Tuesday, January 6, 2009

STRATEGI TIDAK MENGENA, PROVOKASI TIDAK MENJADI!

Setiap kali ada pilihan raya kecil (PRK) pihak media berharap akan ada cerita sensasi yang boleh menghangatkan suasana. Dalam PRK Ijok aksi berbalas membaling botol menarik perhatin. Lalu media menyalahkan penyokong PKR yang membalas balik balingan botol yang dimulakan oleh penyokong BN.

Dalam PRK Permatang Pauh pula aksi Puteri UMNO yang menepuk-nepuk punggung sendiri tidak menjadi berita sensasi. Yang menjadi berita sensasi ialah kononnya ada tangan-tangan gatal yang meraba punggung Puteri yang sedang menepuk-nepuk punggungnya sendiri. Siapa yang sebenarnya meraba tidak penting, kerana jika yang diraba ialah Puteri UMNO, andaian mudah ialah yang meraba tentunya orang PKR, PAS atau DAP.

Dan hari ini baru hari pertama kempen pilihanraya secara rasmi bermula seperti sudah ada tanda-tanda akan wujud kepanasan. Kabarnya ketika proses penamaan calon pagi tadi, penyokong Barisan Nasional (BN) bertindak liar terhadap penyokong PAS dengan membaling botol air di hadapan pintu masuk Stadium Negeri kira-kira pada pukul 9.50 pagi tadi. Mujurlah penyokong PAS/PR yang lebih ramai dari BN (nisbah 1:3) tidak bertindak balas.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib telah meminta semua parti yang mengambil bahagian dalam pilihanraya ini tidak mencemari pilihanraya dengan aksi yang boleh menimbulkan kekecohan. Belumpun dua hari, nampaknya amanat beliau telah diketepikan oleh ahli partinya sendiri.

Mungkin ramai yang berharap akan ada insiden berbalas membaling botol seperti di Ijok atau insiden punggung diraba seperti yang berlaku di Permatang Pauh supaya malam nanti berita mengenainya boleh dibesar-besarkan dan esoknya akhbar-akhbar yang kurang laris dapat dijual habis. Tapi hari ini nampaknya juru kamera dan wartawan RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, NST dan lain-lain pasti kecewa. Hari ini tiada berita menarik pilihanraya kerana segalanya berjalan lancar. Di mana silapnya serangan tidak berbalas entahlah. Botol sudah dibaling, malangnya ianya tidak bersambut. Nampaknya strategi tidak mengena, provokasi tidak menjadi, takziah......


Oleh pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.