Sunday, January 18, 2009

PRK Kuala Terengganu : Mengapa Media Kita Melaporkan Dengan Minda Kelas Empat?


Saya memang jarang membaca akhbar yang diperbuat dari kertas. Saya lebih gemar membaca akhbar versi internet yang saya lihat lebih padat dan ringkas. Namun hari ini anak saya beli dua akhbar - kedua-duanya akhbar Melayu tetapi diterbitkan oleh 2 syarikat berbeda. Pertama, akhbar Mingguan Malaysia dan kedua akhbar Berita Minggu.

Saya jeling kedua-dua akhbar yang dibeli itu. Kelmarin ada satu peristiwa besar dalam negara iaitu pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang sudah diketahui keputusannya. Saya pasti tajuk besarnya ialah "PAS Menang Dengan Majoriti Besar", "PAS Rampas Kuala Terengganu Dengan Majoriti Selesa" atau lain-lain tajuk yang sering menjadi bahasa basahan pihak akhbar-akhbar berkenaan jika BN menang besar. Saya beranggapan demikian kerana begitulah tajuk akhbar-akhbar apabila BN menang dalam sesuatu pilihanraya, "BN Menang", BN Menang Besar", "BN Menang Selesa" dan lain-lain yang sewaktu dengannya.

Tetapi bila didekati, rupanya tajuk akhbar-akhbar yang ada di depan saya itu lain pula:

Mingguan Malaysia: "Lagi Sekolah PBB Dibom"
Berita Minggu: "Genjatan Senjata Israel"

Eh, kata hati saya, tidak ada berita mengenai pilihanraya kecil Kuala Terengganu ke? Bukan isu Palestin itu tidak penting, ia penting bagi kita, tetapi tentu berita Kuala Terengganu lebih penting semalam, jika tidak penting tak kan lah pula Timbalan Perdana Menteri berkampung 2 minggu di sana?

Belek punya belek rupanya ada juga berita mengenai pilihanraya kecil itu: cuma ia berita kerdil yang tersorok di celah berita-berita dan gambar bewarna lain yang lebih menarik. Jika BN menang pasti ia tersiar di laman utama seperti lazimnya, di samping ulasan dari tokoh-tokohnya dengan gambar menarik, namun bila PAS menang tiada pula kesannya sedemikian. Lalu teringat saya mengenai penantian keputusan rasmi pilihanraya di televisyen malam tadi. Hingga hampir jam 10.00 malam baru nampak catatan di bawah skrin TV mengenai keputusan pilihanraya, walaupun versi internet di pelbagai laman dan blog sudah memaklumkan keputusan penuh 2 jam lebih awal. Dalam hati berkata betapa lembabnya TV kita, TV kerajaan dan swasta dua kali lima sahaja, tidak adil dalam memberi layanan terhadap warganya.

Gambaran mengenai kaedah pelaporan berita oleh akhbar-akhbar kita yang saya catat di atas mengundang rasa hairan dan lucu bagi mereka yang tidak tahu iklim dan tahap demokrasi negara ini. Jika difikir-fikir kadang-kadang terasa Malaysia seperti berada di sebuah planet asing dan kadang-kadang pula terasa seperti berada di Zimbabwe, Kongo, Malawi, Botswana, Tanzania atau negara-negara Afrika lain yang baru belajar mengenali erti demokrasi. Tetapi kita berada di Malaysia yang sering diomong-omongkan akan mencapai tahap negara maju pada 2020. Namun jika tahap pendemokrasian minda pemilik-pemilik akhbar dan media kita masih di tahap yang ada sekarang, bolehkah kita percaya negara ini layak mencapai negara maju pada 2020? Mungkin pada 2020 kita maju dari segi fizikal dengan deretan bangunan pencakar langit dan kesesakan jalan yang merimaskan, tapi apa maknanya menjadi negara maju jika minda kita termasuk pihak press lebih mundur dari negara-negara kelas tiga dan kelas empat dunia?

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.