Wednesday, January 21, 2009

TP UMNO Perlis Kata Orang Melayu Dah MUAK Dengan Parti Itu

Petikan Malaysiakini:

Rakyat khususnya orang Melayu kini muak dengan Umno kerana parti itu gagal menyelesaikan masalah dalamannya sehingga gagal memainkan peranan membantu orang Melayu, kata
Timbalan Pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abdin. Katanya, keadaan itu mendorong orang Melayu mengalihkan sokongan kepada pembangkang, terutama PAS dan PKR.

"Orang ramai kini melihat Umno sedang menghadapi pelbagai masalah,bukan sahaja di peringkat bahagian, tetapi juga di peringkat badan perhubungan.

"Berbanding dengan parti pembangkang, mereka bertindak menyelesaikan masalah mereka dengan segera.

"Oleh kerana itu, mereka (rakyat) lebih percaya kepada pembangkang sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lalu," katanya.

Zahidi berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.

Mengulasnya, Zahidi yang juga ketua Umno bahagian Padang Besar, Perlis berkata, apa yang berlaku sekarang ialah rakyat telah kurang keyakinan kepada Umno untuk menyelesaikan masalah mereka.

"Bukan kerana pemimpin tidak mesra. Tetapi masalah dalaman ini tidak pernah selesai... bayangkan masalah semasa pilihanraya umum lalu belum selesai, begitu juga dengan masalah yang berlaku dalam mesyuarat perwakilan bahagian November lalu," katanya.

Komen pendikar gunung: Ini adalah antara komen yang paling jujur daripada pemimpin UMNO mengenai kedudukan parti itu. Alangkah baiknya jika kepimpinan UMNO dan penyokong totok mereka memahami apa yang rakyat rasakan terhadap parti itu. Tidaklah perlu syok sendiri merasakan rakyat menyokong mereka, sedangkan rakyat ada pandangan tersendiri. Tahap pendidikan rakyat semakin tinggi, mereka sudah bijak membedakan antara yang baik dan kurang baik. Tidaklah perlu mengajar rakyat tentang sesuatu yang mereka lebih tahu kerana ia hanya akan mengundang rasa muak dan jemu terhadap dasar parti yang nampak enggan berubah langsung itu.

Jika semua pemimpin UMNO bersikap seperti Zahidi Zainul Abidin, UMNO tidak akan tewas di banyak kerusi seperti dalam PRU-12 yang lalu, tidak tewas dengan majoriti terlalu besar seperti dalam PRK Permatang Pauh dan tidak tewas dengan majoriti besar seperti dalam PRK Kuala Terengganu.

Dan jika pemimpin-pemimpin UMNO dapat melihat apa yang rakyat rasakan, mereka tidak akan bertindak seperti Zahid Hamidi yang cuba memaksa pegawai kerajaan memusuhi Kerajaan Negeri di negeri di mana mereka bertugas. Tindakan sedemikian hanya menampakkan UMNO sebagai parti bebal, mementingkan diri sendiri, tidak menghormati pandangan pihak lain, terlalu angkuh dan zalim terhadap warganya sendiri.


No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.