Thursday, January 1, 2009

SURAT TERBUKA MAHATHIR KEPADA OBAMA - BAGAI MENEPUK AIR DI DULANG...

mStar hari ini melaporkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam surat terbukanya kepada bakal presiden Amerika, Barack Obama sempena Tahun Baru 2009, menyenaraikan sembilan perkara yang wajar ditimbang oleh bakal presiden yang akan mengetuai Amerika Syarikat (AS) mulai 20 Januari ini.

Saranan Dr. Mahathir kepada Obama, bakal presiden ke-44 Amerika itu ialah:

- Berhenti daripada membunuh orang.

- Hentikan sokongan sembarangan kepada Israel dengan wang dan senjata. Pesawat dan bom yang membunuh orang ramai di Gaza adalah dari AS.

- Henti daripada mengenakan sekatan ke atas negara-negara yang tidak boleh berbuat demikian ke atas AS.

- Hentikan saintis dan penyelidik AS daripada mencipta senjata-senjata kejam untuk membunuh orang ramai secara lebih efisien.

- Hentikan pengeluar-pengeluar senjata daripada menghasilkan senjata sedemikian. Halang mereka daripada menjualnya kepada dunia. Ia pendapatan diperoleh AS.

- Hentikan daripada cubaan mendemokrasikan kesemua negara di dunia. Demokrasi kemungkinan bersesuaian untuk AS tetapi tidak semestinya padan untuk negara-negara lain. Jangan bunuh orang kerana mereka tidak mengamalkan demokrasi.

- Hentikan kasino-kasino yang anda anggap sebagai institusi-institusi kewangan. Kawal selia bank-bank anda.

- Iktiraf Protokol Kyoto dan perjanjian-perjanjian antarabangsa yang lain.

- Hormati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kadang-kadang hendak tergelak juga membaca saranan Dr Mahathir itu. Bukan apa, dalam hati tertanya-tanya adakah sepanjang 22 tahun memerintah Malaysia, Dr Mahathir telah melakukan semua perkara-perkara yang disarankannya kepada Obama itu. Contohnya:

i) Saranan berhenti dari membunuh orang : adakah semasa Dr Mahathir memerintah tidak ada sesiapa yang telah menjadi mangsa pembunuhan politik? Mungkin Dr Mahathir sendiri sudah lupa dengan tragedi Mamali pada 19 November 1985 yang mengorbankan Ustaz Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya, tetapi bagaimana rakyat Malaysia dapat melupakan peristiwa berdarah yang berlaku 23 tahun yang lalu itu? Alangkah baiknya jika Dr Mahathir yang ketika tragedi itu berlaku sedang berada di Beijing menelefon Tun Musa Hitam yang memangku jawatan PM dengan kata-kata, "Musa, berhenti dari membunuh orang!"

ii) Henti daripada mengenakan sekatan ke atas negara-negara yang tidak boleh berbuat demikian ke atas AS: Adakah semasa Mahathir menjadi PM tiada sekatan kepada rakyat Malaysia yang mengkritiknya? Apa tujuan diwujudkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Polis, Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pelbagai akta lagi jika tujuannya bukan bukan untuk menyekat kebebasan bersuara?

iii) Hentikan kasino-kasino yang dianggap sebagai institusi kewanagan : Adakah di Malaysia ini tidak ada kasino sepanjang dr Mahathir menjadi Perdana Menteri? Jika bukan kasino, apa namanya benda yang tertegak di puncak Genting Highland sehingga menarik jutaan pengunjung setahun untuk berjudi di sana dan menjadi salah satu sumber kewangan negara?

Banyak yang boleh diperdebatkan mengenai saranan Dr Mahathir kepada Obama itu. Cuma alangkah eloknya jika apa yang disaran oleh Dr Mahathir kepada Obama beliau laksanakan sendiri mengikut semangat yang sama ketika beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu. Tambahan pula beliau telah berpeluang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, sedangkan presiden Amerika tidak akan berpeluang menjadi presiden lebih dari 2 penggal.

-pendekar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.