Tuesday, February 10, 2009

Apa Beza Perkataan 'Perhimpunan Ramai' Dengan 'Rusuhan'?


Bahasa Melayu selalu dikatakan sebagai antara bahasa yang paling mudah di dunia. Sebab itu di Malaysia ini tanpa paksaan semua kaum menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara golongan rakyat biasa. Di pejabat, di market, di tepi jalan dan di mana-mana apabila orang Cina berbicara dengan orang India, apabila orang Sikh berbicara dengan orang Bangla, apabila orang Siam berbicara dengan orang Mynmar; Bahasa Melayulah yang digunakan.

Namun walaupun mudah, kadang-kadang saya terkeliru juga dengan maksud-maksud perkataan tertentu dalam Bahsa Melayu ini. Misalnya antara yang tidak dapat saya bezakan ialah perbezaan antara maksud perkataan 'perhimpunan ramai' dan 'rusuhan'. Mengapa sukar dibezakan dua perkataan itu?

Saya lihat akhbar-akhbar kita kadang-kadang merujuk sesuatu perhimpunan itu sebagai 'perhimpunan ramai' tetapi kadang-kadang pula ia dipanggil sebagai 'rusuhan'. Sifat kedua-dua perhimpunan ini lazimnya sama saja - 'perhimpunan ramai' tentu ramai orang yang hadir, manakala 'rusuhan' juga ramai yang hadir. Yang hadir dalam kedua-duanya juga biasanya suka buat bising-bising, jerit-jerit dan marah-marah; jadi sifatnya sama sajalah.

Cuma yang mungkin berbeza ialah penganjur kedua-dua perhimpunan ini. 'Perhimpunan ramai' dianjurkan oleh BN atau penyokong mereka, manakala 'rusuhan' dianjurkan oleh PR atau penyokong mereka. Tapi mengapa perhimpunan biasa yang dianjurkan oleh PR atau penyokong mereka dipanggil 'rusuhan' bukannya 'perhimpunan ramai'?

Saya pernah merujuk makna 'rusuhan' ini dalam kamus. Di dalam kamus rusuhan dicatatkan sebagai bermakna satu keadaan tidak tenteram, huru-hara dan ada pertempuran. Contohnya ialah rusuhan 13 Mei 1969 yang menyebabkan ratusan orang terkorban.

Tetapi rusuhan yang dimaksudkan di dalam media ini tidak sama pula seperti yang tercatat dalam kamus. Itu yang peliknya. Perhimpunan aman 80,000 rakyat seperti yang dianjurkan BERSIH pada 2007 dahulu dipanggil 'rusuhan' walau tiada satu nyawa yang melayang mahupun tercedera. Begitu juga perhimpunan membantah rampasan kuasa junta di Perak juga dipanggil 'rusuhan' walaupun tiada yang mati atau tercedera.

Mungkin ia dipanggil 'rusuhan' kerana ada jeritan yang diselang seli makian dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh PR itu? Mungkin juga!! Tapi perhimpunan yang dianjurkn oleh BN dan penyokong mereka juga ada jeritan dan makian seperti yang banyak dianjurkan sehari dua ini bagi membantah kenyataan Karpal untuk menyaman Sultan Perak. Hari ini saja banyak perhimpunan dianjurkan BN dan NGO penyokong mereka, semuanya penuh jeritan; malah perhimpunan di Padang Sultan Abdul Jalil Ipoh yang dikatakan melibatkan peserta seramai 5,000 itu sangat panas hingga polis terpaksa campurtangan. Anehnya ia tidak pula dipanggil 'rusuhan'. Aneh, aneh!

Mengapa perhimpunan di Ipoh dan pelbagai tempat lagi yang dianjurkan BN dan penyokong mereka dan penuh dengan jeritan itu tidak dipanggil 'rusuhan'? Mengapa pula perhimpunan sama seperti yang dianjurkan BERSIH, dianjurkan Majlis Peguam dan beberapa perhimpunan lain dipanggil 'rusuhan' walaupun sifatnya sama: bingit dan bising? Adakah kerana penganjurnya berbeza, maka maknanya berbeza? Atau kerana yang dianjurkan PR sering diganggu polis, ia dipanggil rusuhan (kerana polis merusuh), manakala yang dianjurkan BN tiada polis mengganggu ia layak digelar perhimpunan ramai?

Bab inilah saja yang saya sukar faham tentang Bahasa Melayu ini. Pelakuan manusia sama: mereka sama-sama berhimpun, tetapi satu dipanggil 'perhimpunan'; manakala satu lagi dipanggil 'rusuhan'.

Aduuuh...sukar juga rupanya Bahasa Melayu (BM) ini. Atau itu cuma Bahasa Media (BM) ?

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.