Friday, February 27, 2009

Apabila Geng Mafia Menyerang OKU Tua Di Parlimen ~ Malaysiakini


Petang kelmarin saya terbaca berita di Malaysiakini mengenai kisah kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno dipercayai dari Selangor tiba-tiba menyerang Parlimen. Sasaran mereka ialah seorang Ahli Parlimen bernama Karpal Singh yang bertaraf OKU itu. Bila gambar serangan kumpulan itu tersiar di TV malam tadi jelas kelihatan wajah-wajah bengis penyerang ketika berhadapan dengan orang tua OKU itu. Selain dari penyerang, kelihatan beberapa orang yang cuba melindungi Karpal. Suasana sungguh kecoh yang pasti menarik perhatian wartawan, termasuk wartawan asing. Bagus juga, sekali lagi nama Malaysia harum di luar negara hasil kerja Karpal dan kumpulan penyerang dari UMNO itu.

Syukurlah tiada yang mati atau tercedera dalam kekecohan itu. Ahli Parlmen DAP, Lim Lip Eng walau bagaimanapun mendakwa beliau dipukul beberapa kali di muka dan bahagian badannya. Kena sikit saja tu, orang lain pernah kena lebih teruk dengan kumpulan tu!

Tentu ada yang berpendapat Karpal memang patut diserang kerana keceluparannya. Jika di kampung memang mulut celupar Karpal sudah lama dicili apikan. Cuma jika di kampung, kalau nak serang mereka tengok-tengok orang juga. Orang OKU macam Karpal tentu mereka tak tergamak nak serang. Serang OKU nampak macam Israel menyerang Hamas yang kekurangan senjata, tentu menjatuhkan maruah penyerang saja.

Nampak sangat Karpal yang celupar itu memang tersalah jolok sarang tebuan kali ini. Dulu apabila dia berkata langkah mayatnya dahulu jika hendak laksanakan undang-undang Islam, ia tidak menimbulkan kemarahan Pemuda UMNO, kerana mereka juga seperti Karpal tidak menyokong pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Justru bila Karpal menghina agama Islam, Pemuda UMNO tidak tersingung, mereka tidak pun menyerang balas Karpal. Yang mereka tersinggung ialah apabila parti mereka dihina. Bagi mereka parti lebih penting dari segala-galanya, termasuk agama.

Bagi saya apa yang berlaku di Parlimen itu hanya insiden kecil saja. Saya pernah melihat dengan mata kepala sendiri kejadian yang lebih dahsyat dari itu. Salah satunya ialah ketika pilihan raya kecil Indera Kayangan pada tahun 2002. Di suatu malam saya yang ketika itu bertugas di Perlis melihat kumpulan dari parti Melayu yang sama menyerang dengan begitu ganas kenderaan milik seorang aktivis PKR. Saya melihat sendiri darah yang terpancut keluar dari mangsa yang tidak dapat mempertahankan diri, kerana jumlah penyerang terlalu ramai. Mereka bukan sahaja memukul mangsa tetapi juga memecahkan kenderaan yang dinaiki mangsa. Dan kejadian di depan mata saya itu bukannya satu serangan yang terpencil di Indera Kayangan kerana puluhan lagi insiden keganasan yang sama dilakukan oleh kumpulan pengganas yang bertindak seperti mafia itu. Tidak hairanlah selepas pilihanraya selesai, terdapat 43 aduan polis daripada PKR dan PAS terhadap keganasan yang dilakukan oleh kumpulan mafia Melayu itu.

Dan apabila saya menonton siaran TV mengenai kejadian itu tadi saya teringatkan insiden di Indera Kayangan. Memandangkan kumpulan yang menyerang itu tidak memecahkan kepala Karpal Singh, seperti yang pernah saya saksikan ada kepala yang pecah di Indera Kayangan, saya menganggap kejadian itu seperti tidak ada apa-apa. Cuma yang dikesalkan kekecohan itu berlaku dalam Parlimen, institusi yang sangat dimuliakan dalam negara demokrasi. Tentang pukul memukul dan serang menyerang, ah...itu biasalah bagi kumpulan penyerang itu. Biasalah sekali sekala bila terdesak mereka akan tukarkan singkatan "M" untuk Malays dalam nama UMNO itu kepada Mafia. Biasalah.

Cuma saya tidak pasti sama ada mafia di Italy itu, sanggup serang OKU tua atau tidak? Jika sanggup, nampaknya mafia di Italy pun sudah setaraf dengan mafia tempatan Malaysia.

Oleh: pendikar gunung kriang

1 comment:

Anonymous said...

org tua tu memang patut diajar sekali sekala.kena bagi pelajaran supaya dia tak melmpau sangat.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.