Thursday, January 22, 2009

Siapa Pemimpin Kaya Raya Yang Sogok Perwakilan RM500 Itu?


mStar melaporkan seorang pemimpin kanan UMNO peringkat pusat yang terlibat dalam politik wang dalam pemilihan parti, menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini. Beliau merupakan orang yang ke-13 ditahan oleh SPRM berhubung politik wang, yang hangat diperkatakan menjelang pemilihan parti itu. Pemimpin dari Wilayah Persekutuan itu ditahan selepas beliau menyerah diri kepada SPRM di Temerloh, Pahang.

Beliau yang berusia lewat 40-an disoal siasat beberapa jam sebelum dibebaskan dengan ikat jamin berhubung dakwaan bahawa telah membuat bayaran kepada beberapa orang untuk tujuan meraih sokongan menjelang pemilihan pusat Mac ini. Beliau yang telah layak untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) membayar antara RM300 dan RM500 untuk setiap seorang perwakilan.

Siapa pemimpin kanan UMNO yang begitu mewah hingga sanggup sogok sebanyak itu? Difahamkan pemimpin kaya raya berusia lewat 40an itu bergelar Datuk dan pernah menjadi Setiausaha Politik seorang Menteri.

Nampaknya amalan menyogok sudah menjadi budaya parti itu yang seperti sudah tidak dapat dibendung lagi. Dulu apabila Tun Dr Mahathir menyatakan nilai sogokan perwakilan UMNO sekitar RM500 seorang, ramai yang mempertikai dan berkata ia diperbesar-besarkan. Rupanya ia memang benar. Satu hari nanti kita tidak akan terkejut apabila mendengar ada lagi yang ditahan dengan nilai sogokan lebih besar, mungkin RM600, mungkin RM1,000 seorang. Seperti telah ada satu tanda aras nilai sogokan minimum dan masing-masing ingin mempamerkan kemewahan dengan menyogok dengan nilai yang lebih tinggi. Bagi pemimpin-pemimpin ini RM500 tiada nilainya, ia terlalu kecil untuk satu pelaburan jangka panjang yang hasilnya kelak lebih besar, lebih lumayan.

Patutlah calon-calon UMNO asyik kalah saja bermula dengan PRU ke-12, diikuti PRK Permatang Pauh dan baru-baru ini PRK Kuala Terengganu. Mereka hanya mementingkan diri dan menganggap semuanya dapat dibeli dengan wang. Mereka mungkin boleh membeli ahli UMNO yang mindanya serupa dengan mereka, dengan nilai RM500 atau RM1,000 tetapi mereka tidak akan berjaya membeli rakyat yang mindanya merdeka dan bermaruah!! Mereka boleh menang dalam pertandingan UMNO, mereka boleh menang bertanding dengan ahli parti yang mentalitinya sama dengan mereka, tetapi mereka tidak akan menang apabila bertanding dengan ahli parti lain dalam pilihanraya kerana dalam pilihanraya mereka terpaksa berhadapan dengan undi rakyat merdeka, undi rakyat bermaruah!!

Oleh: pendikar gunung kriang

2 comments:

perunding said...

ahli depa boleh dibeli.
rakyat terbukti tidak boleh dibeli

pendikar gunung kriang said...

Setuju.....

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.