Saturday, February 28, 2009

Bukan UMNO Celaka, Tapi UMNO.....

Isu perkataan celaka sedang memanaskan iklim politik Malaysia. Dulu ada lebih 100 laporan polis mengenai isu penderhakaan Karpal terhadap Raja. Kini laporan polis mengenai celaka Pemuda UMNO yang diungkapkan Karpal pula. Dari satu segi saya setuju Karpal tidak patut tuduh Pemuda UMNO celaka kerana kononnya menghantar peluru kepadanya. Saya bukan tidak setuju dengan perkataan itu, tapi saya tidak setuju dengan pertuduhan itu. Sebagai peguam Karpal sepatutnya lebih memahami undang-undang. Dia tidak patut menuduh Pemuda UMNO meghantar peluru kepadanya tanpa bukti kukuh. Siapa saja boleh menghantar peluru kepadanya sama ada ahli UMNO biasa, Wanita UMNO, Puteri UMNO atau Putera UMNO, penyokong UMNO, pencacai UMNO atau bukan ahli UMNO. Jadi mengapa yang dituduhnya Pemuda UMNO?

Itu yang pertama. Yang kedua ialah jika terbukti Pemuda UMNO yang melakukannya, layakkah oskar celaka itu dikalungkan ke leher mereka? Dalam Bahasa Melayu celaka adalah merupakan salah satu sumpah seranah terhadap peribadi buruk seseorang. Sumpah seranah ini lahir dalam pelbagai perkataan - babi, syaitan, binatang, celaka, barua dan lain-lain termasuk menyebut benda sulit yang terselit dalam kain lelaki dan wanita. Semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau sering memaki hamun PAS dengan perkataan yang begitu popular di Utara - haprak.

Selepas perkataan haprak itu diperkenalkan Mahathir dalam salah satu Perhimpunan Agung UMNO, maka perkataan itu terus menjadi popular sebagai senjata UMNO menghina parti-parti lain, khususnya PAS. Memandangkan ia digunakan berleluasa oleh UMNO, kita boleh andaikan perkataan ini boleh diterima oleh UMNO. Tahun lepas pula negara ini, khususnya Terengganu kecoh dengan perkataan binatang, yang diperkenalkan oleh UMNO Terengganu untuk menghina Sultan yang enggan menerima Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Jadi memandangkan perkataan binatang pernah disebut oleh UMNO Terengganu, kita boleh andaikan kerabatnya di negeri-negeri lain boleh menerima perkataan itu.

Oleh ini jika selepas ini ada pihak yang tidak berpuashati dengan UMNO, sila pilih perkataan yang lebih sesuai, sila pilih perkataan yang mereka boleh terima. Jangan panggil UMNO celaka, panggillah perkataan yang boleh mereka terima, perkataan yang pernah mereka gunakan kepada pihak lain. Lain kali jangan kata UMNO celaka, UMNO tidak boleh terima perkataan itu. Mereka boleh katakan UMNO haprak, mereka boleh katakan UMNO binatang atau katakan apa-apa perkataan penghinaan lain yang selalu UMNO gunakan. Perkataan itu tidak akan mengundang kemarahan UMNO kerana mereka sudah biasa menggunakannya kepada pihak lain.


Oleh: pendikar gunung kriang

Friday, February 27, 2009

Suspens...Suspens....Runtuhkah Kerajaan Negeri Perak Pada 3 Mac Ini? ~ Ruj Malaysiakini


Malaysiakini melaporkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar telah memanggil sidang tergempar dewan itu pada 3 Mac depan. Ia dipercayai bagi membincangkan krisis politik di negeri itu yang menghadapi krisis perlembagaan sejak awal bulan ini, susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.


Kesemua ADUN dibenarkan hadir dalam sidang itu kecuali mereka yang telah digantung, iaitu Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya. Tiga wakil rakyat bebas yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka juga dilarang menyertai sidang tersebut. Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.

Apa yang bakal berlaku di Perak pada 3 Mac ini pasti mendebarkan rakyat dan peminat politik Perak. Apakah kerajaan yang ditubuhkan secara kudeta mampu mengekalkan kuasa atau kerajaan dalam buangan bakal kembali berkuasa atau DUN dibubarkan bagi memberi laluan satu pilihanraya baru diadakan?

Apapun yang berlaku pasti penuh dengan tanda tanya dan debaran. Cuma yang tidak seronoknya ialah kemungkinan institusi DUN tidak dihormati menerusi campur tangan 'tangan-tangan ghaib' yang angkuh dan gila kuasa.

Oleh: pendikar gunung kriang

Mudah Sungguh Untuk Menculik atau Menghapuskan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri!


Saya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Parlimen. Selepas PRU-12 ini belum sekali pun saya ke sana. Semasa bertugas di Kuala Lumpur dahulu ketika sesi Parlimen bersidang memang acapkali saya ke sana. Pergi kerana menjalankan tugas rasmi.


Seingat saya berdasarkan pengalaman terdahulu, kawalan keselamatan di Parlimen memang agak ketat. Di pintu masuk kita perlu tunjukkan kad kuasa yang dibekalkan pejabat, kemudian baru boleh masuk. Di tingkat bawah lobi Parlimen pula perlu tunjukkan kad kuasa kepada petugas Parlimen yang kemudian akan menyimpannya dan memberi kita pas Parlimen. Jika terlupa bawa kad kuasa, petugas Parlimen tidak membenarkan kita masuk kerana kad pengenalan tidak diterima. Tetapi jika merayu-rayu dengan suara sedih, petugas Parlimen akan hulur borang untuk diisi dan kemudian baru pas parlimen diberi. Lepas itu baru boleh masuk untuk bertugas di Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Ketika itu semua yang memasuki Parlimen cuma orang berkenaan saja - sama ada Ahli Parlimen, pegawai bertugas dari agensi-agensi kerajaan, wartawan dan pelawat yang diluluskan kemasukannya oleh Urusetia Parlimen, termasuk pelajar.

Pada masa dahulu itu tidak pernah terdengar ada yang membuat parti hari jadi kanak-kanak di Parlimen seperti yang berlaku pada tahun lepas itu. Pada masa itu tidak pernah sesiapa membayangkan ada kumpulan politik yang berlagak seperti samseng dan mafia 'menyerang' Parlimen seperti yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Selangor kelmarin. Masa itu kawalan keselamatan agak ketat, tidak mungkin ada ruang untuk kanak-kanak dan mafia menyelinap masuk. Mereka mungkin akan tersangkut di pintu pondok pengawal dan diminta berpatah balik.

Tetapi apa yang berlaku di Parlimen kelmarin sangat mengejutkan saya. Parlimen sebagai institusi tertinggi negara dicerobohi oleh pemuda sebuah parti yang menjadi tunjang kuasa negara ini. Mereka masuk seperti mafia untuk menyerang seorang ahli Parlimen yang malangnya seorang OKU.

Saya tertanya-tanya dalam hati di mana pengawal keselamatan ketika itu? Masa yang diambil untuk membiarkan drama pertengkaran dan pukul memukul berlaku terlalu lama sebelum pengawal tiba. Agaknya jika penyerang itu membawa senjata merbahaya, pasti sudah ada yang meninggal atau tercedera kelmarin.

Mengenangkan betapa longgarnya kawalan keselamatan di Parlimen itu, hati saya berkata: bagaimana jika ada yang datang ke Parlimen untuk menculik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau mana-mana Menteri dan Ahli Parlimen? Saya rasa jika begitulah tahap keselamatan Parlimen kita, dan kebetulan ada yang datang untuk menculik mana-mana Ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atau menghapuskan mereka, misi itu boleh dilakukan dengan amat mudah. Jika ada yang berniat buruk selain dari bekalan sebuah keberanian, mereka hanya perlu membawa senjata yang disembunyikan dalam sut kot mereka. Kemudian misi boleh diselesaikan dengan mudah, lebih mudah dari merompak sebuah kedai emas! Mudah sungguh!!

Saya rasa pihak Urusetia Parlimen perlu meningkatkan tahap keselamatan Ahli Parlimen. Jadikan serangan mafia kelmarin sebagai satu iktibar. Bayangkan jika yang datang kelmarin mafia berprofil tinggi yang kemudiannya bertindak meletupkan Dewan Rakyat, kita bukan sahaja akan kehilangan semua Ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan, tetapi terpaksa mengadakan satu lagi Pilihanraya Umum dan membina sebuah bangunan Parlimen baru.

Oleh: pendikar gunung kriang

Maafkan Saya Kerana Menyangka Hishammuddin Itu Lelaki Tulen ~ Ruj Malaysiakini


Kelmarin saya mengucapkan tahniah dalam blog saya ini kepada Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana kesediaannya untuk berdebat dengan Pemuda PAS mengenai isu PPSMI. Seterusnya saya berkata bahawa Hishammuddin yang selama ini dianggap penakut dan seringkali dilabel sebagai lelaki lembut sebenarnya bukan begitu. Saya menjangka beliau telah keluar dari kepompong lelaki lembut dan penakut yang dilabelkan kepadanya sebelum ini hanya berdasarkan kenyataannya dalam Malaysiakini pagi kelmarin, "kalau dari segi penggubalan dasar kita boleh berdebat, tiada masalah"


Tetapi malam tadi saya terbaca dalam Malaysiakini yang melaporkan beliau menolak cabaran Dewan Pemuda PAS untuk berdebat berhubung dasar PPSMI. Rupanya kenyataannya yang saya baca dalam Malaysiakini sebelah pagi itu ada lagi sambungannya pada sebelah petang. Apa yang sebenarnya beliau katakan ialah:

"Kalau kita di peringkat pengubalan dasar, (maka) bolehlah kita debat, tak ada masalah. Tetapi kita sedang dalam peringkat hendak mengubahsuai dasar sedia ada dan memikirkan kaedah yang baru. Jadi, di peringkat yang kita berada hari ini, (maka) nak debat apa lagi. Lebih baik mereka (Pemuda PAS) berikan cadangan dan pandangan".

Saya tidak fikir di peringkat sekarang tidak boleh diadakan debat. Memang benar PPSMI telah dilaksanakan selama 7 tahun. Memang benar anak-anak kita yang sejak tahun pertama sekolah rendah mendapat didikan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris akan terkeliru apabila ia kembali diajar dalam Bahasa Melayu. Memang benar anak-anak kita yang telah hafal semua formula, istilah dan simbol-simbol matematik dan sains dalam bahasa Inggeris itu mengadu: kalau dikembalikan semula dua mata pelajaran ini ke dalam Bahasa Melayu maka dia terpaksa belajar apa yang tidak pernah dipelajarinya dulu. Itu memang benar, kerana itulah juga yang dirasai oleh anak-anak kita ketika peralihan pembelajaran dua subjek ini dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris 7 tahun dahulu.

Soalnya kini PPSMI itu bukan mengenai masa depan anak-anak kita sahaja. Ia mengenai masa depan generasi akan datang, ia mengenai masa depan negara, ia mengenai jatidiri bangsa Malaysia. Apakah kerana kita telah rugi 7 tahun, maka kita mahu menyatakan biar kita rugi selama 70 tahun lagi, 100 tahun lagi? Bagi saya, tidak! Biar kita rugi 7 tahun, jangan rugi 70 tahun, jangan kita rugi 100 tahun!

Oleh itu biarpun PPSMI telah dilaksanakan selama 7 tahun, tidak rugi mengadakan debat ini bagi mencari penyelesaian dan merungkai isu yang telah membelenggu kita sekian lama itu. Masih ingat lagi debat kenaikan harga minyak antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Shabery Chik dulu, bukankah ia juga diadakan selepas harga minyak dinaikkan? Tapi debat diteruskan juga dan kita semua telah menyaksikan hujah siapa yang lebih meyakinkan. Dan sekarang harga minyak telah diturunkan, walaupun dulu ada yang berkata jika minyak turun negara akan muflis.

Kini apabila Hishammuddin berkata debat tidak perlu diadakan ia hanya akan menambahkan keyakinan kita bahawa Hishammuddin takut berhadapan dengan fakta sebenar mengenai PPSMI. Atau mungkin juga Hishammuddin tiada keyakinan diri untuk mmpertahankan dasar PPSMI yang diyakininya kerana dia memang seorang yang pengecut?

Pada tahun 1999 dahulu Hishammuddin gagal hadir dalam perdebatan dengan Mahfuz mengenai isu semasa negara. Ketika itu ramai yang menuduhnya penakut dan makhluk separuh lelaki separuh wanita. Kelmarin ketika menulis dalam blog ini saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana saya menjangka selepas 10 tahun imej buruk sebagai lelaki penakut itu telah berjaya dikikisnya. Namun maafkan saya kerana tersalah tanggap. Maafkan saya kerana menganggap Hishammuddin itu lelaki tulen, maafkan saya!!

Jika Hishammuddin hendak bersilat selepas ini, kita tahu debat bukanlah medan untuknya. Debat hanyalah untuk orang jantan. Orang yang tak jantan cuma layak bersilat dengan OKU seperti yang Pemuda UMNO lakukan di Parlimen kelmarin!!!

Oleh: pendikar gunung kriang

Apabila Geng Mafia Menyerang OKU Tua Di Parlimen ~ Malaysiakini


Petang kelmarin saya terbaca berita di Malaysiakini mengenai kisah kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno dipercayai dari Selangor tiba-tiba menyerang Parlimen. Sasaran mereka ialah seorang Ahli Parlimen bernama Karpal Singh yang bertaraf OKU itu. Bila gambar serangan kumpulan itu tersiar di TV malam tadi jelas kelihatan wajah-wajah bengis penyerang ketika berhadapan dengan orang tua OKU itu. Selain dari penyerang, kelihatan beberapa orang yang cuba melindungi Karpal. Suasana sungguh kecoh yang pasti menarik perhatian wartawan, termasuk wartawan asing. Bagus juga, sekali lagi nama Malaysia harum di luar negara hasil kerja Karpal dan kumpulan penyerang dari UMNO itu.

Syukurlah tiada yang mati atau tercedera dalam kekecohan itu. Ahli Parlmen DAP, Lim Lip Eng walau bagaimanapun mendakwa beliau dipukul beberapa kali di muka dan bahagian badannya. Kena sikit saja tu, orang lain pernah kena lebih teruk dengan kumpulan tu!

Tentu ada yang berpendapat Karpal memang patut diserang kerana keceluparannya. Jika di kampung memang mulut celupar Karpal sudah lama dicili apikan. Cuma jika di kampung, kalau nak serang mereka tengok-tengok orang juga. Orang OKU macam Karpal tentu mereka tak tergamak nak serang. Serang OKU nampak macam Israel menyerang Hamas yang kekurangan senjata, tentu menjatuhkan maruah penyerang saja.

Nampak sangat Karpal yang celupar itu memang tersalah jolok sarang tebuan kali ini. Dulu apabila dia berkata langkah mayatnya dahulu jika hendak laksanakan undang-undang Islam, ia tidak menimbulkan kemarahan Pemuda UMNO, kerana mereka juga seperti Karpal tidak menyokong pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Justru bila Karpal menghina agama Islam, Pemuda UMNO tidak tersingung, mereka tidak pun menyerang balas Karpal. Yang mereka tersinggung ialah apabila parti mereka dihina. Bagi mereka parti lebih penting dari segala-galanya, termasuk agama.

Bagi saya apa yang berlaku di Parlimen itu hanya insiden kecil saja. Saya pernah melihat dengan mata kepala sendiri kejadian yang lebih dahsyat dari itu. Salah satunya ialah ketika pilihan raya kecil Indera Kayangan pada tahun 2002. Di suatu malam saya yang ketika itu bertugas di Perlis melihat kumpulan dari parti Melayu yang sama menyerang dengan begitu ganas kenderaan milik seorang aktivis PKR. Saya melihat sendiri darah yang terpancut keluar dari mangsa yang tidak dapat mempertahankan diri, kerana jumlah penyerang terlalu ramai. Mereka bukan sahaja memukul mangsa tetapi juga memecahkan kenderaan yang dinaiki mangsa. Dan kejadian di depan mata saya itu bukannya satu serangan yang terpencil di Indera Kayangan kerana puluhan lagi insiden keganasan yang sama dilakukan oleh kumpulan pengganas yang bertindak seperti mafia itu. Tidak hairanlah selepas pilihanraya selesai, terdapat 43 aduan polis daripada PKR dan PAS terhadap keganasan yang dilakukan oleh kumpulan mafia Melayu itu.

Dan apabila saya menonton siaran TV mengenai kejadian itu tadi saya teringatkan insiden di Indera Kayangan. Memandangkan kumpulan yang menyerang itu tidak memecahkan kepala Karpal Singh, seperti yang pernah saya saksikan ada kepala yang pecah di Indera Kayangan, saya menganggap kejadian itu seperti tidak ada apa-apa. Cuma yang dikesalkan kekecohan itu berlaku dalam Parlimen, institusi yang sangat dimuliakan dalam negara demokrasi. Tentang pukul memukul dan serang menyerang, ah...itu biasalah bagi kumpulan penyerang itu. Biasalah sekali sekala bila terdesak mereka akan tukarkan singkatan "M" untuk Malays dalam nama UMNO itu kepada Mafia. Biasalah.

Cuma saya tidak pasti sama ada mafia di Italy itu, sanggup serang OKU tua atau tidak? Jika sanggup, nampaknya mafia di Italy pun sudah setaraf dengan mafia tempatan Malaysia.

Oleh: pendikar gunung kriang

Thursday, February 26, 2009

Kelmarin Satu Lagi Rekod Negara Yang Paling Lucu Di Dunia Tercipta Di Malaysia


Malaysia memang negara yang banyak mencipta rekod dunia. Semuanya menyentuh mengenai rekod-rekod keganjilan, keanehan dan kelucuan pemimpin-pemimpinnya. Dulu pernah ada rekod Menteri Besar melarikan anak Raja di Selangor. Ada juga rekod perogol bersiri bergelar Ketua Menteri memperkosa seorang kanak-kanak perempuan 14 tahun di Melaka. Anehnya Ketua Menteri itu dilepaskan, tetapi pembela kepada si-gadis Melayu yang merupakan seorang wakil rakyat Cina dipenjarakan 18 bulan atas tuduhan mempertahankan kehormatan seorang gadis Melayu.

Lepas itu ada pula rekod Ketua Polis Negara (KPN) memukul mantan Timbalan Perdana Menteri hingga lebam. Sebagai hukuman Ketua Polis Negara itu dihukum 2 minggu penjara, manakala mangsanya pula dihukum lebih berat iaitu penjara 9 tahun atas tuduhan membiarkan dirinya dipukul teruk oleh KPN dalam keadaan tangan bergari. Selain itu ada juga rekod seorang Menteri Besar yang membawa wang tunai $Aust 2.4 juta ke Brisbane dan dalam perbicaraan Menteri Besar itu berkata dia tidak memahami Bahasa Inggeris dan hanya mampu bercakap, "Me No Speak English".

Satu lagi rekod dunia ialah mengenai pembunuhan seorang model Monggolia dengan menggunakan bahan peledak C4. C4 ialah peledak untuk meruntuhkan bangunan konkrit. Tapi di Malaysia yang suka mencipta sejarah ini ia digunakan untuk menghancurkan manusia dan memusnahkan bukti. Mengikut yang empunya cerita si-pembunuh menyangka model itu bangunan konkrit dan terus mengebomnya hingga semua daging dan tulangnya berkecai menjadi debu. Motif pembunuhan tidak ada, kerana motif bukan perkara penting dalam undang-undang Malaysia. Kononnya ia cuma kesilapan memilih sasaran - antara bangunan tinggi dan gadis tinggi lampai.

Banyak lagi rekod dunia yang dicipta oleh ahli-ahli politik kita. Banyak lagi. Yang terbaru ialah rekod tentang sebuah negeri di utara Malaysia yang mempunyai dua orang Menteri Besar.

Dan kelmarin satu lagi rekod dipecahkan di Malaysia. Tapi rekod ini bukan peringkat dunia, cuma peringkat Komanwel. Ia mengenai SPRM yang menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak apabila Speakernya dipanggil memberi keterangan. Belum pernah berlaku di mana-mana institusi penggubalan undang-undang di mana-mana negara Komanwel, Speakernya disiasat kerana melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya. Penghinaan terhadap badan penggubal undang-undang sebegini belum pernah terjadi di mana-mana negara Komanwel yang sangat menghormati undang-undang, tapi sejarah telah tercipta di negara ini apabila badan penggubal undang-undangnya sendiri dihina oleh SPRM. Ia bertentangan dengan Enakmen Sidang Dewan Undangan Negeri (Hak-Hak Istimewa) 1959 yang dibaca bersama Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan secara jelas bahawa apa-apa keputusan oleh badan itu dilindungi secara mutlak serta kebal daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah. Tetapi Malaysia memutuskan untuk tidak menghormati undang-undangnya sendiri.

Mengapa banyak sangat rekod tercipta di Malaysia? Jawapannya mudah: kita ingin menjadikan Malaysia negara paling lucu di dunia!

Oleh: pendikar gunung kriang

Akhirnya Hishamudin Hussein Mahu Jadi Lelaki ~ Ruj Malaysiakini

Selama ini lenggok suara Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammudin Hussein memang kelihatan agak lembut. Walaupun cuba bercakap dengan gaya garang di hadapan khalayak, tetapi dia tidak dapat menyembunyikan suaranya yang seiras dengan Jaafar Onn dan Chef Wan itu. Walaupun mencium keris tetapi gaya romantis ciumannya lebih lembut dari Datuk Azalina yang nampak perkasa seperti tomboy. Sebab itulah semasa Azalina memimpin Puteri dulu ada orang berkata imej jantan yang ada padanya sesuai untuk memimpin Pemuda UMNO, manakala Hishamuddin pula sepatutnya memimpin Puteri.

Apabila Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub mencabar Ketua Pemuda UMNO itu untuk berdebat mengenai isu pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), ramai menjangka Hishamudin tidak akan berani menyahut cabaran itu. Tanggapan bahawa Hishamuddin tidak berani ini dibuat kerana percaya hanya mereka yang jantan sahaja sanggup berdebat dengan seorang jantan. Tetapi kerana Hishamuddin tidak begitu nampak seperti jantan, dia dianggap tidak akan berani menyahut cabaran itu.

Anggapan Hishamudin tidak berani itu mungkin juga dipengaruhi oleh kenangan silam di era reformasi dulu. Ketika laungan reformasi menghangatkan iklim politik Malaysia, Ketua Pemuda PAS ketika itu, Mahfuz Omar telah mencabar Hishamudin berdebat mengenai isu semasa negara. Dan akhirnya majlis debat itu berjaya diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada pertengahan tahun 1999. Mahfuz hadir dalam majlis itu,malangnya Hishamudin gagal hadir. Ketidak hadirannya dalam majlis yang dianggap penting itu mengundang persepsi bahawa dia tidak berani, pengecut dan sebagainya.
Mahfuz yang masih tidak berpuashati terus mencabar Hishamudin untuk berdebat dalam forum lain yang dipilih sendiri Hishamudin. Hishamudin menyambut cabaran itu dan mencadangkan mereka berdebat di CNBC, sebuah stesen TV milik Amerika. Mahfuz menganggap ajakan Hishamudin untuk berdebat dalam TV milik asing itu sebagai idea mengarut Hishamudin untuk mengelak dari berhadapan dengannya. Mengapa memilih stesen TV asing yang rakyat Malaysia tidak berpeluang menontonnya? Beliau sebaliknya mencadangkan debat itu diadakan di mana-mana stesen TV tempatan, bukannya TV Amerika. Akhirnya cabaran Mahfuz gagal disambut Hishamudin. Idea debat dua sayap Pemuda itu diam begitu sahaja.

Keengganan Hishamudin berdepan dengan Mahfuz ketika itu memburukkan imej Hishamudin. Hishamudin dianggap ramai orang sebagai penakut. Saya teringat dengan beberapa karikatur mengenai Hishamudin yang tersiar di dalam beberapa akhbar pembangkang yang menggambarkan Hishamudin dengan wajah separuh lelaki dan separuh wanita dan beberapa imej maknyah termasuk jeritan "auuuuu" di bibirnya dan tidak berbulu kaki. Begitu teruk penghinan kepada Ketua Pemuda yang berwajah lembut ini ketika itu.

Tapi hari ini Hishamudin cuba membuktikan dia bukan pengecut lagi, dia bukan lelaki lembut sebagaimana anggapan ramai. Kini dia bersedia menghunus keris untuk bertarung dengan Salahudin Ayub. Hishamudin mengumumkan dia sedia berdebat dengan Salahudin bagi membincangkan isu PPSMI. "Kalau dari penggubalan dasar, kita boleh berdebat, tidak ada masalah," kata Hishamudin selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pemuda dan Keganasan di ibu negara pagi ini.

Tahniah Hishamudin. Anda telah membuktikan kejantanan anda apabila berani menyahut cabaran Pemuda PAS. Cuma selepas ini janganlah timbul pula cerita-cerita lain bagi menggagalkan debat itu. Jika gagal debat ini, khuatir ada yang akan berkata ia sengaja dilakukan bagi menggagalkan pertemuan dua tokoh yang bakal mengakhiri kepimpinan dalam sayap pemuda kedua-dua parti itu. Dan jika itu yang berlaku sekali lagi Hishamudin akan dikatakan lelaki lembut yang pengecut!

Oleh: pendikar gunung kriang

Wednesday, February 25, 2009

Sungguh Tidak Adil, Sogokan Untuk ADUN PR Kedah Cuma RM5 Juta, Tapi ADUN Perak Dapat RM20 Juta ~ Ruj Malaysiakini


Dua ADUN Pakatan Rakyat (PR) dari Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa mereka ditawar sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN). Mereka yang membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh ialah ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh daripada DAP dan ADUN Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bercakap kepada pemberita di luar pejabat itu, Keshvinder berkata beliau menerima pelbagai tawaran daripada beberapa ejen mendakwa mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seorang daripada ejen itu ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Cina tempatan.


Adun Malim Mawar itu berkata antara tawaran yang diterima ialah imbuhan RM20 juta jika beliau keluar daripada DAP dan mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas dan menyokong BN seperti yang dilakukan tiga ADUN PKR sebelum ini.

Saya tidak terkejut dengan berita itu kerana sejak mantan Menteri Besar Perak Tajol Rosli mengumumkan akan menggulingkan Kerajaan PR sebelum 31 Ogos tahun lepas, dalam benak saya sudah yakin pasti BN akan cuba menyogok ADUN PR untuk melompat parti. Apabila Ketua PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda membuat Surat Akuan Bersumpah bahawa Najib pernah menawarkannya RM50 juta untuk mendapatkan ADUN Behrang dan Changkat Jering, saya juga tidak terlalu terkejut. Apa nak terkejut, dalam politik mana ada perkataan mustahil. Sogokan adalah satu pelaburan jangka panjang dan oleh itu persetankan nilainya, berapa juta sekalipun bisa diperolehi.

Bukan di Perak saja ada sogokan. Di Kedah, mantan ADUN Bukit Selambau dan ADUN Kulim juga melaporkan mereka cuba disogok sebanyak RM5 juta seorang.


Jika ada yang hendak buat laporan kepada SPRM mengenai tuduhan sogokan seperti yang didakwa oleh ADUN Malim Nawar dan Kuala Kurau itu, silakan. Saya tidak berminat untuk buat aduan. Yang saya berminat sekarang cuma untuk menuntut keadilan! Ini kerana saya sangat tidak berpuashati mengapa untuk ADUN Behrang, Changkat Jering, Malim Nawar dan Kuala Kurau di Perak Najib menawarkan sogokan dari RM20 ke RM25 juta? Tapi bila ia melibatkan sogokan untuk ADUN Bukit Selambau dan Kulim di Kedah, sogokan yang ditawarkan cuma RM5 juta sahaja. Mengapa untuk ADUN Perak Najib mampu sogok hingga RM20 juta seorang, tetapi bagi ADUN Kedah hanya RM5 juta sahaja? Lekeh sangatkah Kedah ini hingga nilai ADUNnya cuma seperempat sahaja dari nilai ADUN Perak?

Saya sungguh marah sekarang ini kerana saya kini menetap di Kedah dan memahami perasaan orang Kedah. Najib perlu tahu bahawa Kedah adalah negeri Jelapang Padi yang menghasilkan makanan ruji kepada rakyat Malaysia. Oleh itu Najib perlu adil dalam pengagihan wang sogokan. Jika nilai sogokan untuk ADUN Perak ialah RM20 juta, sepatutnya nilai yang sama diberi kepada wakil rakyat Kedah yang ingin berpaling tadah. Biar sama-sama dapat RM20 juta seorang baru adil!

Saya kini rasa sangat tidak berpuashati kerana ketidak adilan dalam nilai sogokan itu. Tetapi kepada siapa saya ingin mengadu? Mungkin saya perlu buat surat ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri meminta nilai sogokan untuk wakil rakyat Kedah dinaikkan sama dengan Perak. Saya juga akan tulis dalam surat itu mengesyorkan supaya nilai sogokan yang disama ratakan itu dimasukkan dalam teks ucapan bajet mini yang bakal dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Selagi nilai sogokan kepada wakil rakyat Kedah masih RM5 juta dan tidak dinaikkan ke angka RM20 juta saya akan selalu tidak berpuashati dan benak saya akan terus menjerit: ITU TIDAK ADIL!!

Oleh: pendikar gunung kriang

Untuk Menjadi Raja Yang Berkecuali Hanya Perlu Ada Hati Nurani ~ Ruj Malaysiakini


Laporan Malaysiakini menyatakan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang gambar bogelnya disebarkan kepada umum baru-baru ini.Baginda mengambil keputusan itu memandangkan isu Elizabeth masih dalam siasatan polis dan sebagai Sultan Selangor, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik. Pendirian Sultan Selangor itu dinyatakan kepada Khalid semasa beliau menghadap baginda hari ini untuk mendapat nasihat mengenai kedudukan Elizabeth yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan ekoran kontroversi tersebut.


Kita rakyat marhaen menyokong penuh pendirian berkecuali Sultan Selangor. Seorang Raja yang berdaulat di hati rakyat tidak boleh menampakkan dirinya cenderung atau menyebelahi mana-mana parti politik. Baginda perlu kelihatan adil kepada semua pihak, semua rakyat di bawah naungan baginda. Seorang Raja yang mahu kelihatan bijak di mata rakyat tidak boleh melakukan sesuatu yang menjejaskan kestabilan politik negeri yang dinaunginya. Dan itulah yang baginda Sultan Selangor lakukan - berkecuali, adil dan bijak dalam menangani masalah rakyat.

Untuk memahami asas undang-undang, seseorang Raja tidak perlu ada ijazah undang-undang dari Lincoln Inn. Untuk menjadi seorang Raja yang berkecuali baginda tidak perlu punya pengalaman berpuluh tahun dalam bidang guaman. Untuk menjadi seorang Raja yang bijak baginda tidak perlu hidup dalam timbunan buku undang-undang.

Untuk menjadi seorang Raja yang berkecuali, adil dan bijak, baginda cuma perlu memiliki hati nurani, perlu selalu mendampingi rakyat dan memahami perasaan serta keluh kesah mereka.

Oleh: pendikar gunung kriang

Alahai Mat Taib...Kalau Dah Lupa Tu, Pergilah Periksa Kesihatan Mental Di Unit Psikitrik!


Ketua Penerangan UMNO, Muhammad Muhd. Taib menyatakan apa yang berlaku di Perak kini adalah agenda Pakatan Rakyat (PR) bagi memastikan situasi politik Perak terus huru-hara dan memaksa Sultan Perak tunduk kepada tekanan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau seterusnya menyatakan tindakan PR di Perak adalah untuk menganggu pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Zambry Abd. Kadir dan membuktikan PR sedang merancang penderhakaan bersiri terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Saya tidak dapat menahan ketawa mendengar lawak tidak berakal Mat Taib itu. Soalnya siapa yang mula menghuru harakan dan mengganggu keharmonian politik Perak? Siapa yang telah merancang sejak tahun lepas untuk menjatuhkan kerajaan PR di Perak (ingat kenyataan Tajol Rosli bahawa kerajaan PR Perak akan digulingkan BN sebelum 31 Ogos 2008). Siapa yang mencolek ADUN Behrang dan Changkat Jering bagi memulakan episod rampasan kuasa di Perak?

Dan mengenai penderhakaan bersiri, siapa Ghazali Jawi yang melakukan penderhakaan sejak tahun 1974, siapa Dr Mahathir Mohammad dan kabinet yang meluluskan pindaan perlembagaan yang menghakis kuasa Raja-Raja pada 1983 dan 1993, siapa Mat Taib yang melarikan puteri Sultan Selangor pada 1986 dan siapa Shahidan Kassim dan Idris Jusoh yang melakukan penderhakaan pada 2008. Jika Mat Taib sudah lupa, biarlah kita beritahu Mat Taib: semua penderhaka bersiri itu (termasuk orang yang bernama Muhammad Muhd Taib) adalah pemimpin UMNO.

Tapi jika Mat Taib sudah lupa mengenai penderhakaan bersiri itu (termasuk yang membabitkan orang yang bernama Muhammad Muhd Taib), eloklah beliau pergi ke unit psikitrik mana-mana hospital terdekat bagi memeriksa tahap kewarasan mentalnya. Maklumlah zaman ini ramai manusia yang hilang ingatan dek tekanan hidup yang semakin dahsyat, termasuk orang politik.Jika Mat Taib salah seorang darinya, pihak hospital mempunyai pakar yang mencukupi bagi merawat tahap kesihatan mental beliau. Sekurang-kurangnya selepas mendapat rawatan beliau dapat mengingati nama sendiri, dapat mengingati apa yang pernah dilakukannya terhadap puteri Sultan dan apa yang pernah dilakukannya di Lapangan Terbang Brisbane kira-kira dua dekad yang lalu itu.

Oleh: pendikar gunung kriang

Tuesday, February 24, 2009

Rupanya Dia Spesis Katak Berlidah Biawak ~ Ruj Malaysiakini


Utusan Online melaporkan pagi tadi bahawa pihaknya telah menerima SMS dari Ibrahim Ali berbunyi: "Terima kasih sajalah, saya tak minat pun nak masuk mana-mana parti buat masa sekarang."

Itu apa yang Ibrahim katakan malam tadi kepada Utusan. Petang ini, tiba-tiba Ibrahim yang terkenal suka lompat parti itu berkata lain pula. Berita Harian Online melaporkan Ibrahim sebagai berkata beliau akan mempertimbang pelawaan menyertai semula Umno selepas mengambil kira pandangan pengundi di kawasannya.

"Saya amat menghargai pelawaan daripada Umno namun pada masa ini, saya sedang memikirkan banyak perkara termasuk mendapatkan maklum balas daripada penyokong.

Kalau nak terima saya, terimalah kelantangan saya selagi saya tidak melanggar disiplin tetapi kalau saya ada kes rasuah atau menjejaskan parti, silalah buang saya secepat mungkin tetapi jangan buang saya hanya kerana kelantangan saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen petang tadi.

Aiik.....belum pun genap 24 jam sudah berubah pandangan? Dulu Ibrahim ini terkenal dengan gelaran Raja Katak kerana suka melompat dari satu parti ke parti lain. Hari ini pula dia bercakap melompat-lompat, malam tadi kata tidak berminat dengan mana-mana parti tetapi hari ini pula kata dia sedia menimbangkan untuk menyertai UMNO.

Yang saya tahu katak hanya suka melompat, tetapi tidaklah pula tahu lidah katak pun boleh melompat-lompat juga, semalam kata lain hari ini kata lain. Atau ada spesis katak yang berlidah biawakkah di dunia fana ini?


Oleh:
pendikar gunung kriang

Akhirnya SPRM Yang Tidak Berjalan Lancar Telah Dilancar ~ Ruj Malaysiakini


Pagi tadi Perdana Menteri saya yang bernama Pak Lah itu melancarkan secara rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu majlis di PWTC. Seperti biasa ucapan Pak Lah menyentuh mengenai tindakan-tindakan pencegahan rasuah oleh SPRM sejak namanya dikenali sebagai BPR lagi.
Seperti biasa BPR dan SPRM dipuji setinggi langit. Biasalah, kan?

SPRM baru sahaja ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari lepas bagi menggantikan BPR. Maknanya usianya baru 2 bulan. Sepatutnya dalam tempoh 2 bulan ini, SPRM cuba membuktikan ia berbeza dengan BPR yang selalu kelihatan berat sebelah dalam siasatannya itu. Namun ternyata harapan menggunung rakyat terhadap SPRM terlalu meleset.

Apa yang SPRM lakukan di Selangor dan Perak kini membuktikan betapa sukarnya untuk melihat SPRM kelihatan sebagai suruhanjaya yang benar-benar bebas. Bukan hendak membela Menteri Besar Selangor, bukan hendak membela Speaker DUN Perak, jika ada bukti yang kukuh mengenai salah laku mereka, SPRM boleh siasat, silakan. Yang menariknya ialah gelagat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan yang bercakap seolah-olah mewakili Peguam Negara. Beliau nampaknya terlebih proaktif. Tapi hendak tunjuk proaktif pun janganlah sampai melebihi bidangkuasa yang ada. Hendak tunjuk proaktif pun janganlah sampai buat kerja Jabatan Peguam Negara, biarlah Jabatan Peguam Negara buat kerja di bawah bidang kuasanya. Bukan apa, takut nanti ada orang kata SPRM mabuk kuasa pula, takut nanti ada orang kata SPRM hendak rampas kuasa Jabatan Peguam Negara pula. Cukuplah BN rampas kuasa PR di Perak, tidak perlulah Ketua Pesuruhjaya SPRM meniru gelagat BN pula.

Jika Ahmad Said hendak tunjuk proaktif sangat, siasatlah kes-kes tertunggak yang berlapuk dalam simpanan SPRM sejak zaman ia bernama BPR dulu lagi. Siasatlah Khir Toyo, siasatlah Pak Lah, siasatlah Najib yang kes salah laku mereka telah begitu lama dilaporkan kepada SPRM. Seperti kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Saharin sejak tahun 2000 sudah 87 laporan rasuah dibuat terhadap SPRM yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi BN, tetapi ke mana gerangan menghilangnya fail-fail siasatan tersebut yang sehingga kini tiada kabar beritanya?

Juga siasatlah kes pembelian kereta Volvo Kerajaan Negeri Sabah bagi menggantikan Perdana baru-baru ini. Kalau Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat SPRM boleh siasat, mengapa berat tangan sangat hendak buka fail salah laku Kerajaan Negeri di bawah BN?

Kita faham Ahmad Said sedang pening kepala selepas kisah anaknya yang buat onar di Australia itu pecah dalam internet. Kita faham Ahmad Said sedang menanggung aib yang sangat besar. Namun janganlah rasa aib itu menyebabkan dia bertindak seperti orang hilang pedoman. Janganlah berat sebelah. Tunjukkan bukti bahawa Datuk masih waras, bertindaklah secara adil kerana Allah sedang memerhatikan Datuk!

Apa pun, SPRM yang gagal berjalan lancar itu telah dilancar pagi tadi oleh Perdana Menteri saya.

Oleh: pendikar gunung kriang

Lembu Pun Dah Pandai Nak Tuntut Bela ~ Ruj: Malaysiakini


Kabarnya esok jam 2 petang, Angkatan Muda PKR (AMK) akan membawa semula laporan-laporan rasuah yang pernah dikemukakan kepada BPR dahulu untuk diserah semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam. Yang lucunya, Pemuda PKR akan berarak ke pejabat SPRM dengan diiringi lembu untuk menyerahkan dokumen berkenaan. Dokumen aduan dan bukti yang pernah dikemukakan kepada suruhanjaya akan dijilid dan diletakkan di atas belakang lembu itu untuk diarak dan diserahkan kepada SPRM.


Ditanya dari mana datangnya lembu itu, Shamsul Iskandar Md Akin berkata: "Ia dipercayai anak daripada salah seekor daripada 46 ekor lembu korban yang ingin menuntut bela."

Ketawa giler saya baca berita dari sumber Malaysiakini itu. Sekarang semua orang hendak menuntut bela. Rakyat Perak dan Bukit Gantang bersiap sedia untuk menuntut bela terhadap junta perampas kuasa dalam pilihanraya kecil nanti. Rakyat Selangor hendak menuntut bela dengan tindakan berat sebelah SPRM. Dan sekarang ada lembu pula hendak menuntut bela di atas tindakan SPRM terhadap ibu bapanya!!

Apapun, kita perlu rasional. Bawa anak lembu berarak ke Shah Alam tidak apa, asal jangan jadi macam anak Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Ahmad Said yang bawa pita lucah berarak hingga ke Australia!

Oleh: pendikar gunung kriang

Banyaknya RM18 Bilion...Tapi Depa Kata Ia Tak Ada Nilai Apa-Apa


Datuk Seri Najib Razak seperti yang dilaporkan Utusan Online berkata bahawa kemerosotan nilai portfolio Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebanyak 20.18 peratus atau RM18 bilion bukan satu kerugian sebenar. Timbalan Perdana Menteri berkata, ia sebenarnya kemerosotan nilai saham syarikat milik (GLC) yang tersenarai di bawah Khazanah secara keseluruhan berpunca daripada kemerosotan pasaran saham global. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, secara dasarnya, kedudukan kewangan GLC yang dikuasai Khazanah kekal kukuh dengan nilai aset boleh direalisasikan (RAV) berbanding liabiliti sebanyak 1.9 kali ganda.

Bagi mereka yang tidak terdidik dalam bidang ekonomi pasti sukar memahami maksud terma untung rugi yang dinyatakan oleh Najib dalam kenyataannya itu. Malah bagi kebanyakan rakyat biasa kenyataan itu jika dibaca boleh mengundang kekeliruan dan seperti kenyataan yang tidak membawa apa-apa erti. Ya, tidak membawa apa-apa erti kerana ramai yang tidak faham apa itu GLC, apa itu RAV dan apa itu liabiliti.

Mula-mula Najib bercakap mengenai kerugian Khazanah sekitar RM18 bilion (ooo...banyak tu!!), tetapi kemudian dia berkata itu bukan kerugian sebenar. Jika itu bukan kerugian sebenar, rakyat tersangat ingin tahu berapa nilai kerugian sebenar - RM17 bilion, RM16 bilion, RM15 bilion, atau berapa bilion? Jika ada yang tidak sebenar, pasti ada yang sebenar, jadi berapa yang sebenar itu?

Beliau seterusnya berkata kemerosotan nilai portfolio Khazanah itu berpunca dari kemerosotan nilai saham syarikat milik kerajaan (GLC) yang tersenarai di bawah Khazanah akibat daripada kemerosotan pasaran saham global. Namun katanya kedudukan kewangan GLC yang dikuasai Khazanah kekal kukuh dengan nilai aset boleh direalisasikan (RAV) berbanding liabiliti sebanyak 1.9 kali ganda. Ramai tentu tidak faham mengapa GLC yang rugi sebanyak RM18 bilion tetap ditakrifkan mempunyai kedudukan kewangan yang 'kekal kukuh'. Banyak sangatkah nilai aset GLC di bawah Khazanah hingga rugi RM18 bilion masih dianggap seperti tidak ada apa-apa?

Nilai RM18 bilion bagi kebanyakan kita yang bukan jutawan ini adalah satu angka yang sangat besar. Mana tidaknya, dengan RM18 bilion kerajaan boleh bina 50,000 unit rumah kos rendah bernilai RM35,000 seunit (harga rumah kos rendah ialah antara RM25,000-RM42,000 seunit). Dengan RM18 bilion kerajaan boleh bina 6,000 buah sekolah rendah bernilai RM3 juta setiap sekolah. Dengan RM 18 juta juga kerajaan mampu membina 1,800 klinik kesihatan kecil dengan nilai RM10 juta setiap satu atau 150 buah hospital yang bernilai RM120 juta setiap satu.

Betapa banyaknya RM18 bilion untuk kita rakyat marhaen ini. Tapi Timbalan Perdana Menteri kata RM18 bilion bukan satu kerugian sebenar, ia seperti tiada ada apa-apa. Memang benar RM18 bilion seperti tidak begitu bernilai bagi mereka yang sudah biasa dengan angka juta-juta itu. Tapi bagi majoriti rakyat yang hanya pernah melihat wang bernilai puluh dan ratus dan jarang-jarang memegang wang bernilai ribu, nilai RM18 bilion itu tersangatlah besar!

Oleh: pendikar gunung kriang

Monday, February 23, 2009

Delegasi Peguam Zambry Seharusnya Ke Bangkok, Bukannya London!

Kabar yang diperolehi dari star online melaporkan Menteri Besar kudeta Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 12 dan 18 bulan, mahu mendapatkan panduan Peguam Diraja British berhubung krisis perlembagaan Perak. Sehubungan itu, beberapa anggota pasukan peguam mereka dijadual berlepas ke London hari ini. Turut bersama mereka ialah salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Menurut sumber itu, mereka akan mendapatkan pandangan kedua berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung mereka dan juga tindakan perundangan yang diambil oleh Menteri Besar dalam buangan Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Meneliti berita itu, di benak saya terfikir beberapa persoalan.

Soalan pertama ialah tentang kos pembiayaan. Apakah pemergian delegasi peguam itu ke London atas pembiayaan sendiri atau dibiayai oleh Kerajaan Negeri Perak? Jika barisan peguam itu ke London adalah untuk mempertahankan sebuah pulau di Perak yang terlibat dalam pertikaian hak milik dengan kuasa asing, ia memang wajar ditanggung oleh Kerajaan Negeri, kerana ia ada hubungan dengan maruah Perak. Atau jika delegasi untuk menarik pelabur ke Perak, ia wajar menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri. Namun jika mereka pergi hanya untuk mempertahankan jawatan yang disandang Zambry dan para EXCOnya yang kelihatan bersifat tuntutan peribadi itu, wajarkah ia ditanggung oleh Kerajaan Negeri?

Soalan kedua ialah tidakkah langkah Zambry ke London itu boleh menimbulkan tohmahan bahawa beliau dan kerajaan negeri yang dipimpinnya cuba bersekongkol dengan kuasa Barat seperti yang seringkali pemimpin BN katakan jika ia membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang berurusan dengan negara luar? Ini kerana sejak lebih 10 tahun lepas apa-apa saja yang berbentuk pertemuan atau kenyataaan yang membabitkan pemimpin PR dan pemimpin asing dikatakan sebagai usaha untuk bersekongkol atau menjadi dalang kepada kuasa asing. Apabila mantan Naib Presiden Amerika, AlGore mengkritik kerajaan Malaysia pada 1998, media kita dengan pantas menuduh pemimpin pembangkang adalah dalang Amerika. Apabila Vernor Munoz (US Special Repporteur On The Right To Education) pada Februari 2007 mengkritik sistem pendidikan Malaysia yang dituduh tidak berlaku adil kepada semua kaum, sekali lagi pemimpin pembangkang dipersalahkan. Begitu juga apabila Theiry Rommel (Ketua Delegasi EU) mengkritik DEB pada Jun 2007, ia dikatakan hasil kerja Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dan apabila pada Jun 2008, Tom Casey (Jurucakap Jabatan Negara Amerika) memohon kerajaan Malaysia menyiasat kes Anwar tanpa didorong oleh sentimen politik, sekali lagi PR khususnya Anwar Ibrahim dipersalahkan kerana menyebabkan kenyataan itu dikeluarkan. Kritik yang paling lazim digunakan terhadap Anwar dan pemimpin PR ialah mereka adalah dalang Barat dan bersekongkol dengan Zionis.

Dan sekarang apabila pasukan peguam Zambry ke London, ibu kota yang sering dirujuk ada hubungan dengan regim Zionis itu, adakah kita boleh menganggap pemimpin BN Perak bersekongkol dengan kuasa Barat dan Zionisme?

Dan yang ketiga ialah mengapa Zambry memilih London untuk meminta nasihat dan tidak ke kota lain yang lebih dekat? Bagi saya tempat yang paling sesuai untuk Zambry mendapatkan nasihat ialah Bangkok, bukannya London!

Mengapa Bangkok? Saya katakan Bangkok kerana Thailand mempunyai sejarah rampasan kuasa yang sangat hebat. Bayangkan sejak tahun 1932 hingga kini, 17 rampasan kuasa telah berlaku di negara gajah putih itu. Sepanjang tahun 1970an sahaja 5 rampasan kuasa telah berlangsung di Thailand, manakala sepanjang tahun 1980an dan sepanjang tahun 1990an masing-masing berlaku 2 rampasan kuasa bagi setiap dekad. Malah pada tahun 1976 dan 1977 berlaku 2 rampasan kuasa pada setiap tahun yang menceritakan betapa kayanya negara itu dengan sejarah rampasan kuasanya.

Memandangkan Zambry telah dilantik menjadi Menteri Besar hasil dari satu rampasan kuasa pada 6 Februari lepas, jadi tentu lebih sesuai untuk beliau menghantar delegasi ke Bangkok bagi mempelajari kehebatan dan pengalaman rampasan kuasa di Thailand dan bukannya ke London yang tiada pengalaman sedemikian.

Oleh: pendikar gunung kriang

Dahsyatnya Tahap Imaginasi Anak-Anak Kita!!


Pagi ini kita relax sekejap dari pembicaran mengenai politik yang seringkali sangat memualkan itu.

Malam tadi saya terbaca mengenai satu karangan pelajar UPSR di dalam blog Feisal Tehrani. Saya sependapat dengan Feisal,
karangan pelajar yang menduduki UPSR di dalam blognya itu sungguh mengejutkan. Tahap imaginasi mereka terlalu tinggi, malah mungkin menjangkau tahap pemikiran orang dewasa. Mengikut Feisal, beliau memperolehi karangan ini dari adiknya yang bertugas di Jabatan Nazir Sekolah. Mungkin ada yang pernah membacanya di dalam internet, namun bagi yang belum pernah membacanya anda tentu terfikir: jika beginilah tahap imaginasi dan pemikiran pelajar berusia 12 tahun, bayangkan kehidupan mereka ketika berusia 22 tahun, 32 tahun dan 42 tahun kelak.


Kemalangan Ngeri Yang Pernah Saya Alami

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu.

Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang.

Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung. Dia menjerit "Adoi!". Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua.

Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati. Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara. Emak saya tidak puas hati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu.

Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit "Apaan Lu!" dan jatuh ke bumi. Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris.

"You better watcha up. Ten times more plus ten times, twentytimes i beat you always."

Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat lapuran ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati. Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara, "Semua butuh minggir". Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.

Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Magic sungguh. Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati.

Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.
Dinilai 4.8 oleh 10 orang [?]

-pendikar gunung kriang

Sunday, February 22, 2009

Masih Relevankah Ibrahim Ali - Merdeka Center, Jom Buat Kajian!


Memang betul apa yang Ibrahim Ali kata: meletak jawatan bukan kaedah terbaik bagi mengukur popularitinya. Ini kerana mengikut undang-undang, kalau Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, beliau tidak boleh bertanding untuk tempoh lima tahun hingga pilihan raya umum ke-13 selesai.

"Jadi macam mana saya nak uji kekuatan pengaruh politik saya?", soal Ibrahim.

Ibrahim berkata beliau akan hanya meletakkan jawatan jika mendapat desakan daripada pengundi-pengundi bahagian Pasir Mas. Dalam pilihanraya umum yang lalu, Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS menang besar menewaskan calon BN dengan majoriti 8,991. Ketika bertanding dalam pilihanraya umum ke-11, beliau tewas kepada calon PAS, Ismail Noh. Dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 beliau hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat 415 undi sahaja, tewas kepada calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

Semua orang tahu Ibrahim menang besar dalam pilihanraya umum yang lalu adalah kerana dia bertanding atas tiket PAS, jika bertanding atas tiket bebas dia pasti bungkus dan mungkin hilang wang pertaruhan lagi. Yang seronoknya ialah Ibrahim masih yakin dia mendapat sokongan pengundi Pasir Mas, sebab itulah dia kata hanya akan meletak jawatan jika ada desakan daripada pengundi-pengundi Pasir Mas. Soalnya masihkah ada cara Ibrahim menguji popularitinya, selain dari kaedah menyertai pilihanraya baru?


Saya kira, salah satu cara untuk beliau menguji tahap popularitinya di kalangan pengundi ialah dengan mengadakan kajian pendapat umum di kawasan Parlimen Pasir Mas. Kita mempunyai banyak institusi pengajian tinggi yang berpengalaman dalam menguruskan kajian pendapat umum. Jika tidak mahu gunakan institusi pengajian tinggi, boleh gunakan Merdeka Centre untuk maksud itu.


Jika kajian pendapat umum kelak mendapati majoriti pengundi masih di belakangnya seperti yang disangka Ibrahim, Ibrahim boleh berbangga kerana jangkaannya tepat. Tapi jika kajian mendapati sebaliknya (seperti yang kebanyakan pemerhati politik jangka) eloklah Ibrahim meletak jawatan saja demi maruah politik beliau.

Oleh: pendikar gunung kriang

Kes Porno Anak Ketua SPRM: Jom Kita Buat Laporan Polis dan Laporan SPRM!!


Ini zaman orang gila buat laporan polis. Ini zaman orang gila buat laporan kepada SPRM. Sikit-sikit saman, sikit-sikit saman.

Sekarang saya rasa macam hendak buat saman malu terhadap anak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) yang bernama AHMAD SHAUQI BIN AHMAD SAID HAMDAN yang telah memalukan nama Malaysia di luar negara. Ahmad Shauqi yang bekerja sebagai seorang Juruterbang MAS telah ditangkap dan didenda oleh mahkamah Australia kerana kesalahan membawa masuk bahan lucah kanak-kanak bawah umur (child ponography) ke negara itu. Sungguh memalukan kerana ia dilakukan oleh anak seorang VVIP Malaysia yang begitu terkenal dan berkuasa!

Mengikut berita yang dipetik oleh KedahLanie dari Greenboc Ahmad Shauqi bin Ahmad Said, 25 tahun, kelihatan digari di Mahkamah Majistret Adelaide kerana dituduh mengimpot bahan yang dilarang ke negara itu. Pegawai kastam Australia menahan Shauqi di Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide semalam, selepas pihak berkuasa kastam menemui 3 fail video mengandungi bahan lucah kanak-kanak bawah umur. Video-video itu bertajuk "Reped (sic) Virgin', "10-Year Old" dan "High School Students."

"Bahan-bahan itu menjijikkan dan sangat tidak boleh diterima - sesiapa yang baik akan menerima kesan buruknya," kata Majistret Simon Smart.

Mr Smart berkata terdapat satu adegan rogol yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun yang dipaksa untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki yang lebih tua usianya dalam salah satu video tersebut.

Sementara itu, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) telah menggantung Ahmad Shauqi yang nombor kakitangannya ialah 1086993 daripada melakukan penerbangan bagi membolehkan satu siasatan dalaman diambil oleh syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Bagi sesetengah pihak mereka melihat apa yang menimpa Ahmad Said adalah seperti 'balasan tunai' daripada Allah terhadap keceluparan melampaui batas beliau akhir-akhir ini yang seperti bertindak melebihi kuasa yang ada di tangannya. Selain dari itu beliau dilihat bertindak berat sebelah dengan memejam mata terhadap kes-kes rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin BN, sebaliknya hanya memberi tumpuan terhadap kes yang membabitkan pemimpin-pemimpin PR. Kadang-kadang barangkali kita lupa, Allah tidak pernah tidur...

Yang menghairankan ialah berita penahanan anak Ahmad Said itu tidak tersiar di mana-mana akhbar arus perdana negara ini. Mengapa media arus perdana kita tidak perasan atau buat-buat tidak perasan dengan berita besar yang memalukan Malaysia itu? Bayangkan jika yang kena tahan itu ialah anak kepada salah seorang pemimpin PR, bayangkan, bayangkan.....

Apa yang dilakukan oleh anak Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sungguh memalukan Malaysia, sungguh memalukan! Dulu pada tahun 1986, mantan Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhd Taib pernah ditahan di Lapangan Terbang Brisbane kerana membawa wang tunai secara haram berjumlah 1.26 juta dollar Australia, kini selepas 23 tahun, sejarah memalukan Malaysia berulang lagi di negara yang sama. Sungguh memalukan!

Kerana ini adalah zaman saman menyaman dan zaman ramai orang gila buat laporan polis dan laporan SPRM, saya terfikir tidak ada siapa-siapakah yang bercadang hendak buat laporan polis dan laporan SPRM atas tindakan anak Ketua Pesuruhjaya SPRM yang memalukan dan menjatuhkan imej Malaysia itu? Jika tiada parti politik yang berminat membuat laporan kepada polis dan SPRM, apa kata kita rakyat yang prihatin dengan imej negara ini melakukannya?

Oleh: pendikar gunung kriang

Beranikah Pemuda UMNO Kedah Membuat Laporan Polis Terhadap Mahdzir Khalid?


Tindakan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak dan enam EXCOnya telah menerima reaksi yang sungguh hebat. Sehingga kini sudah lebih 10 laporan polis dibuat terhadap Sivakumar, sebahagian besar dari bahagian-bahagian UMNO dan NGO yang berpusat di Perak.


Namun antara adua-aduan polis yang telah dibuat mengenai perkara ini, saya tertarik dengan satu aduan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yang dibuat terhadap Sivakumar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuah, Langkawi. Saya bukan tertarik kerana aduan itu datang dari Kedah, tetapi kerana keikhlasan Pemuda UMNO Kedah untuk memperjuangkan isu yang berlaku di Perak itu. Namun bagi saya keikhlasan sahaja tidak membawa kita ke mana-mana tanpa disokong oleh sebuah keberanian. Dan saya percaya ketika membuat laporan polis itu, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah pasti pergi diiringi dengan sifat ikhlas dan berani itu.

Cuma ketika teringat tindakan Pemuda UMNO Kedah itu, saya juga teringatkan kisah mantan Menteri Besar mereka, Mahdzir Khalid yang telah dirakam percakapan cuba menyogok sejumlah wang kepada ADUN Kulim dari PKR untuk keluar dan menyertai BN. Jika perbuatan Sivakumar dianggap tidak mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara, maka perbuatan Mahdzir yang cuba menyogok itu juga pasti dilihat oleh Pemuda UMNO Kedah dari sudut yang sama. Oleh itu jika mereka dengan jujur serta berani ke IPD Langkawi untuk membuat laporan terhadap Sivakumar, saya rasa tidak salahnya Pemuda UMNO Kedah dengan kejujuran dan keberanian yang sama melaporkan juga kepada polis perihal apa yang telah dilakukan oleh Mahdzir itu. Walaupun jumlah wang yang dikatakan cuba disogok Mahdzir kepada ADUN Kulim itu tidak banyak - cuma RM5 juta sahaja - tetapi ia tetap sesuatu yang serius dan oleh itu aduan perlu dibuat oleh sebuah pertubuhan yang cuba memperlihatkan keberanian dan kejujurannya seperti Pemuda UMNO Kedah itu.

Cuma persoalannya bilakah Pemuda UMNO Kedah akan membuat laporan Polis terhadap Mahdzir dan beranikah mereka?

Oleh: pendikar gunung kriang

Saturday, February 21, 2009

Sabah Tukar Volvo: Media Kita Kena Sindrom Hilang Ingatan?


Saya bukanlah minat sangat dengan drama Melayu dan Indonesia yang disiarkan oleh RTM dan TV3. Tapi kadang-kadang apabila anak-anak dan isteri membuka TV, tidak dapat tidak, saya terpaksa juga menonton apa yang tersiar di hadapan mata. Kadang-kadang saya tidak melihat apa yang tersiar kerana sibuk dengan 'benda-benda' lain, tetapi telinga yang terbuka tetap mendengar bait-bait dialog di dalam siaran TV.


Salah satu dari segmen yang paling popular dalam drama Melayu dan Indonesia ialah kisah seorang watak tiba-tiba hilang ingatan. Selalunya ia terjadi kerana kemalangan. Hentakan yang kuat menyebabkan fungsi otak terganggu, justru watak berkenaan tidak dapat mengingati sesuatu peristiwa dalam hidupnya dalam jangka waktu tertentu, tetapi mengingati peristiwa-peristiwa lain dalam jangka waktu yang berbeza.

Kadang-kadang apabila melihat berita yang disiarkan oleh RTM, TV3, Berita Hairan dan Utusan Malaysia, saya melihat seolah-olah media kita telah terkena penyakit atau sindrom hilang ingatan yang sangat serius. Maksud saya, kedua-dua stesen TV dan akhbar-akhbar arus perdana kita itu mengingati sesuatu peristiwa untuk dilaporkan jika ia mengenai pihak yang ingin ditentangnya, tetapi untuk suatu peristiwa lain yang jalan ceritanya serupa tetapi membabitkan kerajaan, mereka tidak menyiarkannya, kerana seperti hilang ingatan terhadap peristiwa itu. Jika ia membabitkan kerajaan BN, media kita tiba-tiba hilang ingatan! Mungkin penyiar RTM dan TV3 hilang ingatan kerana telah terkena 'sumpahan' drama-drama Melayu dan Indonesia yang acapkali disiarkannya?

Kisah hilang ingatan RTM, TV3 dan akhbar-akhbar yang terbaru ialah mengenai pembelian kereta rasmi Toyota Camry oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Perak di bawah PR. Berminggu-minggu apa yang digelar 'penyalah gunaan kuasa' oleh kerajaan PR itu disiarkan di dalam media kita. Berminggu-minggu kerajaan negeri PR dikecam kerana melakukan tindakan yang 'salah' kerana menggantikan Proton Perdana V6 dengan Toyota Camry. Sedangkan sebelum itu apabila Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan Proton Perdana V6 dengan Mercedes E200, berita mengenainya tidaklah sekecoh itu. Selepas Perdana Menteri kata 'okey' dalam kes Terengganu, semua pihak turut kata 'okey' dan isu itu mati begitu sahaja dari layar TV dan akhbar. Tapi dalam kes Selangor dan Perak isu pembelian Camry terus dipermainkan selama berminggu-minggu, berbulan-bulan, kerana Perdana Menteri enggan kata 'okey'. Di Perak isu itu cuma terhenti apabila BN merampas kuasa di negeri itu pada 6 Februari lepas, jika tidak mungkin hingga hari ini masih ada pihak yang akan mempermainkannya tanpa jemu.

Minggu lepas sebuah kerajaan negeri lagi menggantikan Proton Perdana V6 dengan kenderaan lain. Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui BN didapati telah menukar kenderaan rasmi Proton Perdana kepada Volvo 2.5 cc. Ketua Menteri Sabah Dato' Seri Musa Haji Aman dikatakan telah menukar kereta rasmi Proton Perdana V6 ke Volvo 2.5 yang baru atas alasan kos senggaraan Proton Perdana yang tinggi. Yang agak pelik di Sabah ialah tiada pengedar dan pusat khidmat Volvo yang disahkan, sedangkan untuk Proton ianya ada di merata tempat. Tetapi Volvo juga yang dipilih. Dan ia bukan kes 'penyalahgunaan kuasa' seperti tuduhan terhadap langkah Kerajaan Negeri Selangor dan Perak dahulu.

Bayangkan jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menukar Proton Perdana ke Volvo, bayangkan. Agaknya jika kerajaan-kerajaan negeri tersebut menggunakan Volvo ia akan menjadi berita utama dan muka depan TV3, RTM, Utusan Malaysia, Berita Harian dan yang sewaktu dengannya dengan pelbagai ulasan negatif selama berminggu-minggu dan berbulan-bulan tanpa jemu. Namun dalam kes pembelian Volvo oleh Kerajaan Negeri Sabah ini, pihak TV dan akhbar tidak melaporkannya, jauh sekali mensensasikan isu tersebut berbanding isu penukaran kereta Kerajaan Negeri Selangor dan Perak sebelum ini.

Mengapa jika ia membabitkan kerajaan negeri Selangor dan Perak dulu pihak TV dan akhbar mensensasikannya, tetapi apabila ia melibatkan kerajaan negeri di bawah BN ia dilupakan? Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia berlaku mungkin kerana pihak media kita terkena sindrom hilang ingatan. Media berkenaan boleh mengingati sesuatu peristiwa yang membabitkan kerajaan negeri PR, tetapi melupakan peristiwa lain yang sama cerita dengannya yang dilakukan BN kerana sindrom hilang ingatan itu.

Memang kesian dengan nasib media kita yang terkena sindrom hilang ingatan itu. Jika ada pegawai perubatan yang terbaca blog ini, harap mereka dapat memaklumkan ubat yang sesuai bagi memulihkan kembali ingatan media kita ini. Tidak tahan melihat derita yang mereka tanggung akibat sindrom hilang ingatan itu.

Oleh: pendikar gunung kriang

SPRM Ada Bukti Rakaman Percakapan Lembu Dalam Kes MB Selangor?


Mengikuti berita TV3 jam 8.00 malam tadi tiba-tiba saya tersentak melihat wajah Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan yang nampak sangat tidak senang hati dengan kritik Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat kelmarin terhadap suruhanjaya tersebut. Beliau kelihatan tidak senang dengan kenyataan Anwar bahawa pegawai penyiasat SPRM yang menyiasat kes percubaan menyogok melibatkan mantan MB Kedah, Mahdzir Khalid telah ditukar ke tempat lain bagi menutup isu tesebut. Beliau kemudian dengan nada marah dengan pantas menafikan pegawai berkenaan telah ditukar.

Mengenai pita rakaman percakapan Mahdzir dengan wakil rakyat Kulim dari PKR yang cuba dipancing melompat parti , beliau menyatakan banyak perkara lain perlu dimbilkira sebelum pertuduhan dibuat terhadap Mahdzir. Beliau juga menyatakan pertemuan Mahdzir itu mungkin dirancang dan oleh itu perlu diteliti dari keseluruhan aspek.

Saya tidak faham benar dengan Ketua Suruhanjaya SPRM ini. Cakap berbelit macam ular sawa. Cara beliau bercakap dengan nada marah seperti memberi bayangan awal bahawa Mahdzir tidak akan didakwa. Walaupun pita rakaman sudah ada, beliau seperti menyatakan bukti yang ada itu tidak mencukupi. Entah apa lagi bagi mencukupkan bukti tidak tahulah. Jika percakapan mulut tidak boleh diterima, apa lagi yang boleh diterima sebagai bukti?

Dalam kes Tan Sri Khalid MB Selangor, senang pula dapat bukti. Jika pita rakaman percakapan manusia tidak dapat diterima dalam kes Mahdzir, adakah rakaman percakapan lembu yang telah menyebabkan kes Khalid senang dibuktikan oleh SPRM?

Entahlah, apabila ada pegawai kerajaan bercakap seperti Menteri, saya rasa begitu keliru. Cakap berbelit macam ular sawa, susah nak faham.

Oleh: pendikar gunung kriang

Friday, February 20, 2009

Mahdzir Khalid Sudah Mengaku, SPRM Tunggu Apa Lagi? ~ Ruj : Malaysiakini

Hari ini saya tertarik dengan berita dalam Malaysiakini yang berhubung kait satu sama lain. Semuanya mengenai kesungguhan SPRM untuk menyiasat kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah:

i) Berita I: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan didakwa berhubung tuduhan beliau telah menyalahguna kuasanya dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya. Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, terdapat bukti-bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut. Menurutnya, kertas siasatan sudah siap dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.


ii) Berita II: SPRM akan menyiasat dakwaan salah guna kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang DUN negeri itu. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata dakwaan kes salah guna kuasa terhadap Sivakumar itu akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009


iii) Berita III: Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak menafikan bertemu wakil rakyat PKR Kulim, Lim Soo Nee tetapi "tidak ingat pertemuan itu di mana." Pengerusi BN Kedah itu berkata, beliau juga bertemu dengan wakil-wakil rakyat PAS dan PKR "untuk minum kopi dan bersembang-sembang."

Kenyataan Mahdzir itu bagi menjawab tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasannya di Dewan Rakyat kelmarin yang mendakwa Mahadzir dirakam mengadakan pertemuan dengan Lim oleh SPRM. Pertemuan hujung tahun lepas di sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang didakwa sebahagian usaha memujuk dan menyogok wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) di Kedah agar melompat kepada BN dan menumbang kerajaan negeri tersebut.

Saya tertarik memuatkan ketiga-tiga berita ini kerana ternampak betapa SPRM kini begitu 'bersungguh-sungguh' untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kes-kes yang baru sahaja dilapor seperti kes Khalid dan Sivakumar, SPRM nampaknya begitu cepat bertindak bagi menyelesaikannya.

Cuma kadang-kadang saya masih tertanya-tanya bagaimana dengan kes-kes yang dilaporkan kepada SPRM (dulu BPR) dan sudah lama tertunggak itu? Misalnya kes rasuah Muhammad Muhd Taib, kes rasuah Khir Toyo, kes penyalahgunaan kuasa Najib dan Pak Lah dan banyak lagi kes-kes berkaitan orang-orang penting dalam UMNO dan BN, bagaimana perkembangannya? Adakah kes itu tidak dianggap penting lagi, sebab sebahagiannya sudah lama dan rakyat pun sudah hampir lupa?

Jika kes-kes itu sudah lama, SPRM bolehlah ambil kes baru pula. Antaranya kes Mahdzir Khalid yang mengaku telah bertemu dengan beberapa pemimpin PR dan disyaki cuba menyogok mereka untuk melompat parti. Lagi pun, rakaman perbualan di antara mantan MB itu dengan pemimpin PR yang cuba disogoknya sudah ada, jadi mudahlah untuk SPRM bekerja.

Harap SPRM yang nampak akhir-akhir ini begitu proaktif dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin-pemimpin PR akan bertindak dengan langkah yang sama bila ia membabitkan pemimpin-pemimpin BN. Selama ini rakyat nampak SPRM (dulu BPR) begitu lembab bila yang terlibat ialah pemimpin BN, tetapi cepat bertindak jika ia membabitkan pemimpin PR. Kini saatnya telah tiba untuk SPRM bagi membuktikan persepsi rakyat itu tidak benar.

Apa lagi SPRM, Mahdzir sudah mengaku, bertindaklah segera!

Oleh: pendikar gunung kriang

Jaga-Jaga Tuanku, Takut Keris Yang dihunus Itu Sekali Lagi Mengerat Lidah Tuanku!


Pada 6 Februari 2009, negara ini mencatatkan episod yang akan terus dikenang oleh generasi akan datang: rampasan kuasa dengan cara paling tidak bermoral. Bermula dengan ugutan, penculikan, m.c. yang diragui kesahihannya, keluar parti dan akhirnya majlis pengisytiharan rampasan kuasa junta baru BN di Perak.


Lepas itu bermulalah siri demonstrasi menyokong suara rakyat yang dipelopori PR, manakala satu pihak lagi mengadakan demonstrasi menyokong raja-raja yang dipelopori oleh UMNO. Jika demonstrasi menyokong suara rakyat melibatkan ketiga-tiga komponen PR, demonstrasi menyokong raja hampir tidak melibatkan parti-parti komponen BN yang lain. Dengan kata-kata lain UMNO bersendirian dalam isu itu, 13 parti komponen BN lain seperti tidak peduli. MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBS, Parti Pesaka Bumiputra dan lain-lain parti dalam komponen BN tidak pernah pun terdengar berdemonstrasi untuk isu derhaka. Mereka membiarkan UMNO menyalak seorang diri setiap hari. Kasihan UMNO, bersendirian dengan isu derhakanya seperti kisah si-luncai yang bersendirian dengan labu-labunya.

Dan malam tadi kononnya 3,000 pemuda BN mengadakan demonstrasi menyokong raja dan menentang 'penderhakaan' di PWTC (kata mereka yang bijak mengira matematik dalam Bahasa Inggeris jumlah yang hadir cuma 300 sahaja). Yang hadir pula rata-ratanya berkulit sawo matang, tapi adalah juga beberapa kerat yang berkulit cerah dan bermata sedikit sepet dan juga berkulit gelap. Kata yang empunya cerita Ketua Pemuda UMNO memaksa semua sayap pemuda komponen BN hadir, tetapi malangnya sambutan dari parti-parti selain UMNO sangat meleset. Perhimpunan tersebut turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin, Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo. Ketua-Ketua Pemuda dari komponen BN lain dilaporkan tidak hadir. Perhimpunan tersebut diisi dengan beberapa ucapan dan berakhir dengan laungan "Daulat Tuanku".

Yang menjadi tanda tanya mengapa parti komponen BN yang lain tidak berminat dengan demonstrasi menyokong raja dan tidak berminat menjerit "Daulat Tuanku"?. Mengapa UMNO ditinggalkan bersendirian menghadapi isu yang mereka anggap besar itu?

Mungkinkah parti lain tidak berminat dengan isu 'derhaka' yang dimainkan oleh UMNO itu kerana mereka sangat arif siapakah penderhaka sebenar? Mereka pasti telah mempelajari sejarah penderhakaan terhadap Raja selepas merdeka yang bermula dengan kisah penderhakaan Ghazali Jawi di Perak pada 1970an, Muhammad Muhd Taib di Selangor pada 1980an, Dr Mahathir dan semua kepimpinan UMNO ketika isu pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993 dan berakhir dengan penderhakaan Idris Jusoh dan Shahidan Kassim pada awal tahun lepas. Jika dikira sejarah penderhakaan UMNO adalah sungguh panjang, cukup untuk menyediakan satu thesis peringkat masters mahupun Ph.D.

Dan kini apabila UMNO menyalak dengan slogan "Daulat Tuanku", parti-parti komponen BN lain tidak berminat untuk turut menyalak. Parti-parti komponen lain seperti tahu salakan itu ibarat seekor anjing sakit tenat yang menyalak bukan untuk menakut-nakutkan pencuri yang cuba menceroboh rumah pemiliknya, tetapi salakan itu sekadar untuk memberitahu orang lain bahawa dia hampir mati dan minta dikasihani.

Kepada orang-orang biasa yang memahami sejarah pula mereka melihat demonstrasi UMNO menyokong raja itu tidak lebih dari satu lakon lawak yang melucukan. Ia tidak lebih dari kisah gerombolan penyamun yang menyerang sebuah kampung dan selepas mengumpul semua barang yang disamun gerombolan penyamun itu menjerit-jerit, "Penyamun-penyamun!". Mereka cuba mengaburi orang kampung mereka bukanlah penyamun, sedangkan orang kampung tidak pernah lupa merekalah penyamun yang paling berbahaya di Malaysia.

Kini sudah hampir dua minggu penyamun yang paling berbahaya di Malaysia itu menjerit-jerit, menyalak-nyalak dan melolong-lolong kata-kata, "Penyamun, penyamun!". Namun rakyat sudah muak dan telinga sudah hampir pekak mendengar jeritan hipokrit yang sama setiap hari.

Daulat Tuanku, Tuanku tentu tidak lupa siapa penderhaka yang kini sedang menghunus keris, menyalak dan berpura-pura setia di hadapan Tuanku, kan? Jaga-jaga dengan keris yang dihunus itu Tuanku, kerana keris yang sama pernah digunakan untuk mengerat lidah Tuanku pada 1983 dan 1993 dahulu!

Oleh: pendikar gunung kriang