Saturday, January 31, 2009

Rosmah Vs Erdogan Siapa Hebat?



Isteri saya pernah bertanya: mengapa hari-hari Rosmah muncul di TV bercakap mengenai Gaza dengan suara manja dan sebak yang kelihatan begitu dibuat-buat, mengapa tidak Jeanne Abdullah sebagai Wanita Pertama yang muncul di TV? Jawapan acuh tak acuh saya mudah: Rosmah bakal Wanita Pertama dan dia sudah tidak sabar menunggu 2 bulan lagi untuk memperagakan aksi.


Bila berbicara mengenai Gaza, tiba-tiba malam tadi bulu roma saya meremang melihat keberanian Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menempelak sambil menuding jari tepat ke muka Perdana Menteri Israel dalam Sidang Forum Ekonomi Dunia di Davos. Saya juga melihat di TV rakyat Turki beramai-ramai keluar ke jalan raya memberi sokongan terhadap kejantanan Perdana Menteri mereka itu. Tidak terkecuali rakyat Gaza yang juga keluar ke jalanraya membawa sepanduk dan potret Erdogan yang tiba-tiba muncul sebagai hero baru rakyat Palestin.

Syabas kepada Erdogan, syabas kerana ada juga pemimpin jantan umat Islam di dunia ini. Beliau memberi harapan baru di tengah kelesuan pimpinan Arab dan dunia Islam yang cakap tidak serupa bikin.

Tambah hebat dan terserlah keberanian Erdogan kerana berani meninggalkan Sidang Davos yang berprestij itu! Beliau berani bertarung di tengah gelanggang, tidak seperti pemimpin umat Islam, termasuk Malaysia yang hanya berani menyalak menentang Amerika di kampung halaman tetapi kelu membisu tatkala berada di Amerika dan di luar negara di tengah pemimpin dunia. Negara ini pernah diberi amanah sebagai Pengerusi OIC, tetapi apabila timbul pelbagai masalah umat Islam, termasuk Timur Tengah, Pengerusi OIC dari Malaysia lebih banyak berdiam diri atau bercakap hanya selepas isu hampir selesai. Lihatlah saja apa yang Malaysia buat selaku Pengerusi OIC ketika Lubnan dilanyak Israel dua tahun lalu: Oooh, I seee....tengok dan lihat selama berminggu-minggu sebelum panggil mesyuarat.

Jikalah ketika itu seorang Erdogan dan seorang Ahmadeenejad yang memimpin OIC rasanya sejarah yang tercatat tentu berbeda. Jika Mahathir dan Pak Lah berani mempamerkan kejantanan mereka apabila berpeluang melakukannya dahulu, mungkin rakyat Lubnan dan Palestin akan berarak ke jalan raya membawa potret Perdana Menteri kita itu. Betapa bangganya kita menjadi rakyat Malaysia jika begitulah situasinya ketika itu!!

Apakah Pak Lah dan Najib selaku pemimpin serta Rosmah yang hari-hari bercakap mengenai Gaza itu hanya berani menyalak dalam gelanggang semata-mata untuk menarik simpati dan sintimen rakyat yang rata-ratanya begitu meluat dengan keangkuhan Israel dan Amerikla? Yang lebih malang ialah apabila seorang mantan PM kita yang nampak begitu anti-Amerika dan anti-Yahudi, tetapi sanggup membayar USD 1.2 juta kepada pelobi Yahudi Jack Abramoff semata-mata untuk berkesempatan melutut di hadapan mantan Presiden Bush. Malangnya umat Islam Malaysia!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.