Saturday, January 31, 2009

Ramlang Porigi: Masih Ada Esok Untukmu


Saya sangat simpati dengan nasib mantan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang dipecat baru-baru ini daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Permatang Pauh tahun lepas.
Lembaga Tatatertib Jakim yang dipengerusikan oleh Wan Mohamad difahamkan mengambil keputusan itu dalam mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Yang sangat malang dalam kes Ramlang ini ialah apabila beliau mendakwa penyingkirannya tidak melalui prosedur dan amalan biasa. "Saya dibuang tanpa amaran, tanpa notis," katanya kepada Malaysiakini.

Jika apa yang dikatakan Ramlang itu benar - beliau dibuang kerja tanpa amaran, tanpa notis - maka peluang untuk beliau untuk mendapatkan kembali jawatannya sangat-sangat cerah. Buang kerja dalam perkhidmatan awam bukanlah suatu prosedur mudah. Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, banyak proses yang terpaksa dilalui sebelum seseorang anggota perkhidmatan awam itu boleh dibuang kerja. Anggota yang hendak dibuang kerja perlu diberi notis pemberitahuan, peluang membela diri dalam tempoh 21 hari kepada majikannya, hak diberitahu keputusan dan jika perlu hak menggunakan khidmat peguam. Malah selepas majikannya membuang kerja pun, beliau masih berpeluang membawa kesnya ke Lembaga Rayuan Tatatertib di Jabatan Perkhidmtan Awam. Prinsip penting dalam peraturan yang terpakai sebelum dibuang kerja ialah seperti yang dinyatakan di dalam Perkara 135 (2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang menyatakan:

"Tiada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan yang boleh dibuang kerja atau diturunkan pangkat dengan tidak diberi peluang yang munasabah untuk (kesnya) didengar"

Dengan kata-kata lain, sebelum mengambil tindakan buang kerja, JAKIM perlu mengeluarkan surat pertuduhan dan memberi peluang mencukupi dalam tempoh 21 hari kepada Ramlang untuk mempertahankan dirinya. Surat pertuduhan pula perlu dikemukan mengikut peraturan dengan ada akuan terima dari pihak yang dituduh. Selepas anggota dijatuhkan hukuman, mereka yang dibuang kerja boleh mengemukakan rayuan ke Lembaga Rayuan Tatatertib di Jabatan Perkhidmatan Awam dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan oleh jabatannya.

Banyak kes-kes buang kerja oleh beberapa jabatan sebelum ini berakhir dengan anggota perkhidmtan awam berkenaan mendapatkan semula jawatan asalnya dahulu. Malah ada kes-kes di mana anggota yang telah ponteng kerja selama bertahun-tahun dan kemudian dibuang kerja oleh majikannya mendapatkan semula kerjanya semata-mata kerana pertuduhan yang dibuat tidak mengikut peraturan, contohnya tiada surat pertuduhan, surat pertuduhan tidak jelas, tiada bukti anggota yang dituduh telah menerima surat pertuduhan dan sebagainya.

Dalam kes Ramlang, beliau menyatakan tidak menerima surat pertuduhan dan tidak diberi peluang membela diri. Ini menunjukkan tindakan buang kerja terhadap Ramlang adalah tidak mengikut peraturan. Jika apa yang dikatakan Ramlang itu benar - beliau dibuang kerja tanpa surat pertuduhan dan tanpa berpeluang membela diri - saya sangat yakin dan berani menyatakan jika beliau membuat rayuan ke Lembaga Rayuan Tatatertib, peluangnya untuk mndapatkan kembali jawatannya sangat-sangat cerah.

Apa yang penting kini bagi Ramlang ialah menulis surat membela diri dalam tempoh 14 hari selepas surat buang kerja diterimanya yang difahamkan diterimanya pada minggu lepas. Jika Ramlang tidak begitu mahir menulis surat membela diri, saya percaya ada berjuta rakyat Malaysia yang sedia membantunya.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.