Saturday, January 10, 2009

Terima Kasih MBAS, Terima Kasih KedahLanie!!


Hari ini saya sibuk sekali. Hendak baca akhbar dan melayari internet pun tak sempat. Walaupun hari cuti hujung minggu, namun sebahagian waktu siang saya berada di luar rumah. Salah satu tempat saya berada kerana sesuatu tugasan itu ialah Lorong Sri, Alor Star.

Pada 24 Disember 2008 saya pernah menulis dalam blog saya satu artikel bertajuk, "Helllo, MBAS, Tumpang Tanya... Kat Mana Lorong Sri?". Saya juga telah menghantar satu salinan artikel itu ke blog KedahLanie. Ini kerana saya sedar jika saya cuma catat dalam blog saya semata tentu ia tidak akan ke mana, kerana blog saya masih baru dan saya juga cuma marhaen biasa yang tidak dikenali. Oleh itu saya hantar melalui blog KedahLanie yang lebih popular. Saya tulis dengan harapan orang Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) akan membacanya. Tulisan saya itu adalah mengenai Lorong Sri yang sudah bertahun-tahun papan tanda jalannya yang tanggal tidak diganti balik oleh MBAS. Akibat ketiadaan papan tanda itu ramai orang luar tidak tahu di mana Lorong Sri walaupun letaknya tidak jauh dari pusat bandar.

Dan hari ini saya melalui Lorong Sri lagi. Tiba-tiba saya terlihat papan tanda bertulis Lorong Seri (bukan Lorong Sri sebagaimana ejaan saya) di pangkal jalan masuk lorong tersebut! Entah bila papan tanda itu diganti oleh MBAS tidak tahulah. Mungkin sudah 5-6 hari dipasang, sebab minggu lepas apabila melaluinya saya tidak menyedari kewujudan papan tanda itu. Mungkin juga telah dipasang lama sebelum itu lagi, cuma saya tidak menyedarinya. Entahlah. Apapun, yang penting papan tanda baru telah dipasang. Orang ramai tidak akan terkeliru lagi untuk ke Lorong Seri.

Terima kasih, terima kasih MBAS!! Tidak sangka mereka bertindak begitu cepat menggantikan papan tanda yang sudah bertahun-tahun tanggal sejak BN memerintah dahulu lagi. Tidak sangka dalam tempoh tidak sampai 10 hari lepas tersiar ceritanya di KedahLanie papan tanda itu telah dipasang semula. Terima kasih juga kepada KedahLanie kerana suara rakyat kerdil seperti saya dan penduduk Lorong Seri disiarkan dalam blog anda.

Kata isteri saya papan tanda itu dipasang semula oleh MBAS mungkin bukan kerana tulisan saya dalam KedahLanie. Mungkin juga mereka sudah lama merancang untuk memasang semula papan tanda itu dan hanya kebetulan dipasang selepas tulisan saya tersiar. Tetapi bagi saya tidak kisahlah siapa yang menyebabkan papan tanda itu dipasang semula. Yang penting papan tanda Lorong Seri telah dipasang semula oleh MBAS. Yang penting orang luar tidak tersesat jalan lagi untuk ke Lorong Seri.

Sekali lagi terima kasih kepada MBAS, terima kasih kepada KedahLanie!


Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.