Tuesday, January 13, 2009

Tentera Israel Menggempur Gaza, Polis Malaysia Menggempur Kuala Terengganu



Ketika Israel menggandakan jumlah tentera untuk menakluki Gaza, kerajaan Barisan Nasional (BN) pula menggandakan bilangan polis di Kuala Terengganu daripada 6,000 orang kepada 10,000 orang. Tujuan kerajaan Israel dan kerajaan BN sama sahaja - bagi memastikan Hamas tumpas di Gaza dan PAS tumpas di Kuala Terengganu.

Bilangan 10,000 orang anggota polis yang ditempatkan di parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai 80,200 pengundi itu hampir tidak munasabah. 10,000 polis untuk 80,200 pengundi bermakna seorang polis menjaga keselamatan 8 orang pengundi - suatu jumlah yang tersangat besar! Oleh itu tidak hairan jika polis kelihatan hampir di seluruh pelusuk Kuala Terengganu kerana bilangan mereka yang tersangat besar itu. Walaupun dari satu segi ianya baik untuk keselamatan, tetapi kehadiran yang melebihi keperluan sebenar pasti menimbulkan rasa rimas dan kurang selesa kepada orang ramai.

Kehadiran polis yang sebegitu ramai jarang berlaku di negara ini. Di negara-negara luar juga keadaan seumpama ini jarang berlaku kecuali di Afrika Selatan dan Rhodesia (kini Zimbabwe) ketika di era apartheid dulu dan di negara-negara lain yang kini sedang bergolak seperti Iraq dan Afghanistan. Jika di negara-negara yang tidak bergolak tetapi kehadiran polis seramai itu, ia hanya wujud di negara polis seperti negara-negara blok komunis suatu ketika dahulu. Walaupun Tun Dr Mahathir pernah berkata hidup di Malaysia di bawah Pak Lah adalah seperti hidup di negara polis, tetapi kerajaan telah menafikannya. Namun itulah gambaran yang wujud di Kuala Terengganu kini - hidup seperti di negara polis.

Tidak tahulah mengapa Ketua Polis Negara terfikir untuk mengerahkan polis seramai itu, seolah-olah orang Kuala Terengganu ini sangat suka bertekak dan tidak bertamadun hingga keselamatan mereka perlu di kawal sebegitu ketat. Bagi sesetengah pihak terutama bukan-Melayu pula kehadiran polis seramai itu sering disalah anggap sebagai percubaan menakut-nakutkan mereka untuk keluar mengundi.

Bagi pelancong yang pertama kali datang ke Terengganu dan Malaysia gambaran polis meronda di setiap pelusuk parlimen Kuala Terengganu pasti membawa suatu persepsi negatif. Jika pulang ke negara asal dan di tanya bagaimana dengan Malaysia, mungkin jawapan mereka di sini terlalu ramai polis yang mungkin disebabkan keselamatannya yang tidak terjamin. Dan jika itulah jawapan pelancong-pelancong luar, ia adalah sesuatu yang tidak sihat bagi meningkatkan iklim pelaburan ke negara ini. Pelabur tentu kurang berminat jika tahu negara ini tidak selamat hingga memaksa polis berkawal di setiap penjuru jalan dan bangunan.


Oleh:
pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.