggesa kerajaan negeri menunaikan manifesto pilihan raya umum yang lalu. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, beliau tidak kisah dengan penubuhan badan tersebut dalam usaha BN untuk mengadakan satu gerakan khas bagi menggesa kerajaan negeri dikuasai Pakatan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP kerana ia akan membolehkan pihaknya bekerja dengan lebih baik.

"Jika mereka nak buat, buatlah. Jika ada tekanan seperti itu, kita akan bekerja dengan lebih baik lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini. Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamed Khir Toyo kelmarin memberitahu mStar Online, BN di Selangor akan menubuhkan SUARAS bagi menggesa kerajaan negeri yang dikuasai PR melaksanakan janji mereka. Beliau berkata, langkah itu adalah usaha pihaknya untuk membuat satu gerakan khusus termasuk kempen kesedaran bagi menyedarkan rakyat bahawa PR di Selangor masih belum melunaskan janji-janji mereka yang dibuat sebelum pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Dr Mohamed Khir itu, Khalid berkata, sepanjang pengetahuannya, penduduk berpuas hati dengan usaha kerajaan negeri ke arah menjadi sebuah negeri berkebajikan.

"Dalam masa tidak sampai setahun, lebih 40 peratus janji yang kita buat pada plihan raya lalu telah kita tunaikan.

"Ini termasuk bekalan air percuma di Selangor, bantuan Takaful kepada warga emas yang meninggal dunia dan TAWAS (Tabung Warisan Anak Selangor).

"Kita juga sedang dalam usaha untuk menambah pendapatan negeri melalui royalti penjualan pasir. Kalau dulu, kerajaan negeri hanya akan mendapat RM20 juta setahun, akan datang ia akan meningkat kepada RM150 juta setahun.

"Dengan penambahan itu serta langkah-langkah penjimatan yang sering kita amalkan, Insya Allah, segala janji itu akan dapat dipenuhi dan kita akan salurkan apa yang diperlukan rakyat dengan pendapatan yang kita ada," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan masih wujud kelemahan yang perlu diperbaiki dalam Pakatan itu namun, sebagai sebuah kerajaan negeri yang baru mengambil alih Selangor daripada BN, Khalid menyifatkan ia adalah jauh lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.

Kenyataan Khalid itu juga disokong oleh anggota EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu yang berpendapat kerajaan negeri perlu memandang positif penubuhan SUARAS. Berhubung isu pengurangan cukai pintu yang masih belum dilaksanakan Pakatan Rakyat, Liu berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji rancangan itu.

"Kita kena buat kajian betul-betul tambahan pula ekonomi pada tahun ini dijangka merosot. Kalau tidak tahun ini, mungkin tahun depan ia boleh dilaksanakan.

"Janji kita kepada rakyat, kita akan kotakan tapi berilah sedikit masa kerana kita masih baru. Mana-mana yang kita boleh laksanakan dalam masa yang singkat, kita akan laksanakan dan mana-mana yang memerlukan masa, kita memang kena ambil masa."

Kenyataan pemimpin-pemimpin PR yang dipetik dari mStar Online itu menampakkan sikap matang dan positif mereka dalam menghadapi gertakan BN yang masih berusaha dengan pelbagai cara untuk merebut kembali Selangor dari PR. Memandangkan BN selalu membangkitkan isu mengotakan manifesto pilihanraya ini sejak parti itu tumpas di dalam PRU ke12 tempoh hari adalah wajar untuk kerajaan PR mengambil perhatian serius mengenainya. Kenyatan Khalid bahawa 40% dari manifesto PR di Selangor telah berjaya dicapai, masih menimbulkan tanda tanya kerana rakyat pasti ingin tahu formula yang dipakai dalam menzahirkan angka 40% itu. Kerajaan negeri Selangor dan kerajaan-kerajaan negeri PR yang lain dalam hal ini wajar menubuhkan satu jawatankuasa pemantauan khas bagi melihat sejauh mana manifesto itu telah berjaya dilaksanakan, peratus sebenar pencapaiannya, halangan yang dihadapi dan jika ada yang tidak dapat dilaksanakan butiran lanjut mengenai sebab-sebab ia tidak dapat dilksanakan. Laporan mengenai pencapaian pelaksanaan manifesto itu kemudiannya perlu disebarkan kepada umum bagi mengelakkan ia terus dijadikan isu yang boleh menjejaskan reputasi kerajaan negeri PR di mata rakyat.

Oleh : pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.