Wednesday, February 11, 2009

2 ADUN Perak Yang Selalu Tidak Sihat Tu, Elok Letak Jawatan Ajelah...


Kelmarin ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi tidak menghadiri perbicaraan kes rasuah yang melibatkan mereka di mahkamah atas alasan sedang bercuti sakit. Akibatnya seorang dari mereka yang gagal menyampaikan Sijil Cuti Sakit telah diperintahkan waran tangkap.


Kebanyakan mereka yang mengenali 2 ADUN ini tahu, kedua-dua Mohd Osman dan Jamaluddin memang sangat kamceng sejak dahulu. Semasa masih dalam PKR dahulu, jika ada perjumpaan atau mesyuarat, kedua susuk ini kerap kelihatan bersama seperti belangkas. Semasa kempen PRK Permatang Pauh juga kedua-duanya sentiasa bersama dan apabila ditahan kerana dituduh menerima rasuah, kedua-duanya juga ditahan bersama.

Sejurus sebelum kedua-duanya lompat parti dari PKR ke bebas dahulu, kedua-duanya hilang bersama, kemudian kedua-duanya menyatakan mereka bercuti sakit (sakit bersama) dan kemudian dilaporkan kelihatan bersama berada di Pekan. Tidak lama kemudian kedua-duanya dilaporkan akan membuat kenyataan akhbar bersama di sebuah hotel berdekatan KLIA, tetapi kedua-duanya bersama-sama tidak hadir atas alasan sakit (sekali lagi sakit bersama). Dua hari lepas itu kedua-dua mereka muncul bersama di dalam majlis untuk mengisytiharkan keluar dari PKR di hadapan Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya. Kedua-duanya ketika itu kelihatan sama-sama segar bugar, sentiasa tersenyum dan tidak nampak tanda-tanda sakit sedikitpun.

Dan kelmarin kedua-dua mereka yang dijangka menghadiri perbicaraan kes rasuah, bersama-sama tidak hadir, sekali lagi atas alasan yang sama: bercuti sakit (sekali lagi sakit bersama)!

Menyorot pelakuan mereka yang sihat bersama, hilang bersama, sakit bersama, muncul bersama dan senyum bersama menimbulkan banyak persoalan. Mereka bukan kembar Siam, tetapi memiliki banyak persamaan personaliti dan naluri. Jika seorang sakit, seorang lagi pasti sakit, jika seorang sihat, seorang lagi akan sihat. Jika seorang senyum, kedua-duanya akan senyum.

Masalahnya bolehkah kita percaya 2 ADUN yang kerap sakit ini benar-benar sakit? Siapa Pegawai Perubatan yang mengesahkan kedua-duanya sentiasa sakit serentak, adakah ia Pegawai Perubatan yang sama atau berbeza? Jika pihak yang mengesahkan kedua-duanya sentiasa sakit bersama adalah Pegawai Perubatan yang sama, nampak seperti ada sesuatu yang tidak kena. SPRM boleh menyiasat bagi menentukan ketulenan Sijil Cuti Sakit mereka.

Tidak tahulah sama ada ketika kedua-duanya masih menjadi ADUN PKR dahulu, kedua-duanya selalu sakit seperti sekarang. Jika sejarah perubatan menunjukkan mereka selalu sakit sejak dahulu, bermakna sungguh malang nasib penduduk Behrang dan Changkat Jering yang mendapat 2 orang Wakil Rakyat sakit. Jika dahulu tidak pernah sakit, tapi sejak melompat tinggi dan jatuh jadi ahli bebas baru rasa sakit-sakit, bermakna mereka telah terkena 'sumpahan' jadi orang yang sentiasa sakit-sakit.

Asalkan Pegawai Perubatan telah mengeluarkan Sijil Cuti Sakit tulen tidak apa. Tapi jika mereka disyaki mendapat cuti sakit dalam keadaan tidak sakit, maka kedua-dua mereka tidak layak menjadi wakil rakyat kerana telah menipu Allah, rakyat DUN yang mereka wakili, parti dan mahkamah.

Kepada Mohd Osman dan Jamaluddin, jika badan selalu sahaja rasa tidak sihat, elok sajalah letak jawatan dan berehat dari politik seperti tindakan yang diambil oleh Arumugam ADUN Bukit Selambau itu. Berkhidmat dalam keadaan sakit buat apa, habiskan boreh ajo!!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.