Thursday, February 19, 2009

Apabila Perdana Menteri Bercakap Macam Orang Mamai

Mungkin malam tadi Pak Lah tidak dapat tidur nyenyak. Sebab itu tiba-tiba saja hari ini Pak Lah mengeluarkan kenyataan macam orang 'mamai' yang baru tersedar dari mimpi ketika diminta mengulas tindakan Speaker Perak menggantung Menteri Besar dan 6 EXCO yang merampas kuasa tempoh hari itu.

Pak Lah berkata tindakan Speaker itu sebagai satu cara untuk mengguling kerajaan BN di Perak.

"Ia satu muslihat...tidak ada niat baik, cuma niatnya untuk menggulingkan kerajaan BN yang telah diwujudkan," katanya.

Kadang-kadang terfikir, eh...Pak Lah ni bercakap dalam keadaan sedar atau tidak sedar? Atau dia sedang 'mamai'? Bukankah semasa Najib sedang mengatur strategi merampas kuasa dahulu hingga rampasan kuasa tersebut berjaya direlisasikan pada 6 Februari lalu Pak Lah ada di Malaysia ini? Tapi jika dia berada di Malaysia ketika itu mengapa dia terlupa insiden rampasan kuasa yang baru berlalu 2 minggu itu? Tiba-tiba saja Pak Lah berkata ada pihak yang hendak menggulingkan kerajaan BN, sedangkan semua rakyat Perak tahu kerajaan BN yang dikatakannya itulah yang telah menggulingkan kerajaan PR yang dipilih rakyat. Atau Pak Lah jenis manusia Melayu mudah lupa sepertimana yang pernah disebutkan oleh Tun Dr Mahathir?

Pak Lah juga berkata tindakan Sivakumar itu tidak disenangi oleh rakyat Perak.

"Mereka (rakyat) tentu sekali tidak senang hati dengan apa yang berlaku sehingga ke peringkat ini. Dulu bila mereka (pembangkang) menang, kita beri jalan kepada mereka untuk memerintah. Apabila situasi telah berubah dan sokongan kepada BN telah melebihi, maka BN pula yang akan memerintah".

Sekali lagi kenyataan Pak Lah ini bagai orang mamai baru bangun tidur. Entah statistik apa yang dipakainya yang menyatakan tindakan Sivakumar itu tidak disenangi oleh 'rakyat Perak', entahlah. Ini kerana mengikut kajian Merdeka Centre 74% daripada rakyat Perak inginkan DUN dibubarkan. Ini bermakna majoriti rakyat Perak bukannya tidak senang dengan tindakan Sivakumar, tetapi sebenarnya mereka tidak senang dengan tindakan merampas kuasa itu.

Mungkin juga Pak Lah tidak percaya dengan kajian Mereka Centre itu. Cara hendak membuktikan sama ada kajian itu betul atau tidak senang saja - bubarkan DUN dan adakan pilihanraya baru. Tapi beranikah Pak Lah dan Najib berhadapan dengan suara rakyat? Jawapan muktamad setakat ini ialah kedua-duanya tidak berani berhadapan dengan suara rakyat! Buktinya?

Buktinya ialah apabila di akhir ucapannya Pak Lah berkata kerajaan BN di Perak tidak bercadang untuk mengadakan pilihanraya baru sebagai cara untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu, tetapi akan terus memerintah demi 'rakyat' di negeri berkenaan.

"Dalam situasi yang ada sekarang ini, saya fikir lebih baik sekiranya kerajaan BN terus dengan pemerintahannya. Buatlah apa yang boleh untuk 'rakyat' negeri Perak," kata Pak Lah.

Cuma sekali lagi kita tidak faham maksud 'rakyat' yang dikatakan Pak Lah itu. Adakah maksud 'rakyat' yang dimaksudkan Pak Lah itu ialah 74% rakyat yang tidak setuju dengan tindakan BN yang merampas kuasa itu?

Lalu saya teringat perihal seorang adik saya ketika kami kecil yang selalu mamai dan bercakap merapu lepas bangun tidur. Kami pasti ketawa mendengar dia bercakap yang entah apa-apa itu.

Dan hari ini saya ketawa lagi. Tetapi yang saya ketawakan bukan adik saya. Dia Perdana Menteri saya.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.